MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Thursday, October 16, 2025

KOMANDER KESATRIA ENDURANCE CHALLENGE (KKEC) SIRI 13/2025

Pada 8 September 2025, pasukan Komander Johor telah tiba di UiTM Cawangan Kedah untuk menyertai Pertandingan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025. Suasana meriah dengan kehadiran kontinjen dari pelbagai kampus UiTM seluruh Malaysia yang turut berkumpul bagi membuat pendaftaran. Wajah-wajah ceria dan penuh semangat jelas terpancar dalam kalangan peserta, masing-masing membawa harapan besar untuk mengharumkan nama kampus mereka. Pasukan Johor yang terdiri daripada Kampus Segamat dan Pasir Gudang hadir dengan persiapan rapi hasil latihan yang telah dijalankan lebih awal.

Komander Johor bertolak ke UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani

Ketibaan Komander Johor di UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani

Pada 9 September 2025, suasana kejohanan semakin meriah dengan berlangsungnya taklimat rasmi oleh pihak penganjur. Para atlet diberi penerangan menyeluruh mengenai aturan pertandingan, objektif acara dan pengenalan kontinjen dari setiap kampus. Selain itu, ujian trek pertandingan turut dijalankan bagi memberi peluang atlet menyesuaikan diri dengan persekitaran sebenar pertandingan. Bagi pasukan Johor, hari kedua ini sangat penting kerana ia menjadi titik permulaan strategi dan perancangan taktikal. Semangat berpasukan jelas terpancar apabila setiap atlet saling menyokong dan memberi motivasi antara satu sama lain, menandakan kesatuan hati yang kuat demi kejayaan bersama.

Sesi taklimat Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025

Tanggal 10 September 2025 bermulanya acara pertama, iaitu Extreme Outdoor Quest (EOQ) pada jam 8.30 pagi. Acara yang mencabar ini menuntut ketahanan fizikal, kecekapan dan keserasian berkumpulan. Suasana sengit dapat dirasai di sepanjang trek apabila setiap kontinjen berjuang habis-habisan untuk menamatkan cabaran. Namun begitu, pasukan Johor telah berjaya mendapatkan tempat kelima daripada keseluruhan kumpulan dan mereka tetap menonjolkan semangat juang yang tinggi. Johan bagi acara ini disandang oleh UiTM Cawangan Melaka, diikuti UiTM Perlis dan UiTM Selangor.

Pada malam harinya, tepat jam 9.00 malam, berlangsung acara Jalan Lasak yang terkenal dengan cabaran daya tahan dan kekuatan fizikal. Seramai 14 atlet dari Johor telah mengambil bahagian, masing-masing berusaha gigih menamatkan laluan penuh halangan. Keringat yang mengalir tidak sia-sia apabila bagi kategori siswa, UiTM Johor berjaya meraih tempat kedua, manakala kategori siswi lebih membanggakan apabila Johor dinobatkan sebagai Johan. Kejayaan ini jelas membuktikan semangat tidak mengenal penat lelah, sekali gus menyuntik keyakinan tinggi untuk acara seterusnya.

Peserta acara Extreme Outdoor Quest (EOQ)

Peserta acara Jalan Lasak Siswa 

Peserta acara Jalan Lasak Siswi 

Pada 11 September 2025, kejohanan diteruskan dengan acara Score Orienteering yang bermula pada jam 8.30 pagi. Acara ini menguji kebijaksanaan peserta dalam membaca peta, menjejak lokasi kawalan serta membuat keputusan pantas di lapangan. Lapan orang peserta Johor terdiri daripada siswa dan siswi telah menyahut cabaran ini. Walaupun trek sukar dan memerlukan ketelitian tinggi, semangat kental ditunjukkan oleh semua atlet. Keputusan rasmi menyaksikan UiTM Selangor menjuarai kategori siswa diikuti UiTM Melaka dan UiTM Kedah serta UiTM Johor telah meraih tempat kelapan bagi acara tersebut. Namun, Johor berjaya mencatat kegemilangan apabila kategori siswi menyaksikan mereka dinobatkan sebagai Johan, diikuti UiTM Negeri Sembilan dan UiTM Kedah. Sorakan gemuruh kontinjen Johor pada ketika itu benar-benar membakar semangat seluruh pasukan.

