MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Saturday, January 03, 2026

PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM (PERKOM KO) 2025

PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM (PERKOM KO) 2025

Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform (PERKOM KO) 2025 anjuran Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah berlangsung dengan penuh semangat bermula 12 hingga 16 November 2025. Sebanyak 12 kompeni telah bersaing dalam 11 acara yang dipertandingkan, iaitu Kompeni Alpha Kesatria Negara, Kompeni Bravo Kesatria Negara, Kompeni Charlie Kesatria Negara, Kompeni Delta Kesatria Negara, Kompeni Echo Kesatria Negara, Kompeni Foxtrot Kesatria Negara, Kompeni Kesatria Kembara, Kompeni Siswa Bomba Bantuan  (SISBOM), Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kompeni Brass Band dan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS).


POSTER PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM ( PERKOM KO) 2025


Sebanyak 11 acara yang dipertandingkan iaitu Tarik Tali, E-Sport Mobile Legends, Sorakan Kreatif, Maze Orienteering, Kawad Kaki Formasi, Rempuh Halangan, Simulasi CPR, Simulasi Bencana, Deklamasi Sajak, Perkom Run dan Road Relay. Pada hari pertama bersamaan dengan 12 November 2025, PERKOM KO 2025 ini telah dimulakan dengan ucapan perasmian yang telah dirasmikan oleh Kol. Irwan Bin Ismail (KEST).


UCAPAN PERASMIAN DARIPADA TIMBALAN REKTOR UiTM JOHOR



Pada 12 November 2025, PERKOM KO dimulakan dengan acara pertama iaitu Tarik Tali pusingan awal diteruskan bagi menentukan kompeni yang layak mara ke peringkat seterusnya. Pada sebelah malam pula, acara E-Sport berlangsung bagi pusingan saringan yang memperlihatkan saingan strategi digital antara kompeni yang bertanding.


ACARA TARIK TALI

ACARA E-SPORT : MOBILE LEGEND


Pada 14 November 2025, suasana pertandingan semakin hebat. Pada sebelah petang, dua acara utama iaitu Tarik Tali dan Road Relay dijalankan serentak pada jam 4.00 petang. Dalam masa yang sama, acara Road Relay berlangsung dengan larian berpasukan yang penuh strategi. Kompeni Kesatria Kembara berjaya mendahului sebagai juara, manakala Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) berada di tempat kedua dan Kompeni Echo Kesatria Negara menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. 


ACARA ROAD RELAY


Pada sebelah malam pula berlangsung acara Kawad Kaki Formasi. Bagi acara Kawad Kaki Formasi, sebanyak 11 Kompeni yang telah bertanding. Kompeni Echo Kesatria Negara telah dinobatkan sebagai juara, diikuti  Kompeni Alpha Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara.


ACARA KAWAD KAKI FORMASI


Pada 15 November 2025, beberapa acara utama dijalankan. Pagi itu dimulakan dengan Rempuh Halangan, di mana Kompeni Echo Kesatria Negara berjaya menamatkan litar dengan masa terbaik, diikuti Kompeni Brass Band dan Kompeni Bravo Kesatria Negara. 


ACARA REMPUH HALANGAN


Pada jam 2.00 petang, Simulasi CPR dan Simulasi Bencana dijalankan. Bagi acara Simulasi CPR dimenangi oleh Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), manakala Kompeni Kesatria Kembara dan Kompeni Bravo Kesatria Negara menyusul di tempat kedua dan ketiga. Bagi  acara Simulasi Bencana dijuarai oleh Kompeni Siswa Bomba Bantuan (SISBOM), diikuti Kompeni Bravo Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara. 


ACARA SIMULASI BENCANA


ACARA SIMULASI CPR


Petang itu turut memperlihatkan perlawanan akhir Tarik Tali dan selepas pertarungan sengit, Kompeni Siswa Bomba Bantuan (SISBOM) muncul juara, dengan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) di tempat kedua dan Kompeni Bravo Kesatria Negara di tempat ketiga. 


ACARA TARIK TALI


Pada sebelah malam, Sorakan Kreatif berlangsung dengan meriah dan menyaksikan Kompeni Alpha Kesatria Negara meraih tempat pertama, disusuli Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kompeni Foxtrot Kesatria Negara.


