MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Sunday, July 01, 2012

KAWAD 24 JAM di UiTM Arau, Perlis



12 JUN 2012
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 12 jam agak meletihkan. Mana tidaknya, dari selatan tanah air menuju ke utara Semenanjung Malaysia dengan melalui jalan kampung hinggalah lebuh raya. Namun, semangat yang berkobar-kobar untuk menyertai Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti sempena sambutan Hari Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ke-69 di UiTM Arau, Perlis, sama sekali tidak mematahkan semangat yang dibawa dari UiTM Johor.
Seramai 51 orang komander bersama pengiring, Cik Puan Norsyidah binti Mad Sani serta dua buah bas tiba di sana dalam jam 6.45 petang. Kami, Komander Jengking, bergerak ke kaunter pendaftaran untuk melakukan pendaftaran kolej. Pelajar siswa menginap di Kolej Cengal manakala siswi pula di Kolej Dahlia .Seterusnya, pengagihan cadar katil dan sarung bantal serta makanan. Setelah selesai meletakkan barang di bilik dan menguruskan diri, kami berkumpul di ruang legar bawah kolej untuk bergerak ke padang kawad. Oleh sebab jarak antara kolej dengan padang kawad agak jauh, perkhidmatan bas ketika itu amat diperlukan.
Dengan berpakaian seluar slack hitam, jaket komander, kasut formal dan tudung hitam bagi pelajar siswi, kami masuk ke perkarangan padang kawad dalam keadaan teratur dengan lenggang pegawai. Taklimat ringkas telah diberikan oleh Penyelaras Kokurikulum UiTM Arau,di mana beliau telah menjelaskan sedikit sebanyak bagaimana perjalanan majlis itu akan berlangsung pada keesokan hari. Raptai formasi 69 telah dibentuk pada malam tersebut sebagai persediaan untuk majlis penutup pada hari Isnin nanti.

13 JUN 2012
Jam menunjukkan tepat pukul 7 pagi. Persembahan kawad kaki dimulakan dengan platun Komander Kesatria UiTM Perlis itu sendiri. Kawad kaki yang memakan masa 20 minit bagi setiap platun dilakukan secara secara bergilir-gilir sehingga pukul 9 pagi keesokan harinya iaitu melepasi dua jam dari tempoh 24 jam ditetapkan.
Antara pasukan beruniform yang terlibat ialah Kokurikulum Kesatria Negara (Kesatria), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat dan Palapes Laut. Ia turut disertai oleh pelajar badan beruniform Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan Kokurikulum Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa).
Komander Kesatria UiTM Johor telah menghantar sebanyak dua buah platun. Platun pertama diketuai oleh KMdy Khairul Akmal bin Alias, manakala platun kedua pula KM Dayang Suraya binti Sabtu. Kawad kaki komander UiTM Johor bermula dengan platun satu pada jam 8.20 malam dan berakhir jam 8.40 malam. Kami dikehendaki memakai jaket keselamatan ketika itu. Diambil alih pula oleh platun dua untuk 20 minit berikutnya. Kebetulan pula dalam masa tersebut, azan Isyak berkumandang. Platun dua meneruskan kawad kaki mereka dengan ketua platun memberi arahan hentak kaki perlahan bagi menghormati seruan azan. Kawad kaki seterusnya pada jam 2 pagi. Kami balik ke kolej masing-masing untuk berehat buat seketika dan bersiap sedia untuk persembahan pada awal pagi hari Isnin.