Peserta acara Score Orienteering 

Peserta acara Score Orienteering Siswi 

Pada 12 September 2025, acara yang paling dinanti-nantikan iaitu Merempuh Halangan berlangsung pada jam 8.30 pagi. Acara ini bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal malah menguji keberanian, kepantasan dan ketangkasan dalam mengatasi pelbagai halangan. Atlet Johor tampil dengan penuh yakin dan hasilnya, UiTM Johor berjaya menjuarai kedua-dua kategori siswa dan siswi. Kemenangan berganda ini amat bermakna kerana ia membuktikan ketekunan latihan yang dijalankan selama ini berbaloi. Sorakan dan laungan semangat mengiringi kejayaan mereka sehingga mencetuskan suasana penuh kebanggaan di kalangan kontinjen Johor. Naib Johan kategori (siswa) disandang UiTM Kedah manakala kategori (siswi) UiTM Sabah. Tempat ketiga pula menjadi milik UiTM Sabah (siswa) dan UiTM Perlis (siswi).

Peserta acara Rempuh Halangan Siswa

Peserta acara Rempuh Halangan Siswi

Pada 13 September 2025, kejohanan turut menyelitkan program Khidmat Komuniti yang bertujuan memupuk rasa tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta. Aktiviti membersihkan kawasan sekitar bersama komuniti setempat dijalankan dengan penuh semangat kerjasama. Walaupun penat selepas beberapa hari bertanding, para peserta tetap tersenyum gembira kerana dapat menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat.

Pada sebelah malam pula, raptai majlis penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025 diadakan sebagai persiapan akhir sebelum acara kemuncak.

Akhirnya, pada 14 September 2025, tibalah hari yang dinantikan iaitu Majlis Penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025. Suasana penuh meriah menyelubungi dewan UiTM Cawangan Kedah apabila kontinjen dari seluruh Malaysia berkumpul untuk meraikan kejayaan masing-masing. Majlis dimulakan dengan gimik perasmian penutup yang penuh simbolik, diikuti pengumuman rasmi keputusan keseluruhan kejohanan. Sorakan dan tepukan bergema apabila diumumkan UiTM Cawangan Johor dinobatkan sebagai Johan keseluruhan, disusuli UiTM Negeri Sembilan di tempat kedua dan UiTM Melaka di tempat ketiga. Kejayaan ini menjadi bukti ketabahan, semangat setia kawan serta usaha tanpa mengenal putus asa oleh para Komander Johor. Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera kejohanan kepada UiTM Cawangan Pahang yang bakal menjadi tuan rumah Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 14/2026.

Majlis perasmian penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025

Juara Keseluruhan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025

Secara keseluruhannya, Pertandingan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) Siri 13/2025 bukan sekadar pertandingan sukan lasak, tetapi juga medan untuk mengasah ketahanan mental, memperkukuh semangat berpasukan serta memupuk nilai kepimpinan dan setia kawan dalam kalangan para Komander Kesatria UiTM.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet yang terlibat. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk para Komander Johor terus bangkit dan mengekalkan gelaran juara pada tahun-tahun mendatang.

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN YANG KE-68

Pada 31 Ogos 2025 bersamaan dengan hari Ahad yang lalu, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah turut serta dalam Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Kali Ke-68 Peringkat Daerah Segamat Tahun 2025 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68. Majlis gilang-gemilang ini telah berlangsung di Dataran Segamat dengan penuh semangat dan kebanggaan.

UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah menghantar satu kontinjen yang terdiri daripada 71 orang anggota Komander Kesatria bagi menyertai perbarisan pembawa bendera negeri Johor. Kontinjen ini telah diketuai oleh Komander Kanan Muhammad Harith Bin Abd Rahman, yang memimpin perarakan dengan penuh disiplin dan keberanian.

Bagi memastikan kelancaran serta keseragaman perbarisan, latihan kawad merdeka telah dijalankan selama empat hari berturut-turut bermula 27 Ogos 2025 (Rabu) bertempat di UiTM Segamat. Latihan intensif ini telah berjaya membentuk semangat berpasukan, disiplin yang tinggi, serta memantapkan persembahan kawad bagi mengharumkan nama UiTM Johor di peringkat daerah.

Berdasarkan tentatif, pada jam 5.00 pagi para peserta telah bergerak menaiki bas dari UiTM Segamat menuju ke bandar Segamat. Mereka tiba di Masjid Kampung Jawa pada jam 5.45 pagi untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Tepat jam 6.50 pagi, peserta mula bergerak ke Dataran Segamat dan selamat tiba pada jam 7.20 pagi. Majlis dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan penuh gilang-gemilang, dihadiri oleh pelbagai kontinjen daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform serta institusi pendidikan manakala para peserta menzahirkan disiplin dan komitmen yang tinggi sepanjang perbarisan berlangsung. Majlis berakhir pada jam 10.30 pagi dengan suasana meriah dan penuh rasa kebanggaan.