ACARA SORAKAN KREATIF


Pada hari terakhir, 16 November 2025, PERKOM Run membuka tirai pada jam 8.00 pagi dengan penyertaan penuh semangat dari semua kompeni. Kompeni Kesatria Kembara sekali lagi menunjukkan kekuatan fizikal apabila muncul juara, manakala Kompeni Echo Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara berada di tempat kedua dan ketiga.


ACARA PERKOM RUN


Pada tengah hari, acara Final E-Sport : Mobile Legends dijalankan sebagai penentuan terakhir bagi kategori E-Sport. Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya muncul juara, dengan Kompeni Alpha Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara di tempat kedua dan ketiga. 


ACARA E-SPORT : MOBILE LEGEND


Pada waktu petang, acara Maze Orienteering dijalankan. Kompeni Delta Kesatria Negara muncul sebagai juara, diikuti Kompeni Kesatria Kembara dan Kompeni Brass Band. 


ACARA MAZE ORIENTEERING


Pada sebelah malam, acara Deklamasi Sajak menjadi acara terakhir PERKOM KO 2025, menyaksikan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) memenangi tempat pertama, manakala Kompeni Alpha Kesatria Negara dan Kompeni Kesatria Kembara berada di tempat kedua dan ketiga.


ACARA DEKLAMASI SAJAK


Sepanjang penganjuran PERKOM KO 2025, para peserta menunjukkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi. Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI merakamkan penghargaan kepada semua kompeni, Komander Pengiring dan para Komander yang menjayakan program ini. Tahniah kepada semua pemenang yang telah memberikan persembahan dan kesungguhan terbaik sepanjang kejohanan ini berlangsung.


KEM KEPIMPINAN PELAJAR SEKOLAH RENDAH DAERAH SEGAMAT

KEM KEPIMPINAN PELAJAR SEKOLAH RENDAH DAERAH SEGAMAT

Pada 8 hingga 9 November 2025, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah menganjurkan sebuah perkhemahan penuh ilmu, cabaran dan pengalaman baru buat para pelajar sekolah rendah daerah Segamat. Perkhemahan ini berlangsung di Bilik Kuliah Sri Pegaga 4 & 5 serta Tapak Perkhemahan UiTM dengan penglibatan Komander Kesatria serta para pelajar. Kem Kepimpinan Pelajar Sekolah Rendah Daerah Segamat merupakan sebuah program pembangunan jati diri dan kepimpinan. Program ini dirancang khusus untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid sekolah rendah tentang asas kepimpinan, pembentukan sahsiah diri, serta kerjasama berpasukan. 

Pada 8 November 2025, Program dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran, sarapan dan taklimat program sebagai persediaan peserta. Seterusnya, peserta dibawa ke tapak perkhemahan untuk mengikuti sesi pengenalan jenis-jenis khemah serta teknik mendirikan khemah dengan bimbingan penuh daripada Komander Kesatria dan Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST).

Pendaftaran Kem Kepimpinan Pelajar Sekolah Rendah Daerah Segamat

Selepas solat Zohor dan makan tengah hari di Masjid As-Syakirin, peserta mengikuti slot Asas Pertolongan Cemas yang disampaikan oleh Komander Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM). Peserta turut diberi peluang melakukan praktikal seperti menggunakan kain anduh bagi merawat kecederaan asas.

Slot Asas Pertolongan Kecemasan


Pembelajaran Asas Pertolongan Kecemasan 

Pada waktu petang, para peserta diperkenalkan dengan Demonstrasi Ikhtiar Hidup yang merangkumi cara menghidupkan api serta jenis masakan hutan. Aktiviti diteruskan dengan Merempuh Halangan, satu sesi fizikal yang menguji ketahanan dan kerjasama kumpulan.

Demonstrasi Ikhtiar Hidup

Aktiviti Merempuh Halangan

Aktiviti Merempuh Halangan dibantu oleh Para Komander 

Pada waktu malam, program diteruskan dengan Slot Kepimpinan Dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Aktiviti ini membantu peserta membina keyakinan diri, komunikasi dan kerjasama. Hari pertama diakhiri dengan sesi rehat pada jam 10.30 malam.