14 JUN 2012
Tepat jam 12.30 tengah malam, sekali lagi kami bergerak ke padang kawad yang tidak sunyi dari badan beruniform yang berkawad sejak 17 jam yang lalu. Jam 2 pagi, platun satu masuk ke perkarangan padang kawad. Suara lantang KMdy Khairul Akmal memecah kesunyian pada pagi tersebut. 20 minit pun berlalu. Tiba giliran platun dua untuk beraksi. Pemakaian jaket keselamatan tetap dikenakan bagi setiap platun yang berkawad dalam suasana yang gelap.
Sementara menunggu jam 7.40 pagi untuk kawad kaki kali ketiga, kami dikehendaki berada di persekitaran padang kawad tersebut untuk mengelakkan sebarang permasalahan yang akan berlaku. Dalam waktu tersebut, kami telah melihat beberapa platun dari kampus lain dan ternyata mereka juga tidak kurang hebatnya.
Platun satu sudah bersedia untuk masuk ke padang kawad. Pada jam 8 pagi, platun dua pula yang mengambil alih padang kawad tersebut. KM Dayang Suraya serta rakan-rakan lain telah menunjukkan persembahan sehabis baik yang mungkin sebelum tuan rumah menguasai kembali padang kawad tersebut. Platun terakhir iaitu Komander Kesatria UiTM Arau terdiri daripada 69 orang, merupakan simbolik sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis. Butang masa telah ditekan setelah ketibaan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menandakan Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti sempena sambutan Hari Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ke-69 telah tamat.
Majlis penutup program berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis. Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Penolong Naib Canselor UiTM Puncak Alam, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya; Rektor UiTM Perlis, Prof. Dr. Khudzir Ismail dan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron. Penyerahan sijil MBOR bagi Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti itu pula disampaikan kepada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang menerimanya daripada wakil MBOR, Zulhairi Md. Zin.
Akhir sekali, kami semua yang terdiri daripada pelajar UiTM dari kampus Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu (Cendering dan Dungun), Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Puncak Alam dan Puncak Perdana serta Shah Alam telah membentuk angka 69 sebagai simbolik sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-69.





Cabaran Orienteering KPT-UiTM 1 Malaysia 2012

    Pada tarikh 13, 14, 15 April 2012 yang lalu,  Kementerian Pengajian Tinggi telah mengadakan pertandingan orienteering dengan kerjasama UiTM seMalaysia di Pasir Gudang, Johor Bharu. Pihak UiTM Johor cawangan Segamat telah menghantar seramai 30 orang komander dan 120 orang pelajar biasa untuk menyertai pertandingan tersebut.

   Pada 13 April 2012, kami telah berkumpul pada pukul 8 pagi untuk  mendengar beberapa taklimat tentang pertandingan Orienteering ini oleh pihak unit sukan UiTM Johor cawangan Segamat. Selepas itu, kami bertolak dari kampus pada pukul 10.30 pagi ke Pasir Gudang, Johor Bharu. Perjalanan telah mengambil masa selama 4 jam untuk tiba di lokasi. Kami telah tiba pada pukul 3.30 petang untuk mendaftar dalam pertandingan dan mendaftar untuk penginapan kami. Selepas itu, kami berehat dan bersiap sedia untuk sesi forum 1 Malaysia di Stadium Pasir Gudang, Johor Bharu.


   Keesokkan harinya, pada 14 April 2012, pertandingan Orienteering KPT-UiTM 1 Malaysia 2012 dijalankan di Dataran Pasir Gudang, Johor Bharu.Sebelum acara orienteering, peserta hendaklah menyertai acara senam erobik pada pagi itu bagi memanaskan badan. Selepas itu, acara pembukaan dan perasmian diadakan serta komander Johor telah ditugaskan untuk membuat gimik pada upacara perasmian tersebut. Selepas tamat upacara perasmian, peserta  dibahagikan dalam beberapa kumpulan wakil setiap IPT dan UiTM. Setiap kumpulan terdiri 4 ahli sahaja. Aktiviti berlangsung dengan penuh sorakan daripada setiap kampus masing-masing. Aktiviti ini juga mengambil masa setengah hari untuk berlangsung. Selepas tamat acara tersebut, kami pulang ke tempat penginapan dan bersiap sedia untuk ke majlis makan malam yang telah diadakan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor Bharu. Acara makan malam pada malam itu sangat meriah dengan pelbagai persembahan khas daripada Majlis Perbandaran Johor Bharu dan terdapat juga persembahan daripada kampus UiTM Shah Alam.





