KEM KEPIMPINAN PELAJAR SEKOLAH RENDAH DAERAH SEGAMAT
Pada 8 hingga 9 November 2025, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah menganjurkan sebuah perkhemahan penuh ilmu, cabaran dan pengalaman baru buat para pelajar sekolah rendah daerah Segamat. Perkhemahan ini berlangsung di Bilik Kuliah Sri Pegaga 4 & 5 serta Tapak Perkhemahan UiTM dengan penglibatan Komander Kesatria serta para pelajar. Kem Kepimpinan Pelajar Sekolah Rendah Daerah Segamat merupakan sebuah program pembangunan jati diri dan kepimpinan. Program ini dirancang khusus untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid sekolah rendah tentang asas kepimpinan, pembentukan sahsiah diri, serta kerjasama berpasukan.
Pada 8 November 2025, Program dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran, sarapan dan taklimat program sebagai persediaan peserta. Seterusnya, peserta dibawa ke tapak perkhemahan untuk mengikuti sesi pengenalan jenis-jenis khemah serta teknik mendirikan khemah dengan bimbingan penuh daripada Komander Kesatria dan Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST).
Pendaftaran Kem Kepimpinan Pelajar Sekolah Rendah Daerah Segamat
Selepas solat Zohor dan makan tengah hari di Masjid As-Syakirin, peserta mengikuti slot Asas Pertolongan Cemas yang disampaikan oleh Komander Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM). Peserta turut diberi peluang melakukan praktikal seperti menggunakan kain anduh bagi merawat kecederaan asas.
Slot Asas Pertolongan Kecemasan
Pembelajaran Asas Pertolongan Kecemasan
Pada waktu petang, para peserta diperkenalkan dengan Demonstrasi Ikhtiar Hidup yang merangkumi cara menghidupkan api serta jenis masakan hutan. Aktiviti diteruskan dengan Merempuh Halangan, satu sesi fizikal yang menguji ketahanan dan kerjasama kumpulan.
Demonstrasi Ikhtiar Hidup
Aktiviti Merempuh Halangan
Aktiviti Merempuh Halangan dibantu oleh Para Komander
Pada waktu malam, program diteruskan dengan Slot Kepimpinan Dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Aktiviti ini membantu peserta membina keyakinan diri, komunikasi dan kerjasama. Hari pertama diakhiri dengan sesi rehat pada jam 10.30 malam.
Slot Kepimpinan dan Latihan Dalam Kumpulan
Aktiviti Dalam Kumpulan
Hari kedua bermula seawal jam 5.30 pagi dengan solat Subuh di Masjid As-Syakirin. Pada jam 7.00 pagi, peserta melakukan Senamrobik yang dipimpin oleh Ahli Briged Sukarelawan serta Komander Kesatria, kemudian meneruskan aktiviti Jungle Trekking melalui laluan menuju ke stor pelupusan.
Senamrobik bersama Ahli Briged Sukarelawan serta Para Komander Kesatria
Aktiviti pemanasan badan
Aktiviti Jungle Trekking
Setibanya kembali di tapak perkhemahan, para peserta melakukan Gotong-Royong dan menikmati sarapan pagi.
Aktiviti Gotong-Royong
Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan Latihan Asas Kawad Kaki di bawah bimbingan Komander Kesatria di Padang Kawad UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Sebelum majlis penutup, peserta diberi masa untuk pentadbiran diri, minum pagi dan membuat persiapan akhir.
Latihan Asas Kawad Kaki bersama Para Komander Kesatria
Latihan Pemantapan Asas Kawad Kaki
Majlis penutup berlangsung pada jam 12.00 tengah hari, merangkumi nyanyian lagu, bacaan doa, ucapan aluan, ucapan perasmian yang dirasmikan oleh Tuan Hj Rosli Bin Ismail selaku Guru Besar SK Gemereh Merangkap Pengerusi PGBM Zon Utara Segamat serta penyampaian hadiah dan cenderahati. Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Ucapan Perasmian daripada Tuan Hj Rosli Bin Ismail selaku Guru Besar SK Gemereh merangkap Pengerusi PGBM Zon Utara Segamat
Barisan Guru Besar serta Penolong Pendaftaran Kanan Kokurikulum UiTM Cawangan Johor dan Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI
Majlis Penutup Kem Kepimpinan Pelajar Sekolah Rendah Daerah Segamat
Sesi Fotografi
Akhir sekali, program ini telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah untuk mempelajari nilai-nilai penting dalam kehidupan. Selain membantu mereka mengenali bakat dan potensi diri, program ini juga menggalakkan pembinaan keyakinan diri, disiplin, serta kemahiran memimpin sejak kecil. Diharapkan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan harian, mendorong semangat belajar, dan menjadi asas yang kukuh bagi kejayaan akademik serta pembangunan diri yang seimbang sepanjang pengajian mereka di sekolah.
No comments:
Post a Comment