Slot Kepimpinan dan Latihan Dalam Kumpulan


Aktiviti Dalam Kumpulan

Hari kedua bermula seawal jam 5.30 pagi dengan solat Subuh di Masjid As-Syakirin. Pada jam 7.00 pagi, peserta melakukan Senamrobik yang dipimpin oleh Ahli Briged Sukarelawan serta Komander Kesatria, kemudian meneruskan aktiviti Jungle Trekking melalui laluan menuju ke stor pelupusan.

Senamrobik bersama Ahli Briged Sukarelawan serta Para Komander Kesatria


Aktiviti pemanasan badan

Aktiviti Jungle Trekking 

Setibanya kembali di tapak perkhemahan, para peserta melakukan Gotong-Royong dan menikmati sarapan pagi.

Aktiviti Gotong-Royong

Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan Latihan Asas Kawad Kaki di bawah bimbingan Komander Kesatria di Padang Kawad UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Sebelum majlis penutup, peserta diberi masa untuk pentadbiran diri, minum pagi dan membuat persiapan akhir.

Latihan Asas Kawad Kaki bersama Para Komander Kesatria 


Latihan Pemantapan Asas Kawad Kaki

Majlis penutup berlangsung pada jam 12.00 tengah hari, merangkumi nyanyian lagu, bacaan doa, ucapan aluan, ucapan perasmian yang dirasmikan oleh Tuan Hj Rosli Bin Ismail selaku Guru Besar SK Gemereh Merangkap Pengerusi PGBM Zon Utara Segamat serta penyampaian hadiah dan cenderahati. Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.

Ucapan Perasmian daripada Tuan Hj Rosli Bin Ismail selaku Guru Besar SK Gemereh merangkap Pengerusi PGBM Zon Utara Segamat

Barisan Guru Besar serta Penolong Pendaftaran Kanan Kokurikulum UiTM Cawangan Johor dan Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI 


Majlis Penutup Kem Kepimpinan Pelajar Sekolah Rendah Daerah Segamat 

Sesi Fotografi 


Akhir sekali, program ini telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah untuk mempelajari nilai-nilai penting dalam kehidupan. Selain membantu mereka mengenali bakat dan potensi diri, program ini juga menggalakkan pembinaan keyakinan diri, disiplin, serta kemahiran memimpin sejak kecil. Diharapkan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan harian, mendorong semangat belajar, dan menjadi asas yang kukuh bagi kejayaan akademik serta pembangunan diri yang seimbang sepanjang pengajian mereka di sekolah.


MESYUARAT AGUNG DWI-TAHUNAN MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA (MPKK) BATALION VI SESI OKTOBER 2025 - FEBRUARI 2026 DAN MAJLIS PENGHARGAAN KOMANDER KESATRIA ENDURANCE CHALLENGE (KKEC) SIRI 13/2025

MESYUARAT AGUNG DWI-TAHUNAN MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA (MPKK) BATALION VI SESI OKTOBER 2025 - FEBRUARI 2026 DAN MAJLIS PENGHARGAAN KOMANDER KESATRIA ENDURANCE CHALLENGE (KKEC) SIRI 13/2025


Pada 18 Oktober 2025 yang lalu, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah mengadakan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Oktober 2025 - Februari 2026 yang bertempat di Lecture Theatre 1 (LT 1). Tujuan majlis ini diadakan untuk melantik Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat yang baharu bagi semester ini.

Pembaca Doa

Pengacara Majlis


Pengacara majlis bagi majlis ini ialah KRK Muhammad Hazriq Hakimie Bin Mohd Sharul Nizam dan KRK Natasha Sofea Binti Moktar. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM. Seterusnya, majlis diiringi dengan bacaan doa yang disampaikan oleh KRK Muazzim Bin Rahmat. Majlis disusuli dengan ucapan daripada Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI, KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman sekaligus melantik Barisan   Kepimpinan Tertinggi dan Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat bagi sesi Oktober 2025 - Februari 2026. Beliau berharap pemerintahan yang baharu ini dapat melahirkan Komander yang berprestasi tinggi dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas-tugas yang diberi serta dapat mengangkat nama Komander Johor.