Kehadiran dan semangat kental yang dipamerkan oleh semua anggota Komander Kesatria dalam menyertai perbarisan, terutamanya barisan pembawa bendera Johor yang melangkah gagah dengan penuh kebanggaan, telah menyemarakkan api patriotisme serta memperkukuhkan rasa cinta yang mendalam terhadap negara dan negeri Johor. Kesungguhan ini bukan sahaja mencerminkan disiplin dan komitmen warga Komander Kesatria, malah menjadi contoh teladan kepada generasi muda dalam menzahirkan rasa syukur, taat setia dan cinta tanah air. Marilah kita bersama-sama meraikan detik bersejarah ini sebagai lambang perpaduan, semangat juang, serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Malaysia dan negeri Johor tercinta.

Sunday, August 10, 2025

PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM MINI
(MINI PERKOM KO) 2025


Pada tanggal 17 hingga 18 Mei 2025, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah menjayakan Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform Mini (Mini Perkom Ko) 2025. Pertandingan ini telah berlangsung selama dua hari dan telah melibatkan 6 buah Kompeni iaitu Kompeni Alpha Kesatria Negara, Kompeni Bravo Kesatria Negara, Kompeni Charlie Kesatria Negara, Kompeni Delta Kesatria Negara, Kompeni Echo Kesatria Negara dan Kompeni Foxtrot Kesatria Negara.


Poster Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform Mini
(MINI PERKOM KO) 2025


Hari pertama dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan Acara Road Relay yang penuh mencabar ketahanan fizikal dan semangat berpasukan. Johan bagi acara ini dimenangi oleh Kompeni Echo Kesatria Negara, diikuti oleh Kompeni Delta Kesatria Negara di tempat kedua dan Kompeni Alpha Kesatria Negara di tempat ketiga.

Acara Road Relay

Acara diteruskan dengan Maze Orienteering yang menguji kemahiran navigasi peserta. Kompeni Alpha Kesatria Negara telah berjaya merangkul gelaran johan, manakala Kompeni Foxtrot Kesatria Negara mendapat tempat kedua dan Kompeni Bravo Kesatria Negara di tempat ketiga.


Acara Maze Orienteering

Pada sesi petang, gelanggang menjadi gamat dengan Acara Tarik Tali yang memperlihatkan kekuatan dan strategi setiap pasukan. Kompeni Foxtrot Kesatria Negara dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Kompeni Echo Kesatria Negara dan Kompeni Alpha Kesatria Negara.

Acara Tarik Tali

Hari kedua iaitu pada 18 Mei 2025 diteruskan dengan Acara Mini PERKOM Run, acara larian yang menguji kecergasan fizikal dan mental para peserta. Kompeni Alpha Kesatria Negara sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dengan meraih tempat pertama, manakala Kompeni Echo Kesatria Negara di tempat kedua dan Kompeni Foxtrot Kesatria Negara di tempat ketiga.

Acara Mini Perkom Run

Sesi penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Lt. Kol. Prof. Madya Ahmad Nawawi Bin Hj. Yaakob (KEST) dengan diiringi oleh Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST). Bagi kejuaraan keseluruhan, Kompeni Alpha Kesatria Negara berjaya muncul juara dengan konsisten meraih kemenangan di beberapa acara utama. Tempat kedua disandang oleh Kompeni Echo Kesatria Negara manakala tempat ketiga milik Kompeni Foxtrot Kesatria Negara.

Tempat Pertama Keseluruhan


Tempat Kedua Keseluruhan


Tempat Ketiga Keseluruhan


Tahniah diucapkan kepada semua pelajar kokurikulum Semester 1 yang telah memberi komitmen sepenuhnya sepanjang program Mini PERKOM KO 2025 ini. Semoga pengalaman ini dapat memupuk semangat kerjasama, ketahanan mental dan fizikal, serta menjadi kenangan manis sepanjang penglibatan dalam aktiviti Kesatria Negara.