  Pada hari terakhir bersamaan dengan 15 April 2012, pihak KPT telah mengadakan OPKIM iaitu operasi khidmat masyarakat di Taman Cendana, Pasir Gudang. Aktiviti OPKIM ini dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar IPT untuk membantu masyarakat dari segi aktiviti membersihkan kawasan perumahan dan lain-lain lagi. Kami sangat bebesar hati kerana dapat membantu penduduk Taman Cendana bagi membersihkan kawasan tempat tinggal mereka. Selain itu, kami juga dapat mengenali antara satu sama lain dalam kumpulan dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Selepas itu, upacara pernutupan cabran orienteering 1 Malaysia diadakan untuk mengumumkan pemenang dalam setiap bahagian. Upacara penutupan tersebut dihadiri oleh Naib Canselor UiTM. Setelah tamat upacara tersebut, semua peserta pulang ke kampus masing-masing.







Saturday, June 30, 2012

Komander Kesatria Edurance Challenge 2012

   Komander Kesatria Edurance Challenge 2012 (KKEC) telah diadakan pada 5 - 8 Mei 2012 di UiTM Pulau Pinang. Seramai 30 komander UiTM Johor telah menyertai pertandingan tersebut. Terdapat 5 acara dipertandingkan dalam KKEC 2012 iaitu Paintball, Jalan Lasak, EOQ, Puncak 6 Menara dan Iron Chef.

  Kami bertolak dari kampus pada 5 Mei 2012 jam 6.30 pagi. Kami menaiki sebuah bas UiTM untuk menuju ke UiTM Pulau Pinang. Tempoh perjalanan yang agak lama telah mengambil masa selama 10 jam untuk tiba ke destinasi. Dalam perjalanan kami juga sempat berhenti untuk solat dan makan. Kami telah tiba pada pukul 5 petang dan terus membuat pendaftaran untuk penginapan. Selepas itu kami berehat dan menyiapkan diri untuk pergi solat berjemaah di masjid. Pada malam itu, pihak pengurusan mengadakan aktiviti Malam Jalinan Kasih Sayang bagi mengenali setiap kampus UiTM seluruh Malaysia. Pada malam itu juga, cabutan angka giliran bagi acara Jalan Lasak dan Paintball. Bagi acara Jalan Lasak, kami mendapat giliran ke 11 manakala Paintball pula giliran ke 7. Selepas itu, majlis berakhir dan kami pulang ke penginapan masing-masing.




   Pada keesokan harinya, semua Komander dari setiap kampus berkumpul pada pukul 5.30 pagi untuk solat subuh berjemaah dan sarapan bersama-sama. Selepas itu, kami semua bertolak ke Sungai Selim, Kedah untuk bertanding dalam beberapa acara iaitu Paintball, Jalan Lasak dan EOQ pada jam 6.30 pagi. Tempoh perjalanan ke Sungai Selim mengambil masa dalam 1 jam dengan pertolongan skuad Polis Trafik. Kami telah selamat sampai ke destinasi pada jam 7.30 pagi. Selepas itu semua peserta berkumpul di kawasan lapang untuk mendengar beberapa taklimat. Setiap acara dipertandingkan secara serentak dan banyak sorakan daripada kampus yang lain bagi menyokong kumpulan masing-masing. Setelah tamat, kami kembali pulang ke UiTM Pulau Pinang untuk aktiviti seterusnya. Pada malam itu pula, kami semua berkumpul di dalam Dewan Besar UiTM Pulau Pinang untuk sesi Malam Sedar Diri. Majlis tersebut dihadiri oleh seorang penceramah dari Indonesia iaitu Bapak Firdaus. Beliau telah memberi motivasi yang hebat kepada semua peserta yang hadir pada malam itu. Selepas tamat sesi pada malam itu, kami pulang berehat ke penginapan masing-masing.



   Pada hari seterusnya, acara yang dipertandingkan adalah Puncak 6 Menara dan Iron chef. Acara Iron Chef hanya disertai oleh  staff-staff kokurikulum dari setiap kampus. Setiap kumpulan mempunyai 4 orang ahli. Manakala Puncak 6 menara mempunyai 6 orang ahli dalam setiap kumpulan wakil dari setiap kampus. Kedua-dua pertandingan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari, Selepas itu, pada pukul 3.00 petang pula adalah sesi raptai untuk Majlis Penutupan pada keesokkan harinya. Sesi raptai berakhir pada petang itu dan kemudian kami semua pulang ke penginapan masing-masing. Pada malam itu pula, majlis makan malam berlangsung bagi mengeratkan lagi silaturahim antara setiap kampus. Majlis berakhir kira-kira pada pukul 11 malam.



  Hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap peserta yang telah menyertai acara yang dipertandingkan bagi mengetahui siapa yang bakal memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga dalam setiap acara. Majlis Penutupan berlangsung pada jam 8.30 pagi dan telah dirasmikan dan ditutup oleh Prof Dato' Dr Abdullah Mohamad Said selaku Timbalan naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM. Seterusnya acara penyampaian hadiah bagi para pemenang. UiTM Johor telah memenangi tempat pertama dalam Iron Chef (Staff Kokurikulum), tempat kedua dalam acara Jalan Lasak dan tempat ketiga dalam acara Paintball. Kejayaan ini telah menaikkan lagi nama Komander Jengking Johor dalam UiTM SeMalaysia. Majlis berlangsung dengan jayanya dan selepas itu para peserta KKEC 2012 pulang ke kampus masing-masing.

  
   

   

Program Kesedaran Pendidikan Bencana Briged Sukarelawan UiTM 2012



           Pada 24 Mei 2012,  jam  7pagi para peserta telah bertolak ke Gunung Jerai,Kedah dengan diiringi oleh penyelaras kokurikulum Leftenan Kesatria Mohd Juakhir Bin Hassan serta dua orang Majlis Tertinggi Jawatankusa Perwakilan Komander Kesatria iaitu Komander Kanan Mohammad Syafiq Bin Abu Hashim dan Komander Madya Mohammad Hafiz Bin Abdullah.
            Pada jam  5 petang, para peserta telah sampai di Gunung Jerai,Kedah. Para peserta sepatutnya menjalani akiviti di Gunung Jerai tetapi disebabkan oleh masalah tanah runtuh yang berlaku di sana, pihak penganjur telah menukar lokasi ke Hutan Lipur Sri Perigi, Yan Kedah.
Sesampai disana, para peserta diarahkan untuk memasang khemah dan diminta untuk membina tandas kecemasan. Para peserta juga telah diberi sedikit taklimat sebelum aktiviti bermula. Pada waktu malam, para peserta telah dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing untuk menjalani aktiviti-aktiviti pada keesokkan harinya. Pemilihan penghulu dan penghuluwati juga telah dilantik untuk mengetuai dan mengawasi para peserta yang lain.


Pada keesokkan hari, aktiviti pertama telah dimulakan dengan physical training. Selepas menikmati sarapan pagi, para peserta yang telah dibahagikan kepada lima kumpulan dan diarahkan untuk mengikuti aktiviti-aktiviti menyelamat bersama-sama dengan ahli kumpulan mereka. Aktiviti-aktiviti menyelamat  yang dilakukan pada hari tersebut ialah alih ganti usungan, high rescue, renang, cardiopulmonary resuscitation (CPR), dan taklimat tempat perlindung tempat mangsa bencana. Setiap aktiviti tersebut dipantau oleh jurulatih-jurulatih Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Aktiviti tersebut berakhir pada waktu petang. Para peserta diberi masa untuk bersiap bagi solat magrib berjemaah dan menikmati makan malam mereka. Selepas itu, para peserta dijadualkan untuk mengikuti ceramah Majlis Keselamatan Negara Akta 20 (MKN 20). Selesai sahaja sesi ceramah tersebut, maka berakhirlah aktiviti pada hari tersebut.


Pada 26 Mei 2012 pula, aktiviti GPS pula berlangsung. Sebelum para peserta dilepaskan untuk aktiviti tersebut mereka telah diberi taklimat dan sedikit penerangan oleh Tuan Amirul Asraf mengenai cara penggunaan GPS. Pada waktu tengahari, para peserta dilepasan ke check point yang telah ditetapkan oleh jurulatih. Setiap kumpulan diiringi oleh seorang jurulatih bagi memantau mereka sepanjang perjalanan. Pada waktu malam, aktiviti malam kebudayaan telah diadakan. Para peserta diminta untuk membuat persembahan mengikut kumpulan mereka.