Ucapan daripada KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman


Majlis diserlahkan lagi dengan ucapan serta amanat yang bermakna daripada Penolong Pendaftar Kanan Kokurikulum dan Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI iaitu Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST). Dalam ucapannya, beliau memberi penghargaan kepada semua hadirin atas kerjasama dan usaha mereka dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh UiTM serta mengharumkan nama Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI. Beliau juga amat berbangga dengan usaha dan penglibatan Komander Johor dalam Majlis Perbarisan, Perarakan dan Perhimpunan Hari Kebangsaan Kali Ke-68 Peringkat Daerah Segamat 2025 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-68 dan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025 baru-baru ini. Beliau juga mengingatkan Komander Johor supaya bersiap sedia bagi menjayakan program Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) Siri Ke-40 Dan Latihan Intensif Brass Band (LIBB) Siri Ke-37 dan Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform (PERKOM KO) 2025 serta Uni Nature Run 4.0 dan Majlis Kecemerlangan Kokurikulum 2025.

Ucapan daripada Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST)


Seterusnya, majlis dirasmikan oleh Kol. Irwan Bin Ismail (KEST), Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Johor. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh Komander. Pengurusan yang cekap dan teliti berjaya meraih perhatian dan pujian daripada pihak-pihak luar yang turut menyertai aktiviti-aktiviti tersebut. Tidak lupa juga, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Bakal Komander baharu dan berharap agar para Komander dapat menunjukkan contoh yang baik dan memberi tunjuk ajar kepada mereka mengenai perkara yang melibatkan tugas-tugas Komander. Beliau berharap agar nama Komander Johor akan terus dipandang tinggi dan sentiasa bersatu hati dalam usaha menaikkan martabat nama Komander Johor, dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat bagi sesi Oktober 2025 - Februari 2026.

Ucapan daripada Kol. Irwan Bin Ismail (KEST)


Majlis diteruskan lagi dengan upacara pemakaian pangkat oleh Kol. Irwan Bin Ismail (KEST) yang diiringi oleh Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST) bagi melantik Barisan Kepimpinan Tertinggi yang baharu Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, Cawangan Johor, Kampus Segamat. Bagi semester ini, jawatan Pegawai Latih 2 Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) disandang oleh KM Abdul Fattah Bin Azmi. Pada masa yang sama, jawatan Quartermaster 2 pada kali ini diamanahkan kepada KM Qasrina Mardhiah Binti Ibrahim. Justeru, Barisan Majlis Tertinggi iaitu KM Shasha Wardinah Binti Shaharudin dilantik sebagai Ketua Biro Sukarelawan, manakala KM Muhammad Danish Hakimi Bin Mohamad pula dilantik sebagai Ketua Kompeni Bravo Kesatria Negara dan KM Muhammad Danish Haikal Bin Mohd Fadil dilantik sebagai Ketua Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia.

Upacara Pemakaian Pangkat kepada Barisan Kepimpinan Tertinggi dan Majlis Tertinggi yang baharu


Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan gimik penyerahan bintang Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2025 yang disertai oleh KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman dan diiringi oleh Kol. Irwan Bin Ismail (KEST) dan Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST).

Gimik Penyerahan Bintang Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2025

Majlis diteruskan dengan Penyampaian Pingat kepada pemenang acara-acara Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025. Dalam pertandingan kali ini, pasukan Komander Johor telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan apabila berjaya mengungguli pelbagai acara dengan keputusan cemerlang.

Bagi acara Rempuh Halangan Kategori Siswa, pasukan Komander Kesatria Batalion VI berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Pasukan ini dianggotai oleh KMdy Muhammad Faiz Bin Nordin, KMdy Nur Abu Yazid Bin Amran, KM Muhammad Iqbal Irfan Bin Mohd Faisal, KM Abdul Fattah Bin Azmi, KRK Amir Ziyad Bin Muhammad Tuah, serta KRK Muhammad Adam Azfar Bin Suzaini.

