MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Sunday, January 25, 2015

Perjumpaan Dwi Tahunan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sesi Dis 2014 - April 2015

Pada 17 Disember 2014, Perjumpaan Dwi Tahunan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) telah diadakan. Bertempat di Dewan Kuliah 1 (DK 1), perjumpaan tersebut bermula pada pukul 8.00 malam- 12.00 malam dengan jumlah kehadiran seramai 250 orang. Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh KRM Mohd Ashraf Huzairi Bin Hussain bagi memberkati lagi majlis Perjumpaan Dwi Tahunan kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah ini. Untuk perjumpaan pada kali ini, KRM Nur Faizatul Syazwani binti Sulaiman telah bertindak sebagai pengerusi majlis. Ucapan terima kasih serta kata alu-aluan diucapkan kepada Mejar Kesatria Nor Ezan Bin Omar selaku penasihat Kompeni PBSM, Left. (K) Mohd Juakhir Bin Hassan selaku penyelaras Kompeni PBSM, KMdy Nurshazwani Binti Mohd Ariff selaku Ketua Kompeni PBSM, barisan Top10, Majlis Tertinggi Komander Kesatria Batalion ke VI UiTM Johor, Barisan jurulatih, Mantan-mantan komander serta komander-komander kesatria UiTM Johor diatas kesudian menghadiri Perjumpaan Dwi Tahunan kompeni PBSM sesi Disember 2014 - April 2015.



Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kompeni PBSM iaitu KMdy Nurshazwani binti Mohd Ariff. Beliau memberi penerangan serba sedikit tentang kompeni PBSM sebagai pengetahuan kepada para pelajar kokurikulum. Beliau menerangkan tentang kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah merupakan salah satu kompeni yang bergerak seiring dengan kompeni-kompeni lain di UiTM Johor. Beliau menjelaskan lebih lanjut mengenai sejarah kompeni ini dimana sebelum ini kompeni ini dikenali sebagai kompeni Badan Pertolongan Cemas dan kini diubah kepada kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah bagi mengiktiraf kompeni ini sebagai sebahagian organisasi di dalam Malaysia. Beliau juga menjelaskan bahawa para pelajar kokurikulum dapat mempelajari dua ilmu dalam satu masa iaitu ilmu perubatan dan juga ilmu asas kawad kaki. Seterusnya beliau membubarkan ahli Jawatankuasa Kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah sesi Jun – Oktober 2014 dan melantik ahli Jawatankuasa Kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah sesi Disember 2014 – April 2015.



Selepas itu, tibalah giliran bagi wakil Top 10 untuk memberi sedikit ucapan. Lt. M (K) Mohd Syafizi Bin Shahrani mengucapkan alhamdulillah kehadrat illahi kerana para pelajar kokurikulum dan para komander dapat berkumpul dalam satu majlis yang sama. Beliau mengharapkan dengan kedatangan ahli baru iaitu para pelajar semester 1 serta kehadiran pelajar semester 2 dan 3 dapat bergiat aktif pada semester ini. Beliau juga mengucapkan sekalung tahniah kepada kompeni PBSM kerana telah melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancang dengan cemerlang. Selain itu, beliau mengharapkan kerjasama dari semua pihak, para pelajar terutamanya, diperlukan agar dapat membantu komander menguruskan aktiviti dengan lebih mudah. Seterusnya beliau memperkenalkan Ahli Jawatankuasa Komander Kesatria Batalion VI Sesi Disember 2014-April 2015.



Majlis diteruskan lagi oleh ucapan daripada penyelaras kokurikulum iaitu Left. (K) Mohd Juakhir Bin Hassan. Beliau mengucapkan tahniah diatas komitmen yang diberikan oleh para pelajar kokurikulum untuk menghadiri majlis Perjumpaan Dwi Tahunan ini. Beliau juga mengucapkan selamat datang kepada para pelajar Semester 1 yang baru sahaja mendaftar dalam kompeni PBSM. Selain itu, beliau menjelaskan lebih lanjut tentang sejarah kompeni ini dan kelebihan melibatkan diri dalam kokurikulum kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah. Beliau mengatakan bahawa kompeni PBSM pada mulanya dikenali sebagai kompeni Badan Pertolongan Cemas, ditubuhkan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar kokurikulum mengenai ilmu perubatan dan meningkatkan lagi kesedaran di kalangan pelajar mengenai bagaimana untuk menjadi ahli sukarelawan yang berilmu dan berdisiplin. Malah kompeni ini ditubuhkan untuk melahirkan para pelajar kokurikulum sebagai sebahagian anggota masyarakat yang berguna serta mahir dalam memberi bantuan kecemasan kepada masyarakat lain sama ada dalam situasi kecemasan yang sebenar mahupun bukan.

Mejar (K) Nor Ezan Bin Omar memperkenalkan diri beliau sebagai Penasihat Kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah dan menyatakan bahawa perjumpaan ini merupakan perjumpaan pertama kali beliau bersama para pelajar kokurikulum Persatuan Bulan Sabit Merah. Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar kokurikulum kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam semua acara PERKAD yang telah dilaksanakan pada semester yang lepas sehingga berjaya menaikkan kedudukan kompeni dengan merangkul sebagai pemenang keseluruhan PERKAD Uitm Cawangan Johor. Beliau memberi nasihat kepada para pelajar untuk tidak memperlekehkan pelajaran pertolongan cemas. Hal ini kerana pelajaran ini merupakan antara pelajaran utama yang telah termaktub dalam perancangan pembelajaran kokurikulum ahli Persatuan Bulan Sabit Merah semester 1, 2 dan 3. Apabila pelajar berada di semester 3 , pelajar akan menjalani ujian praktikal yang bertujuan untuk menguji segala pelajaran yang telah pelajar  kokurikulum pelajari sepanjang semester 1,2 dan 3.



Senarai dibawah pula ialah aktiviti yang bakal dijalankan pada sem ini:
PERKHEMAHAN
INDUKSI
PERTAULIAHAN PELAJAR BULAN SABIT MERAH

Selepas tamat memberi ucapan dan penerangan, Leftenan Kesatria Mohd Juakhir Bin Hassan menyampaikan sedikit cenderahati kepada Mejar (K) Nor Ezan Bin Omar selaku penasihat Kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah, seterusnya KMdy Nurshazwani Binti Mohd Ariff menyampaikan sedikit cenderahati kepada Leftenan Kesatria Mohd Juakhir Bin Hassan selaku penyelaras kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah. Para tetamu didedahkan lagi tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dengan persembahan multimedia yang disediakan. Seterusnya para tetamu jemputan berpindah majlis untuk menjamu hidangan yang disediakan. Perjumpaan berakhir setelah tamat persembahan multimedia. Para tetamu dijemput unttuk menjamu selera sebelum bersurai.

No comments:

Post a Comment