KEM DAN LATIHAN PEMANTAPAN KOMANDER KESATRIA BATALION VI SIRI KE-39, 9 MEI 2025 – 12 MEI 2025 | UiTM CAWANGAN JOHOR, KAMPUS SEGAMAT

Pada 9 Mei hingga 12 Mei 2025, Kem dan Latihan Pemantapan Komander Kesatria (Induksi) Batalion VI Siri ke-39 telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari dan bertempat di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program ini melibatkan penyertaan seramai 93 orang Komander Johor dari Batch ke-39 yang diwajibkan menjalani induksi sebagai proses pemantapan sahsiah, kepimpinan, ketahanan mental dan fizikal, serta membina semangat kesukarelawanan dalam diri setiap peserta. Tujuan utama program ini adalah untuk memperkasakan kebolehan diri, meningkatkan kecekapan berfikir dan bertindak secara rasional, serta menambah ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk memimpin pasukan dengan berkesan dan beretika.


Program bermula pada 9 Mei 2025 dengan sesi Baris Pagi dan Latihan Jasmani yang memberi penekanan kepada disiplin dan kecergasan fizikal. Slot pertama yang dijalankan ialah Slot Taklimat Induksi yang disampaikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST). Slot ini memberi gambaran menyeluruh tentang peranan dan tanggungjawab seorang Komander, termasuklah etika, struktur organisasi dan jangkaan sepanjang tempoh induksi. Pada sebelah malam, peserta mengikuti Slot Bengkel Paduan Tenaga yang menekankan aspek pembentukan semangat berpasukan dan kesepaduan tenaga dalam organisasi melalui aktiviti dinamik berkumpulan.


Latihan Jasmani


Slot Taklimat Induksi


Pada hari kedua, 10 Mei 2025, Slot Pelaksanaan Program yang dikendalikan oleh Lt. Muhizan Bin Miskam (KEST) telah dijalankan bagi memberi pendedahan tentang perancangan dan pelaksanaan sesuatu program secara teratur dan sistematik. Para komander diberi pendedahan tentang setiap perkara yang perlu ada dalam kertas kerja iaitu kerja-kerja sebelum, semasa dan selepas. Mereka juga diberi pendedahan tentang setiap borang yang perlu diisi bagi setiap acara atau program yang ingin dilaksanakan sama ada di bawah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) atau Kompeni. Pada waktu petang, peserta melaksanakan Persiapan Tempat Perkhemahan yang diselia oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) bagi membina dan menyusun kawasan perkhemahan dengan menekankan aspek keselamatan, kebersihan dan kekemasan. Pada malamnya, Slot Stronger Together dijalankan bagi menguji keupayaan fizikal, ketahanan mental dan semangat setiakawan melalui aktiviti lasak secara berkumpulan.


Slot Pelaksanaan Program


Slot Stronger Together


Persiapan tapak perkhemahan



Latihan dalam kumpulan


Hari ketiga, 11 Mei 2025, dimulakan dengan Slot Explore Race yang mencabar ketangkasan, strategi dan daya fikir peserta. Aktiviti ini mengandungi pelbagai tugasan yang perlu dilengkapkan di checkpoint sekitar kawasan kampus. Ia menguji kerjasama dalam kumpulan serta keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan. Slot Bonding Games yang dijalankan pada waktu petang pula bertujuan memperkukuhkan hubungan sesama peserta melalui aktiviti yang menguji kepercayaan dan komunikasi. Slot Bengkel Paduan Tenaga sekali lagi dijalankan pada malam hari sebagai pengukuhan semangat pasukan sebelum penutup program.


Slot Bonding Games


Slot Explore Race


Slot Bengkel Paduan Tenaga


Pada hari terakhir, 12 Mei 2025, para Komander mengikuti Slot Kursus Etika dan Protokol Komander yang dikendalikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST). Dalam slot ini, peserta diberi pendedahan tentang etika pemakaian, tatacara komunikasi rasmi dan pengisian borang berkaitan tugasan Komander termasuk Buku Penama Elaun. Slot Gotong-Royong turut dijalankan sebagai simbolik tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kebersihan dan persekitaran. Pada malam penutup, para peserta diraikan dalam majlis ringkas dan diberikan sayap Komander sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan menamatkan kursus induksi dengan penuh komitmen dan dedikasi.

Slot Gotong-Royong


Secara keseluruhan, Kem dan Latihan Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-39 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Para Komander bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan, malah turut mempamerkan semangat kerjasama dan kepimpinan sepanjang program dijalankan. Diharapkan semua peserta dapat meneruskan usaha dan semangat yang ditunjukkan dalam program ini semasa melaksanakan tanggungjawab sebagai Komander Kesatria pada masa akan datang.