MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Wednesday, September 22, 2021

KURSUS TINDAKAN ASAS SEMASA KECEMASAN.

  

Backdrop Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan

    Pada 10 Julai 2021 bersamaan hari Sabtu yang lalu telah berlangsungnya Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan secara atas talian yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat dengan kerjasama Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat. Kursus ini bermula pada pukul 2.30 petang dan berlangsung selama 2 jam 30 minit secara Live di platform Youtube Komander Johor. Matlamat kursus ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih meluas kepada semua mahasiswa khususnya kepada para komander kesatria tentang tindakan asas dan teknik yang betul dalam memberi rawatan awal semasa kecemasan. Kejadian yang tidak diingini boleh berlaku pada bila - bila masa sahaja. Oleh hal yang demikian, kita perlu menyiapkan diri dengan ilmu dan teknik yang tepat untuk berhadapan dengan kejadian sebegini agar keadaan tersebut tidak menjadi lebih parah.


Kursus ini menampilkan penceramah jemputan iaitu Encik Abdul Razak Bin Md. Yassin yang merupakan Jurulatih Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat yang telah berkhidmat sejak tahun 1991. Selain itu, beliau merupakan Pegawai Kadet Remaja Sekolah merangkap Leftenan Kolonel dan Naib Pengerusi 2 BSMM Daerah Segamat. Di samping itu, beliau pernah menjadi pengadil bagi acara CPR dalam Perkom Ko 2019. Malahan, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1996, 2003, 2007 dan 2015. Sehubungan dengan itu, beliau juga telah menerima pingat dalam BSMM dengan mendapat Sijil Kepujian pada tahun 1998, Pingat Bar pada tahun 2010 dan 2019, Pingat Jasa Terpuji 2013, Pingat Kebaktian Terpilih 2016 serta Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2018. 



Cikgu Razak menerangkan berkenaan cara menghadapi
 keadaan yang tidak diingini berlaku.

Bantuan kecemasan atau lebih dikenali sebagai First Aid merupakan bantuan sementara yang diberikan serta merta kepada mangsa yang tercedera atau sakit secara tiba - tiba di tempat itu juga dengan menggunakan alat - alat yang ada pada masa itu sebelum mangsa mendapatkan rawatan daripada doktor atau sebelum ketibaan ambulans. Untuk pengetahuan umum, situasi kematian boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu mati jantung pada minit yang pertama hingga minit ke-3 dan mati otak pada minit ke-4 hingga minit ke-6 (sesetengah sumber mengatakan minit ke-10). 


Tindakan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.


Tindakan awal kecemasan adalah sangat penting bagi menyelamatkan nyawa yang berharga. Terdapat 8 penilaian awal yang perlu kita pastikan daripada mangsa jika berhadapan dengan situasi kecemasan. Antaranya ialah :-


  1. DANGER (Bahaya) : Pastikan keadaan mangsa, diri sendiri dan persekitaran dalam keadaan selamat. Pakai sarung tangan jika ada dan jauhi tumpahan darah, objek tajam, wayar elektrik dan sebagainya.

  2. RESPONSE (Tindak Balas) : Adakah mangsa dalam keadaan sedar? Periksa sama ada mangsa boleh bertindak balas.

  3. SHOUT (Jerit Meminta Bantuan) : Jerit dengan jelas. Jika berseorangan, hubungi talian 999 dan biarkan dalam mode pembesar suara.

  4. AIRWAY (Saluran Pernafasan) : Adakah salur udara terbuka dan tiada halangan? Baringkan mangsa dan buka saluran pernafasan. Dongakkan kepala dan angkat dagu (head tilt - chin lift)

  5. BREATHING (Pernafasan) : Adakah mangsa itu bernafas? Periksa sama ada pernafasan adalah normal dalam masa 10 saat. Jika tidak bernafas, berikan 5 bantuan pernafasan.

  6. CIRCULATION (Peredaran Darah) : Adakah nadinya berdenyut? Dalam masa 10 saat, periksa tanda - tanda mangsa hidup. Jika tiada, mulakan tekan dada dengan berkualiti tinggi pada nisbah 30 tekan kepada 2 hembusan nafas.