Penyampaian Pingat kepada Atlet Rempuh Halangan Siswa

Bagi acara Rempuh Halangan Kategori Siswi, pasukan Komander Johor turut meraih kejayaan gemilang apabila berjaya memperoleh Johan. Kejayaan ini disumbangkan oleh KRK Nur Adilah Aisyah Binti Anuar, KRK Nor Aiman Afiqah Binti Mohd Sa’idon, KRK Nur Amirah Durrah Binti Mohamed Afzal, KRK Hasmidah Binti Sata, KRK Habibah Binti Jamil dan KRK Nur Arinah Naqibah Binti Sulaiman.

Penyampaian Pingat kepada Atlet Rempuh Halangan Siswi

Dalam acara Score Orienteering Kategori Siswi, pasukan Johor juga berjaya meraih Johan, hasil kerjasama antara KRK Nur Adilah Aisyah Binti Anuar, KRK Nor Aiman Afiqah Binti Mohd Sa’idon, KRK Habibah Binti Jamil dan KRK Nur Arinah Naqibah Binti Sulaiman.

Penyampaian Pingat kepada Atlet Score Orienteering Siswi

Kejayaan turut diteruskan menerusi acara Jalan Lasak Kategori Siswi, di mana pasukan Komander Johor berjaya memperoleh Johan. Antara ahli pasukan ialah KMdy Nur Atiqah Binti Azlan, KMdy Annisa Binti Abdullah, KM Shasha Wardinah Binti Shaharudin, KM Qasrina Mardhiah Binti Ibrahim, KRK Nur Amirah Durrah Binti Mohamed Afzal dan KRK Habibah Binti Jamil.

Penyampaian Pingat kepada Atlet Jalan Lasak Siswi

Sementara itu, bagi acara Jalan Lasak Kategori Siswa, pasukan Komander Johor berjaya memperoleh Naib Johan. Pasukan ini terdiri daripada KMdy Muhammad Faiz Bin Nordin, KMdy Muhammad Nabil Zafran Bin Zain Hazaz, KM Abdul Fattah Bin Azmi, KRK Muhammad Adi Afrizal Bin Ibrahim, KRK Amir Ziyad Bin Muhammad Tuah dan KRK Ahmad Harith Azfar Bin Hamzah. 

Penyampaian Pingat kepada Atlet Jalan Lasak Siswa 

Kejayaan demi kejayaan yang diraih dalam KKEC Siri 13/2025 ini membuktikan semangat kesatuan, daya tahan mental serta disiplin tinggi dalam kalangan Komander Johor yang sentiasa berusaha mengharumkan nama UiTM Cawangan Johor di peringkat nasional.

Sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang dicapai oleh pasukan dalam acara Jalan Lasak KKEC Siri 13/2025, majlis turut menyampaikan cenderahati kepada Encik Abd Rashid Bin Esa yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada para atlet sehingga berjaya mengharumkan nama UiTM Cawangan Johor di peringkat nasional. Penyampaian cenderahati ini melambangkan penghargaan atas jasa dan sokongan beliau terhadap semangat juang serta komitmen tinggi pasukan sepanjang pertandingan berlangsung.

Sesi Penyampaian Cenderahati kepada Encik Abd Rashid Bin Esa

Seterusnya, majlis diteruskan dengan menjemput Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST) untuk menyampaikan cenderahati kepada Kol. Irwan Bin Ismail (KEST) sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kerana telah bersama - sama turut serta dalam menjayakan majlis ini.

Sesi Penyampaian Cenderahati kepada Kol. Irwan Bin Ismail (KEST)


Kemudian, majlis menjemput para tetamu VIP untuk berpindah majlis bagi menyaksikan tayangan multimedia yang telah disediakan oleh Biro Multimedia. Di samping itu, bacaan lafaz ikrar Komander Kesatria telah dilaungkan oleh KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman, Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Oktober 2025 - Februari 2026 diikuti oleh para Komander Kesatria. Dengan berakhirnya lafaz ikrar tersebut, maka berakhirlah Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Oktober 2025 - Februari 2026. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Darah Satria dan UiTM Dihatiku oleh semua tetamu jemputan dan para Komander Kesatria.

Sesi Fotografi