Pada 8 September 2025, pasukan Komander Johor telah tiba di UiTM Cawangan Kedah untuk menyertai Pertandingan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025. Suasana meriah dengan kehadiran kontinjen dari pelbagai kampus UiTM seluruh Malaysia yang turut berkumpul bagi membuat pendaftaran. Wajah-wajah ceria dan penuh semangat jelas terpancar dalam kalangan peserta, masing-masing membawa harapan besar untuk mengharumkan nama kampus mereka. Pasukan Johor yang terdiri daripada Kampus Segamat dan Pasir Gudang hadir dengan persiapan rapi hasil latihan yang telah dijalankan lebih awal.
Komander Johor bertolak ke UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani
Ketibaan Komander Johor di UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani
Pada 9 September 2025, suasana kejohanan semakin meriah dengan berlangsungnya taklimat rasmi oleh pihak penganjur. Para atlet diberi penerangan menyeluruh mengenai aturan pertandingan, objektif acara dan pengenalan kontinjen dari setiap kampus. Selain itu, ujian trek pertandingan turut dijalankan bagi memberi peluang atlet menyesuaikan diri dengan persekitaran sebenar pertandingan. Bagi pasukan Johor, hari kedua ini sangat penting kerana ia menjadi titik permulaan strategi dan perancangan taktikal. Semangat berpasukan jelas terpancar apabila setiap atlet saling menyokong dan memberi motivasi antara satu sama lain, menandakan kesatuan hati yang kuat demi kejayaan bersama.
Sesi taklimat Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025
Tanggal 10 September 2025 bermulanya acara pertama, iaitu Extreme Outdoor Quest (EOQ) pada jam 8.30 pagi. Acara yang mencabar ini menuntut ketahanan fizikal, kecekapan dan keserasian berkumpulan. Suasana sengit dapat dirasai di sepanjang trek apabila setiap kontinjen berjuang habis-habisan untuk menamatkan cabaran. Namun begitu, pasukan Johor telah berjaya mendapatkan tempat kelima daripada keseluruhan kumpulan dan mereka tetap menonjolkan semangat juang yang tinggi. Johan bagi acara ini disandang oleh UiTM Cawangan Melaka, diikuti UiTM Perlis dan UiTM Selangor.
Pada malam harinya, tepat jam 9.00 malam, berlangsung acara Jalan Lasak yang terkenal dengan cabaran daya tahan dan kekuatan fizikal. Seramai 14 atlet dari Johor telah mengambil bahagian, masing-masing berusaha gigih menamatkan laluan penuh halangan. Keringat yang mengalir tidak sia-sia apabila bagi kategori siswa, UiTM Johor berjaya meraih tempat kedua, manakala kategori siswi lebih membanggakan apabila Johor dinobatkan sebagai Johan. Kejayaan ini jelas membuktikan semangat tidak mengenal penat lelah, sekali gus menyuntik keyakinan tinggi untuk acara seterusnya.
Peserta acara Extreme Outdoor Quest (EOQ)
Peserta acara Jalan Lasak Siswa
Peserta acara Jalan Lasak Siswi
Pada 11 September 2025, kejohanan diteruskan dengan acara Score Orienteering yang bermula pada jam 8.30 pagi. Acara ini menguji kebijaksanaan peserta dalam membaca peta, menjejak lokasi kawalan serta membuat keputusan pantas di lapangan. Lapan orang peserta Johor terdiri daripada siswa dan siswi telah menyahut cabaran ini. Walaupun trek sukar dan memerlukan ketelitian tinggi, semangat kental ditunjukkan oleh semua atlet. Keputusan rasmi menyaksikan UiTM Selangor menjuarai kategori siswa diikuti UiTM Melaka dan UiTM Kedah serta UiTM Johor telah meraih tempat kelapan bagi acara tersebut. Namun, Johor berjaya mencatat kegemilangan apabila kategori siswi menyaksikan mereka dinobatkan sebagai Johan, diikuti UiTM Negeri Sembilan dan UiTM Kedah. Sorakan gemuruh kontinjen Johor pada ketika itu benar-benar membakar semangat seluruh pasukan.
Peserta acara Score Orienteering
Peserta acara Score Orienteering Siswi
Pada 12 September 2025, acara yang paling dinanti-nantikan iaitu Merempuh Halangan berlangsung pada jam 8.30 pagi. Acara ini bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal malah menguji keberanian, kepantasan dan ketangkasan dalam mengatasi pelbagai halangan. Atlet Johor tampil dengan penuh yakin dan hasilnya, UiTM Johor berjaya menjuarai kedua-dua kategori siswa dan siswi. Kemenangan berganda ini amat bermakna kerana ia membuktikan ketekunan latihan yang dijalankan selama ini berbaloi. Sorakan dan laungan semangat mengiringi kejayaan mereka sehingga mencetuskan suasana penuh kebanggaan di kalangan kontinjen Johor. Naib Johan kategori (siswa) disandang UiTM Kedah manakala kategori (siswi) UiTM Sabah. Tempat ketiga pula menjadi milik UiTM Sabah (siswa) dan UiTM Perlis (siswi).
Peserta acara Rempuh Halangan Siswa
Peserta acara Rempuh Halangan Siswi
Pada 13 September 2025, kejohanan turut menyelitkan program Khidmat Komuniti yang bertujuan memupuk rasa tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta. Aktiviti membersihkan kawasan sekitar bersama komuniti setempat dijalankan dengan penuh semangat kerjasama. Walaupun penat selepas beberapa hari bertanding, para peserta tetap tersenyum gembira kerana dapat menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat.
Pada sebelah malam pula, raptai majlis penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025 diadakan sebagai persiapan akhir sebelum acara kemuncak.
Akhirnya, pada 14 September 2025, tibalah hari yang dinantikan iaitu Majlis Penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025. Suasana penuh meriah menyelubungi dewan UiTM Cawangan Kedah apabila kontinjen dari seluruh Malaysia berkumpul untuk meraikan kejayaan masing-masing. Majlis dimulakan dengan gimik perasmian penutup yang penuh simbolik, diikuti pengumuman rasmi keputusan keseluruhan kejohanan. Sorakan dan tepukan bergema apabila diumumkan UiTM Cawangan Johor dinobatkan sebagai Johan keseluruhan, disusuli UiTM Negeri Sembilan di tempat kedua dan UiTM Melaka di tempat ketiga. Kejayaan ini menjadi bukti ketabahan, semangat setia kawan serta usaha tanpa mengenal putus asa oleh para Komander Johor. Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera kejohanan kepada UiTM Cawangan Pahang yang bakal menjadi tuan rumah Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 14/2026.
Majlis perasmian penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025
Juara Keseluruhan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025
Secara keseluruhannya, Pertandingan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025 bukan sekadar pertandingan sukan lasak, tetapi juga medan untuk mengasah ketahanan mental, memperkukuh semangat berpasukan serta memupuk nilai kepimpinan dan setia kawan dalam kalangan para Komander Kesatria UiTM.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet yang terlibat. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk para Komander Johor terus bangkit dan mengekalkan gelaran juara pada tahun-tahun mendatang.
No comments:
Post a Comment