  7. DEFIBRILLATION (Defibrilasi) : Pasang pad AED pada dada mangsa. Ikut arahan AED. sambung tekan dada segera selepas Defibrilasi.

  8. RECOVERY POSITION (Posisi Pemulihan) : Tanda - tanda mangsa pulih (bergerak, membuka mata, bernafas dengan normal dan batuk).


CPR juga dikenali dengan nama saintifiknya sebagai "Cardiopulmonary Resuscitation" adalah prosedur kecemasan yang dilakukan dalam usaha mengekalkan funsi otak secara manual sehingga langkah selanjutnya dapat dilakukan bagi mengembalikan aliran darah dan pernafasan secara spontan pada seseorang yang jantungnya berhenti berdegup.


Video contoh tindakan awal yang dapat dilakukan.


Kesimpulannya, Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran bagaimanakah untuk kita membantu dalam memberikan rawatan awal kepada mangsa sewaktu kecemasan. Masa yang diluangkan para peserta bagi menyaksikan perkongsian ini amatlah bermakna kerana segala intipatinya adalah padat, bermanfaat dan menyediakan kita  untuk menghadapi situasi yang tidak terjangka pada masa hadapan. Diharapkan agar segala intipati dan ilmu yang telah disampaikan dapat sama-sama kita terapkan di dalam diri supaya menjadi seorang mahasiswa yang lebih cemerlang pada masa akan datang.




Tuesday, August 31, 2021

LATIHAN INTENSIF BAKAL KOMANDER (LIBK) SIRI 35/2021

         Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) Siri 35/2021 telah berlangsung pada 15 Ogos sehingga 24 Ogos yang lalu. Program kali ini agak berbeza dengan program yang sebelumnya dimana LIBK kali ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan platform “Google Meet”. Seramai 63 orang Bakal Komander telah menyahut cabaran dengan penyertaan seramai 38 peserta dari UiTM kampus Segamat dan 25 orang dari UiTM kampus Pasir Gudang.


Program anjuran Majlis Perwakilan Komander Kesatria dengan kerjasama Unit Kokurikulum UiTM Johor ini diadakan selama 10 hari dengan tujuan untuk membentuk keperibadian dan keterampilan yang menepati aspek-aspek seorang Komander. Selain itu, program ini melatih peserta untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, patuh, berwibawa dan mempunyai jati diri yang teguh. Pelbagai ilmu telah dicurahkan demi pembangunan kendiri peserta.

       


SLOT KENALI MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA (MPKK) BATALION VI 

    

        Memandangkan LIBK berjalan secara atas talian, latihan kawad tidak seperti dahulu dimana akan dijalankan di padang kawad. Dengan kreativiti jurulatih, Lt. Nor Bazran bin Baharum (KEST) pelaksanaan latihan kawad kaki dapat dilakukan di atas talian dengan bantuan para pengiring. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi untuk mengajar, jurulatih dan pengiring tetap bersungguh untuk memberi kefahaman kepada peserta. Tidak lupa juga pada slot lain yang telah dijalankan dengan baik seperti Slot Penganjuran Program yang disampaikan oleh Lt. Muhizan bin Miskam (KEST), Slot Asas Peta yang disampaikan oleh Lt. Muhammad Noriman bin Mohd Ali (KEST), Asas Pertolongan Cemas oleh Komander BSMM Batalion VI dan banyak lagi.




LATIHAN KAWAD KAKI




SLOT ASAS PERTOLONGAN CEMAS





SLOT TAKLIMAT LATIHAN AKHIR



Para pengiring juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi sendiri tanggungjawab dan pengalaman sebagai seorang Komander Kesatria Batalion VI melalui Slot Tanggungjawab Komander yang disampaikan oleh 3 orang pengiring iaitu KMdy Nurul Syafiqah Aqilah binti Khayarani, KMdy Mohamad Zulfadhli bin Fadil dan KMdy Nurul Erinna binti Ellysam. Slot ini memberi pendedahan yang lebih terperinci dalam hal ehwal Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK), biro dan kompeni. Banyak pesanan dan perkongsian sudah disampaikan dengan harapan peserta dapat menjadi seorang Komander Kesatria yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.