Pada 27 Mei 2012, aktiviti yang berlangsung adalah taklimat mengenai sukarelawan oleh salah seorang pegawai Pertahanan Awam. Pada waktu tengahari,para peserta diminta mengemas peralatan serta barang-barang perkhemahan yang telah digunakan dan barang-barang peribadi mereka untuk pulang ke kampus masing-masing. Setelah selesai mengemas, aktiviti terakhir yang telah dilakukan iaitu memasak masakan kecemasan. Para peserta hanya dibekalkan dengan tepung, gula dan garam. Mereka diminta menyediakan makanan dengan menggunakan barang-barang yang dibekalkan sahaja. Setelah makanan telah siap disediakan, para peserta diminta untuk memakan masakan yang mereka sediakan.


              Pada jam 1 petang, selepas makan tengahari para peserta telah mula bertolak pulang ke UITM masing-masing. Sebelum itu, para peserta diminta mengisi borang permohonan sukarelawan Jabatan Pertahanana Awam Malaysia anjuran Pulau Pinang. Selepas itu, majlis diakhiri dengan ucapan wakil UITM Puncak Alam selaku penganjur  bagi program Kesedaran Briged Sukarelawan UITM dan ketua Jabatan Pertahanan Awam Pulau Pinang iaitu Tuan Amirul Asyraf. 

Monday, February 20, 2012

Kompeni Charlie: Kem Asahan Saujana Melaka

          Kompeni Charlie pada semestar ini telah mengadakan program perkhemahan di Saujana Asahan, Melaka yang disertai seramai 90 orang peserta termasuk komander dan pengawai pengiring. Program ini berlangsung selama tiga hari dua malam . Dibawah adalah tentatif program yang berlangsung.         

Pada 20 JANUARI 2012
           Para peserta berkumpul di padang kawad pada pukul 3.00 petang untuk diberikan taklimat awal dan semakan kehadiran peserta. Pada pukul 4.00 petang, para pelajar bergerak keluar menaiki bas dari pekarangan padang UiTM Segamat ke destinasi. Tepat pukul 5.30 petang, para peserta perkhemahan selamat tiba di Kem Saujana Asahan. Kami juga dimaklumkan mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di dalam kawasan tersebut. Setelah diberi taklimat ringkas, kami dibenarkan membuat pentadbiran sendiri, seperti mendirikan  khemah. Kami juga dikehendaki untuk solat maghrib dan isya’ berjemaah apabila masuknya waktu solat. Selain daripada itu, kami sempat mengadakan bacaan yasin beramai-ramai.  
          Selesai solat isya’, semua peserta berkumpul untuk menjalani LDK 1.  Dalam aktiviti ini, para peserta dikehendaki memperkenalkan nama kumpulan berserta ‘trade mark’ mereka sendiri. Selain itu, para peserta diberi bekalan straw bagi mencipta bangunan pencakar langit yang kukuh daripadanya serta mereka diarahkan menjaga barang amanah tersebut. Selepas itu, mereka dikehendaki mempersembahkan hasil karya mereka. Aktiviti ini dapat menguji tahap kreativiti, kesabaran serta  semangat kerjasama di kalangan mereka.
          Tepat jam 12.00 malam, para peserta bersiap untuk tidur serta sentry. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dimana mereka dikehendaki mengawal kawasan perkhemaham secara bergilir-gilir mengikut masa yang telah ditetapkan.








