Friday, December 27, 2013

PERKHEMAHAN KESATRIA KEMBARA SEMESTER 2


Perkhemahan kokurikulum Kesatria Kembara semester ini telah diadakan pada 23 Disember 2013 hingga 26 Disember 2013 di Taman Botanikal  Dan Pusat Latihan Air, Ayer Keroh, Melaka iaitu berlangsung selama 4 hari 3 malam. Perkhemahan pelajar Semester Dua kokurikulum Kesatria Kembara diadakan adalah untuk memperkukuhkan lagi silibus yang dipelajari oleh mereka selama dua semester dalam kursus kokurikulum. Program ini wajib diikuti oleh semua pelajar kerana ia merangkumi 20% markah kokurikulum mereka. Perkhemahan ini disertai oleh 116 orang pelajar semester dua Kesatria Kembara. Program ini diiringi oleh seorang Pegawai Pengiring iaitu Kapt. (Kest.) Norsyidah binti Mahmat Sani dan dua orang Jurulatih Sambilan Kesatria Kembara iaitu Encik Ishak bin Abu Hassan dan Encik Mohammad Faizal bin Yahya. Selain itu, turut diiringi oleh 11 orang komander pengiring. Perjalanan untuk ke lokasi perkhemahan mengambil masa selama dua jam dari kampus Segamat.

HARI PERTAMA

Peserta berkumpul di padang kawad pada jam 2.30 petang dan bertolak dari UiTM Johor ke taman botani tersebut. Solat Asar berjemaah telah dilakukan pada jam 5.00 petang dan selepas selesai asas perkhemahan telah diperkenalkan. Pelajar didedahkan dengan cara memasang khemah dengan selamat. Pada jam 7.00 malam, solat maghrib berjemaah telah dilakukan dan seterusnya solat isyak. Kemudiannya makan malam sebelum meneruskan Latihan Dalam Kumpulan yang pertama. Sentri dilakukan pada 11.30 malam oleh kumpulan yang dijadualkan.

HARI KEDUA
            Seawal 6.00 pagi solat Subuh dan kuliah Subuh telah dilakukan sebelum senaman pagi. Selepas itu, para peserta perkhemahan mengambil sarapan pagi. Seterusnya, pengenalan rekreasi telah dijalankan. Pada jam 10 pagi minum pagi dihidangkan kepada peserta dan aktiviti kepimpinan telah dijalankan selepas itu.

            Pada jam 12 tengahari, peserta makan tengahari dan kemudiannya solat Zuhur apabila sudah waktunya. Selepas selesai, mereka didedahkan dengan pengenalan pembacaan peta dan kompas. Mereka didedahkan dengan cara membaca kompas, bearing bagi sesuatu kawasan. Komponen-komponen kompas dan barang keperluan bagi membaca dan membuat bearing peta juga ditelah didedahkan. Cara mengenalpasti peta juga telah diterangkan kepada peserta. Pada jam 4.00 petang pelajar telah berehat sebentar dan menikmati minum petang dan kemudiannya melangsungkan Slat Asar berjemaah. Selepas itu, amali pengenalan pembacaan peta dan kompas mula dilakukan bagi menguji tahap kefahaman dan kecekapan para peserta. Mereka telah menggunakan ilmu yang telah diajar bagi mencari jalan dan bearing seperti di dalam peta. Selepas selesai aktiviti amali, makan malam disediakan sementara menunggu azan Solat Magrib dan diikuti dengan Isyak. Pada jam 8.30 malam, bantu mula dilakukan sebelum para peserta melakukan kembara malam. Sentri dilakukan seperti biasa mengikut giliran masing-masing.

HARI KETIGA

            Seperti hari yang sebelumnya, jam 6.00 pagi solat Subuh dan kuliah Subuh telah dilakukan sebelum senaman pagi. Selepas itu, para peserta perkhemahan mengambil sarapan pagi. Seterusnya, teori dan praktikal berkayak dilakukan. Pada jam 10 pagi minum pagi dihidangkan kepada peserta dan aktiviti praktikal berkayak dilakukan telah dijalankan selepas itu.
        
        Pada jam 12.30 tengahari, makan tengahari telah disediakan kepada peserta perkhemahan dan kemudiannya solat Zuhur berjemaah apabila waktu solat sudahpun tiba. Tepat jam 2.00 petang ujian berkayak telah dilakukan dan ramai peserta yang mampu melakukan aktiviti tersebut dengan cara dan teknik yang telah didedahkan oleh jurulatih kayak. Selang 2 jam selepas itu minum petang disediakan dan solat Asar berjemaah telah dilakukan. Selesai berjemaah, para peserta telah mengambil bahagian dalam Latihan Dalam Kumpulan 2 iaitu Sukaneka. Peserta kelihatan ceria dan bekerjasama dengan fasilitator yang mengendali acara tersebut. Pada 7.00 malam, makan malam disediakan sebelum solat Maghrib dan Isyak dilakukan. Selepas Isyak, Malam persembahan dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada peserta itu sendiri. Seterusnya, teori tali diajar oleh jurulatih dan fasilitator sebelum sentry.

HARI KEEMPAT

Seperti hari yang sebelumnya, jam 6.00 pagi solat Subuh dan kuliah Subuh telah dilakukan sebelum senaman pagi. Selepas itu, para peserta perkhemahan mengambil sarapan pagi. Seterusnya, teori dan praktikal tali telah diajar oleh jurulatih tentang jenis-jenis ikatan dan caranya. 2 jam yang berikutnya praktikal tali telah dilakukan sebelum makan tenghari pada pukul 12.30 tengahari. Pada pukul 2.00 petang rekreasi impak minima dilakukan bagi menguji ketangkasan dan kelasakan para peserta dalam menjalankan aktiviti tersebut. Pembersihan kawasan perkhemahan dan majlis dilakukan sejurus aktiviti rekreasi berakhir dan para peserta menyiapkan diri. Tepat 5.00 petang, peserta perkhemahan ini telah bertolak pulang ke UiTM cawangan Johor.
            
            Kesimpulannya, semua aktiviti yang dirancangkan mencapai objektif program. Peserta dapat memupuk sikap yakin pada diri sendiri di samping memupuk sikap kerjasama dalam satu kumpulan. Secara tidak langsung, program yang dijalankan dapat mengeratkan hubungan antara peserta program.

No comments:

Post a Comment