        Beberapa ujian telah dijalankan demi menguji kefahaman peserta dan antaranya adalah Ujian Kawad Kaki, Ujian Pengucapan Awam, Ujian Bertulis dan Pembentangan Akhir mengikut kumpulan. Semua peserta dapat menghabiskan ujian-ujian dengan baik dan prestasi mereka sangat memuaskan. Dengan itu, kita dapat lihat peserta telah meletakkan 100% usaha mereka sepanjang program ini dijalankan.



UJIAN PENGUCAPAN AWAM



        Pada 24 Ogos 2021, Majlis Penutup Latihan Intensif Bakal Komander Siri 35/2021 diadakan secara langsung di Youtube Komander Johor dan telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Johor, Brig. Jen. Prof. Dr. Hj. Ismail Ahmad (KEST). Semua peserta LIBK berjaya menyandang pangkat Komander Rendah Muda (KRM) dan dengan rasminya mereka menjadi Ahli Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI. Terdapat empat buah anugerah iaitu Anugerah Kawad Kaki Terbaik yang telah diberikan kepada KRM Nur Hidayatullah binti Ahmad Nazir, Anugerah Akademik Terbaik pula dinobatkan kepada KRM Syed Fitri Abharsyah bin Syed Nisransyah, Anugerah Kecergasan Terbaik diterima oleh KRM Erny Jesnita binti Nizam dan Anugerah Peserta Keseluruhan Terbaik disandang oleh KRM Nor Azmir bin Baharum. Tahniah diucapkan kepada para penerima anugerah.



MAJLIS PENUTUP LATIHAN INTENSIF BAKAL KOMANDER SIRI 35/2021



Dengan berakhirnya Majlis Penutup tersebut, maka tamatlah Latihan Intensif Bakal Komander Kesatria (LIBK) Siri 35/2021. Diharapkan Komander Kesatria yang baharu dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik sekaligus menjaga prestasi akademik di masa akan datang.




Thursday, August 05, 2021

MESYUARAT AGUNG DWI-TAHUNAN MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA BATALION VI SESI MAC-OGOS 2021

    


        Pada 2 Julai 2021 bersamaan Jumaat yang lalu, telah berlangsungnya Pra-Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac - Ogos 2021 yang telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat menerusi platform “Google Meet”. Pra-Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac - Ogos 2021 ini diadakan adalah bertujuan untuk merasmikan kenaikan pangkat daripada Komander Rendah Muda kepada  Komander Rendah Kanan bagi barisan TOP 10, Majlis Tertinggi dan Barisan Ketua Kompeni.

Seterusnya, pada 3 Julai 2021 bersamaan hari Sabtu yang lalu, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat telah mengadakan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac – Ogos 2021 yang diadakan secara atas talian dengan menggunakan platform "Youtube Live" di saluran Youtube Komander Johor. 


Buat julung kalinya Komander Johor menggunakan platform atas talian bagi melancarkan majlis dan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang tidak membenarkan sebarang penganjuran  aktiviti secara bersemuka sepanjang musim pandemik Covid-19 ini. Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ini dijalankan bertujuan untuk membubarkan ahli jawatankuasa Majlis Perwakilan Komander Kesatria yang lama sekaligus melantik ahli jawatankuasa Majlis Perwakilan Komander Kesatria yang baru. 


Ucapan daripada Lt. M Abu Zahin Bin Abu Bakar (KEST)

    
Carta Organisasi Sesi Oktober 2020 - Februari 2021 

        Majlis dimulakan dengan nyanyian tiga buah lagu dan bacaan doa yang diketuai oleh KRK Muhammad Firdaus Bin Abdullah. Kemudian, majlis menjemput Lt. M Abu Zahin Bin Abu Bakar (KEST) selaku Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Oktober 2020 - Februari 2021 bagi membubarkan ahli jawatankuasa Sesi Oktober 2020 - Februari 2021.


Ucapan daripada Lt. M Mohamad Fairozan Amir bin Mohd Ismail (KEST)



Carta Organisasi Sesi Mac - Ogos 2021

        Seterusnya, majlis diteruskan dengan menjemput Lt. M Mohamad  Fairozan Amir Bin Mohd Ismail (KEST), Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI (MPKK) sesi Mac - Ogos 2021 untuk memberikan ucapan serta melantik ahli jawatankuasa baharu Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac – Ogos 2021. 


