Pada 31 Ogos 2025 bersamaan dengan hari Ahad yang lalu, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah turut serta dalam Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Kali Ke-68 Peringkat Daerah Segamat Tahun 2025 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68. Majlis gilang-gemilang ini telah berlangsung di Dataran Segamat dengan penuh semangat dan kebanggaan.
UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah menghantar satu kontinjen yang terdiri daripada 71 orang anggota Komander Kesatria bagi menyertai perbarisan pembawa bendera negeri Johor. Kontinjen ini telah diketuai oleh Komander Kanan Muhammad Harith Bin Abd Rahman, yang memimpin perarakan dengan penuh disiplin dan keberanian.
Bagi memastikan kelancaran serta keseragaman perbarisan, latihan kawad merdeka telah dijalankan selama empat hari berturut-turut bermula 27 Ogos 2025 (Rabu) bertempat di UiTM Segamat. Latihan intensif ini telah berjaya membentuk semangat berpasukan, disiplin yang tinggi, serta memantapkan persembahan kawad bagi mengharumkan nama UiTM Johor di peringkat daerah.
Berdasarkan tentatif, pada jam 5.00 pagi para peserta telah bergerak menaiki bas dari UiTM Segamat menuju ke bandar Segamat. Mereka tiba di Masjid Kampung Jawa pada jam 5.45 pagi untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Tepat jam 6.50 pagi, peserta mula bergerak ke Dataran Segamat dan selamat tiba pada jam 7.20 pagi. Majlis dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan penuh gilang-gemilang, dihadiri oleh pelbagai kontinjen daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform serta institusi pendidikan manakala para peserta menzahirkan disiplin dan komitmen yang tinggi sepanjang perbarisan berlangsung. Majlis berakhir pada jam 10.30 pagi dengan suasana meriah dan penuh rasa kebanggaan.
Kehadiran dan semangat kental yang dipamerkan oleh semua anggota Komander Kesatria dalam menyertai perbarisan, terutamanya barisan pembawa bendera Johor yang melangkah gagah dengan penuh kebanggaan, telah menyemarakkan api patriotisme serta memperkukuhkan rasa cinta yang mendalam terhadap negara dan negeri Johor. Kesungguhan ini bukan sahaja mencerminkan disiplin dan komitmen warga Komander Kesatria, malah menjadi contoh teladan kepada generasi muda dalam menzahirkan rasa syukur, taat setia dan cinta tanah air. Marilah kita bersama-sama meraikan detik bersejarah ini sebagai lambang perpaduan, semangat juang, serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Malaysia dan negeri Johor tercinta.
No comments:
Post a Comment