Pada 25 Mac 2021 yang lepas, telah berlangsung sebuah majlis forum secara atas talian yang bertajuk Cerdik dan Cergas, Mustahil atau Tidak? dan telah dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI (MPKK) UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Majlis forum ini berjalan selama 1 jam 35 minit secara langsung melalui platform Youtube Komander Johor. Objektif forum ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dengan lebih mendalam kepada semua mahasiswa dan juga para penonton berkaitan kehidupan sebagai seorang pelajar malahan dalam masa yang sama, bergelar seorang komander. Sehubungan dengan itu, tajuk majlis forum ini juga bertepatan dengan keadaan pembelajaran pada waktu kini yang hanya dijalankan secara atas talian disebabkan penularan wabak COVID-19. Hal ini kerana meskipun setiap pembelajaran terpaksa dijalankan secara atas talian, pelajar juga perlu tetap cerdik dan cergas dalam melakukan tugasan seharian. Oleh hal yang demikian, pelajar yang cerdik dan cergas akan menjadikan diri mereka lebih produktif dalam menjalankan sesuatu tugasan.
Majlis forum ini menampilkan barisan panel jemputan yang cerdik serta cergas selari dengan tajuk yang diberikan. Antara panel jemputan pada majlis forum kali ini adalah Puan Nurul Aien Binti Abd Aziz yang merupakan mantan Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-15. Beliau juga merupakan pensyarah di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat dan kini berkhidmat selama 6 tahun di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Selain tu, beliau merupakan tenaga pengajar dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam. Bukan sahaja bergiat aktif sebagai pensyarah, beliau juga aktif dalam menjadi penasihat kepada persatuan akademik. Di samping itu, beliau juga terlibat dalam program-program seperti khidmat masyarakat, keusahawanan, pembangunan mahasiswa serta penyelidikan di Universiti.
Selain daripada Puan Nurul Aien Binti Abd Aziz, panel jemputan kedua adalah Lt. M Akmal Shakir bin Shukri (KEST). Beliau merupakan mantan Pegawai Operasi Kompeni Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-29. Beliau juga pernah menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) semasa beliau melanjutkan pelajarannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Degree) dan Ijazah Sarjana (Master). Bukan itu sahaja, beliau juga akan melanjutkan pelajarannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UiTM Shah Alam.
Panel jemputan yang terakhir adalah, Lt. M Muhammad Fikri Haziq bin Ayob (KEST) yang merupakan Mantan Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-32. Semasa di peringkat Diploma, beliau telah memperoleh Anugerah Naib Canselor (ANC) serta tercalon sebagai tiga calon akhir kepimpinan terbaik di IPTA. Tambahan pula, beliau masih bergelar seorang pelajar dan sedang melanjutkan pelajarannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Puncak Alam, Selangor.
Justeru itu, sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi tinggi, kita mestilah mengutamakan yang utama seperti yang dikatakan oleh Puan Nurul Aien Binti Abd Aziz sewaktu memberikan perbahasan beliau. Oleh hal yang demikian, pengurusan masa adalah amat penting bagi setiap individu dalam menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan sempurna. “Masa itu emas” berpeganglah kepada peribahasa ini kerana banyak akibat buruk jika tidak memandang serius soal pengurusan masa. Antara implikasinya adalah hidup individu itu tidak terurus, sentiasa berada dalam kegelisahan dan menyusahkan individu lain. Lt. M Muhammad Fikri Haziq bin Ayob (KEST) ada berkata di dalam perbahasannya agar sentiasalah memudahkan kerja insan lain kerana Allah SWT akan memudahkan kerja kita.
Kerjasama amat penting antara pemimpin dan pengikut dalam menjayakan sesuatu majlis dan organisasi. Oleh itu, apabila menggalas jawatan sebagai pemimpin, seseorang individu itu harus menjadi role model yang hebat. Tidak dinafikan sebagai pemimpin, seseorang itu akan mengharapkan hasil yang cemerlang dari pengikutnya. Kata-kata Lt. M Muhammad Fikri Haziq bin Ayob (KEST) sekali lagi boleh dijadikan motivasi kepada semua, “Mengikut konsep perekonomian di mana ketika kita cuba untuk mendapatkan output yang terbaik kita perlu melepaskan input yang terbaik”. Jadi janganlah kita takut dalam menghadapi kegagalan dan sentiasa mencabar diri supaya melakukan sesuatu yang berisiko demi mendapatkan hasil mahupun pengajaran. Dengan ini, ianya dapat memupuk individu menjadi lebih berkeyakinan tinggi dan berani menghadapi segala cabaran untuk kecemerlangan dirinya.
Pelbagai persoalan, tips dan nasihat dibincangkan di dalam majlis forum ini. Antara tips yang diperolehi ialah mengekalkan keputusan yang baik dan cemerlang setiap kali peperiksaan akhir dijalankan, pengurusan masa yang baik terutama sekali ketika bergelar sebagai seorang komander dan pelajar serta banyak lagi. Terlalu banyak tips dan nasihat yang boleh diguna pakai oleh para pelajar dan penonton melalui forum ini. Masa yang diluangkan para penonton bagi menyaksikan perbincangan ini amatlah bermakna kerana segala intipatinya adalah padat dan bermanfaat untuk kehidupan di masa akan datang bahkan boleh juga diamalkan pada masa kini. Kesimpulannya, majlis Forum : Cerdik dan Cergas, Mustahil atau Tidak? dapat membantu pelajar yang memerlukan motivasi diri sekaligus menjawab bahawa kombinasi cerdik dan cergas adalah tidak mustahil malah menjadikan diri kita lebih bijak dan cekap dalam menguruskan sesuatu tugas dan amanah.
No comments:
Post a Comment