Sebelum majlis berakhir, sepatah dua kata diberikan oleh Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST), Pegawai Kokurikulum Kanan dan Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Lt. Kol. (K) Syazali Effendi Bin A. Wahab (KEST), Ketua Pegawai Kehormat Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac - Ogos 2021


Sepatah dua kata daripada Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST)


Ucapan penutup daripada Lt. Kol. (K) Syazali Effendi Bin A. Wahab (KEST) 
Sebagai penutup, diharapkan dengan pelantikan ahli jawatankuasa yang baharu ini, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat dapat terus maju dan lebih berjaya pada masa hadapan. Semoga kita semua dapat menjaga kesihatan dan dapat terus mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19 daripada terus merebak.





Sunday, June 06, 2021

ISTIADAT PENTAULIAHAN LEFTENAN MUDA KESATRIA UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA SIRI 16/2021

 

Banner Majlis Istiadat Pentauliahan Leftenan Muda Kesatria Universiti Teknologi Mara Siri 16/2021

    
Pada 10 April 2021 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Istiadat Pentauliahan Leftenan Muda Kesatria Universiti Teknologi Mara Siri 16/2021. Untuk pengetahuan semua, Majlis Istiadat Pentauliahan Leftenan Muda Kesatria Universiti Teknologi Mara Siri 16/2021 ini sepatutnya diadakan di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub secara fizikal. Atas sebab beberapa faktor, majlis ini telah dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Meskipun begitu, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub turut menayangkan siaran langsung berkenaan majlis yang berlaku di sana untuk tontonan Komander Pentauliahan Se-Malaysia. Istiadat Pentauliahan Siri 16/2021 ini terdiri daripada Komander Batch 33 dan seramai 39 orang Komander Johor telah berjaya ditauliahkan secara bersemuka serta 46 orang ditauliahkan secara atas talian pada hari tersebut. Majlis ini diadakan adalah untuk memberikan penghargaan kepada mahasiswa serta mahasiswi yang telah berkhidmat dan menabur bakti sepanjang menjadi Komander Johor.

    Biarpun keadaan sekarang masih di dalam musim pandemik Covid-19 tetapi dengan kebenaran pihak-pihak yang tertentu, majlis ini berjaya dijalankan seperti yang dirancang. Sekalipun kebenaran telah diberikan, segala Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dipatuhi dengan sempurna oleh semua individu yang terlibat. Hal ini adalah untuk mengelakkan jangkitan virus Covid-19 dari terus tersebar di samping melaksanakan majlis yang penuh beristiadat ini. Tahniah diucapkan kepada pihak UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat serta Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat kerana berjaya mengikuti SOP yang ditetapkan dengan baik. Majlis ini berlangsung di Dewan Kuliah 1 (DK1) dan juga Dewan Kuliah 2 (DK2) untuk menempatkan para peserta, ibu bapa dan juga tetamu VIP. Meskipun berada di tempat yang berbeza namun para ibu bapa dapat menyaksikan siaran langsung sepanjang majlis berjalan.                                

Komander Pentauliahan ditempatkan mengikut SOP

    Tambahan lagi, majlis ini juga disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI. Hal ini adalah untuk memberi peluang kepada komander-komander Johor yang berada di rumah untuk menyaksikan bagaimana suasana majlis kali ini dijalankan di musim pandemik. Sekaligus dapat membuatkan mereka berasa seolah-olah mereka hadir pada hari kejadian. Pelbagai inisiatif telah diambil kira dalam menjalankan majlis tersebut untuk memberi peluang kepada semua pihak  turut serta melibatkan diri dalam majlis tersebut. Walau bagaimanapun, tidak semua pihak dapat hadir pada hari kejadian atas faktor larangan merentas negeri serta SOP yang telah ditetapkan kerajaan.