 21 JANUARI 2012
               Pada pukul 5.30 pagi, para pelajar bersiap sedia untuk solat subuh berjemaah. Kemudian para peserta diminta untuk berbincang tentang malam kebudayaan yang akan berlangsung pada malam tersebut kemudian para peserta menjalani latihan fizikal dan senaman pagi dibawah penyelarasan jurulatih KOMPENI CHARLIE.
               Para pelajar menikmati sarapan yang telah disediakan tepat jam 8.00 pagi. Selepas itu aktiviti flying fox dan abseiling dikendalikan oleh jawatankuasa perwakilan dari Majlis Sukan Negara dan sebelum aktiviti dimulakan beberapa taklimat ringkas keselamatan dan langkah – langkah yang betul di beritahu kepada semua para peserta selain itu juga para peserta didedahkan dengan peralatan-peralatan yang digunakan seperti ‘harnest’, sarung tangan, topi keselamatan dan lain-lain. Kemudian selepas aktiviti tersebut, semua peserta berehat seketika bagi menikmati makan tengah hari serta bersiap untuk solat zohor berjemaah.
              Seterusnya aktiviti diteruskan lagi dengan perbincangan antara peserta untuk malam kebudayaan. Ketika aktiviti itu sedang dijalankan tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Maka aktiviti pun terkendala . Justeru itu, komander yang bertugas mempindahkan aktiviti tersebut ke dewan.Selesai aktiviti tersebut,semua peserta berehat sebentar dan bersiap untuk solat asar berjemaah.
              Aktiviti dijalankan lagi dengan menikmati minum petang. Semasa aktiviti dijalankan semua peserta memberikan kerjasama yang baik dan mendengar arahan daripada komader pengiring serta jurulatih.
             Sementara menunggu masuknya waktu solat maghrib para peserta diberikan sedikit masa untuk berlatih dan berbincang supaya persembahan yang menarik serta menghiburkan pada malam kebudayaan. Semua peserta memberikan kerjasama yang baik dalam setiap kumpulan. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah bagi  menguji tahap kreativiti dan kerjasama di dalam kumpulan.
             Selepas selesai menunaikan, solat maghrib dan isya’ secara berjemaah,aktiviti di teruskan lagi dengan malam kebudayaan dan sedikit jamuan ‘BBQ’ yang disediakan oleh pihak urusetia dan fasilitator .Di dalam aktiviti ini dapat dilihat semua peserta dapat memberikan kerjasama dan mampu menghasilkan beberapa cerita yang menarik.
              Tepat jam 12.30 mlm,aktiviti di teruskan lagi dengan ‘night walk’ selama 2 jam. Aktiviti ini adalah untuk menguji tahap keberaniaan setiap peserta dan pengalaman  dalam menghadapi situasi yang mencabar. Seterusnya, para  peserta dikehendaki mengawal kawasan perkhemahan secara bergilir-gilir mengikut masa yang telah ditetapkan.




22 JANUARI 2012
               Pada pukul 5.30 pagi, semua peserta bersiap sedia untuk solat subuh secara berjemaah. Tepat jam 6.45 pagi, semua peserta menjalani aktiviti senaman pagi yang dikendalikan oleh jurulatih Tempur Tanpa Senjata bahagian II.
             Tepat jam 8.00 pagi semua peserta menikmati sarapan pagi sebelum  meneruskan aktiviti seterusnya . Selepas selesai bersarapan semua peserta dibawa berjalan dalam kumpulan menuju  ke kawasan air terjun di Asahan Melaka.
              Ketika berada dikawasan air terjun tersebut semua peserta dibenarkan untuk mandi – manda dan merehatkan diri sebelum pulang semula ke kawasan perkhemahan.Semua peserta pada ketika itu kelihatan amat gembira dan seronok disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara masing – masing.
              Pada jam 11.30 pagi semua peserta selamat pulang ke kawasan perkhemahan.Tiba waktu tengah hari semua peserta menikmati makan tengah hari dan sebelum  bersiap untuk solat zohor berjemaah peserta diminta untuk mengemas semula khemah masing – masing dan membersihkan kawasan perkhemahan.
              Selesai solat zohor secara berjemaah, tamatlah aktiviti kem perkhemahan Charlie bagi pengambilan Nov 2011 hingga Mac 2012.Kami berkumpul semula untuk  diberi sedikit taklimat dan sesi penyampaian hadiah bagi setiap kumpulan.Taklimat tersebut disampaikan oleh Encik Jamil Bin Sulong selaku penyelaras KO Kesatria Negara.
              Tepat jam 4.00 petang kami tiba di kawasan Kampus UiTM Johor dengan selamat. Diakhir perjumpaan, tersebut kami diberikan sedikit nasihat dan beberapa arahan untuk persediaan Kokurikulum selanjutnya.








               Aktivi ini banyak memberikan manfaat kepada semua kerana ia bukan sahaja memberikan kekuatan fizikal malahan ia juga mengeratkan hubungan silaturrahim antara komander-komander dan pelajar-pelajar kokurikulum. Oleh itu, diharapakan aktiviti seperti ini akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.