Ucapan Khas dari Rektor UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat

Sesi penyerahan sijil Pentauliahan
                                                           

   Seramai 39 peserta yang ditauliahkan secara bersemuka mengambil sijil Pentauliahan di Dewan Kuliah 1 (DK1) mengikut SOP yang ditetapkan. Sijil pentauliahan diambil serentak dengan siaran nama yang ditayangkan secara langsung dari UiTM Pahang. Ibu bapa yang ditempatkan di Dewan Kuliah 2 (DK2) juga dapat menyaksikan sesi penyerahan sijil yang disiarkan di layar secara langsung dari DK1. Setelah sesi tersebut tamat, peserta dan tetamu VIP berpindah majlis ke padang kawad untuk sesi bergambar. Sesi pertama melibatkan penggambaran bersama Rektor, Timbalan Rektor HEP,  Komander Pentauliahan dan staf Unit Kokurikulum. Sesi kedua pula memberi peluang kepada ibu bapa untuk bergambar bersama anak-anak yang telah berjaya ditauliahkan. Dengan berakhirnya sesi penggambaran kedua maka tamatlah Majlis Istiadat Pentauliahan Leftenan Muda Kesatria Universiti Teknologi Mara Siri 16/2021.


Sesi Penggambaran Pertama

    Tahniah diucapkan kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang telah berjaya ditauliahkan setelah menggalas tanggungjawab serta amanah yang diberikan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria sepanjang bergelar pelajar di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Semoga segala ilmu yang diperolehi sepanjang menjadi Komander Johor dapat digunakan dalam menghadapi alam pekerjaan.

Friday, April 02, 2021

FORUM : CERDIK DAN CERGAS, MUSTAHIL ATAU TIDAK?


         Pada 25 Mac 2021 yang lepas, telah berlangsung sebuah majlis forum secara atas talian yang bertajuk Cerdik dan Cergas, Mustahil atau Tidak? dan telah dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI (MPKK) UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat.  Majlis forum ini berjalan selama 1 jam 35 minit secara langsung melalui platform Youtube Komander Johor. Objektif forum ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dengan lebih mendalam kepada semua mahasiswa dan juga para penonton berkaitan  kehidupan sebagai seorang pelajar malahan dalam masa yang sama, bergelar seorang komander. Sehubungan dengan itu, tajuk majlis forum ini juga bertepatan dengan keadaan pembelajaran pada waktu kini yang hanya dijalankan secara atas talian disebabkan penularan wabak COVID-19. Hal ini kerana meskipun setiap pembelajaran terpaksa dijalankan secara atas talian, pelajar juga perlu tetap cerdik dan cergas dalam melakukan tugasan seharian. Oleh hal yang demikian, pelajar yang cerdik dan cergas akan menjadikan diri mereka lebih produktif dalam menjalankan sesuatu tugasan.



            Majlis forum ini menampilkan barisan panel jemputan yang cerdik serta cergas selari dengan tajuk yang diberikan. Antara panel jemputan pada majlis forum kali ini adalah Puan Nurul Aien Binti Abd Aziz yang merupakan mantan Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-15. Beliau juga merupakan pensyarah di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat dan kini berkhidmat selama 6 tahun di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Selain tu, beliau merupakan tenaga pengajar dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam. Bukan sahaja bergiat aktif sebagai pensyarah, beliau juga aktif dalam menjadi penasihat kepada persatuan akademik. Di samping itu, beliau juga terlibat dalam program-program seperti khidmat masyarakat, keusahawanan, pembangunan mahasiswa serta penyelidikan di Universiti.


            
             Selain daripada Puan Nurul Aien Binti Abd Aziz, panel jemputan kedua adalah Lt. M Akmal Shakir bin Shukri (KEST). Beliau merupakan mantan Pegawai Operasi Kompeni Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-29. Beliau juga pernah menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) semasa beliau melanjutkan pelajarannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Degree) dan Ijazah Sarjana (Master). Bukan itu sahaja, beliau juga akan melanjutkan pelajarannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UiTM Shah Alam.


            
             Panel jemputan yang terakhir adalah, Lt. M Muhammad Fikri Haziq bin Ayob (KEST) yang merupakan Mantan Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-32. Semasa di peringkat Diploma, beliau telah memperoleh Anugerah Naib Canselor (ANC)  serta tercalon sebagai tiga calon akhir kepimpinan terbaik di IPTA. Tambahan pula, beliau masih bergelar seorang pelajar dan sedang melanjutkan pelajarannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Puncak Alam, Selangor.


Perbahasan dari panel jemputan


            Kehadiran panel-panel yang hebat ini juga ditemani oleh moderator yang petah berkata-kata, sopan dan berdedikasi dalam menjalankan tugas iaitu KRM Muhammad Rashid bin Rahman. Kepetahan KRM Muhammad Rashid telah menambahkan lagi perisa di dalam majlis forum ini. Pelbagai persoalan telah diajukan kepada para panel yang berpengetahuan tinggi serta berpengalaman luas dan jawapan yang diberikan telah menarik perhatian para penonton. Tambahan pula, ia dapat memberikan serba-sedikit ilmu serta tips berguna berdasarkan pengalaman para panel ini bak kata Lt. M Akmal Shakir bin Shukri (KEST) “ pembelajaran paling berguna adalah belajar daripada pengalaman orang lain”. Hal ini boleh diambil kira kerana pengalaman seseorang itu boleh dijadikan sebahagian daripada panduan untuk kita dalam menjalani kehidupan seharian, lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar dan pada masa yang sama menggalas tugas sebagai seorang yang terlibat dalam sesebuah organisasi.



           Justeru itu, sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi tinggi, kita mestilah mengutamakan yang utama seperti yang dikatakan oleh Puan Nurul Aien Binti Abd Aziz sewaktu memberikan perbahasan beliau. Oleh hal yang demikian, pengurusan masa adalah amat penting bagi setiap individu dalam menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan sempurna. “Masa itu emas” berpeganglah kepada peribahasa ini kerana banyak akibat buruk jika tidak memandang serius soal pengurusan masa. Antara implikasinya adalah hidup individu itu tidak terurus, sentiasa berada dalam kegelisahan dan menyusahkan individu lain. Lt. M Muhammad Fikri Haziq bin Ayob (KEST) ada berkata di dalam perbahasannya agar sentiasalah memudahkan kerja insan lain kerana Allah SWT akan memudahkan kerja kita.


            
            Kerjasama amat penting antara pemimpin dan pengikut dalam menjayakan sesuatu majlis dan organisasi. Oleh itu, apabila menggalas jawatan sebagai pemimpin, seseorang individu itu harus menjadi role model yang hebat. Tidak dinafikan sebagai pemimpin, seseorang itu akan mengharapkan hasil yang cemerlang dari pengikutnya. Kata-kata Lt. M Muhammad Fikri Haziq bin Ayob (KEST) sekali lagi boleh dijadikan motivasi kepada semua, “Mengikut konsep perekonomian di mana ketika kita cuba untuk mendapatkan output yang terbaik kita perlu melepaskan input yang terbaik”. Jadi janganlah kita takut dalam menghadapi kegagalan dan sentiasa mencabar diri supaya melakukan sesuatu yang berisiko demi mendapatkan hasil mahupun pengajaran. Dengan ini, ianya dapat memupuk individu menjadi lebih berkeyakinan tinggi dan berani menghadapi segala cabaran untuk kecemerlangan dirinya.


Perbahasan dari panel jemputan

Pelbagai persoalan, tips dan nasihat dibincangkan di dalam majlis forum ini. Antara tips yang diperolehi ialah mengekalkan keputusan yang baik dan cemerlang setiap kali peperiksaan akhir dijalankan, pengurusan masa yang baik terutama sekali ketika bergelar sebagai seorang komander dan pelajar serta banyak lagi. Terlalu banyak tips dan nasihat yang boleh diguna pakai oleh para pelajar dan penonton melalui forum ini. Masa yang diluangkan para penonton bagi menyaksikan perbincangan ini amatlah bermakna kerana segala intipatinya adalah padat dan bermanfaat untuk kehidupan di masa akan datang bahkan boleh juga diamalkan pada masa kini. Kesimpulannya, majlis Forum : Cerdik dan Cergas, Mustahil atau Tidak? dapat membantu pelajar yang memerlukan motivasi diri sekaligus menjawab bahawa kombinasi cerdik dan cergas adalah tidak mustahil malah menjadikan diri kita lebih bijak dan cekap dalam menguruskan sesuatu tugas dan amanah.