MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Wednesday, September 22, 2021

KURSUS TINDAKAN ASAS SEMASA KECEMASAN.

  

Backdrop Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan

    Pada 10 Julai 2021 bersamaan hari Sabtu yang lalu telah berlangsungnya Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan secara atas talian yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat dengan kerjasama Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat. Kursus ini bermula pada pukul 2.30 petang dan berlangsung selama 2 jam 30 minit secara Live di platform Youtube Komander Johor. Matlamat kursus ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih meluas kepada semua mahasiswa khususnya kepada para komander kesatria tentang tindakan asas dan teknik yang betul dalam memberi rawatan awal semasa kecemasan. Kejadian yang tidak diingini boleh berlaku pada bila - bila masa sahaja. Oleh hal yang demikian, kita perlu menyiapkan diri dengan ilmu dan teknik yang tepat untuk berhadapan dengan kejadian sebegini agar keadaan tersebut tidak menjadi lebih parah.


Kursus ini menampilkan penceramah jemputan iaitu Encik Abdul Razak Bin Md. Yassin yang merupakan Jurulatih Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat yang telah berkhidmat sejak tahun 1991. Selain itu, beliau merupakan Pegawai Kadet Remaja Sekolah merangkap Leftenan Kolonel dan Naib Pengerusi 2 BSMM Daerah Segamat. Di samping itu, beliau pernah menjadi pengadil bagi acara CPR dalam Perkom Ko 2019. Malahan, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1996, 2003, 2007 dan 2015. Sehubungan dengan itu, beliau juga telah menerima pingat dalam BSMM dengan mendapat Sijil Kepujian pada tahun 1998, Pingat Bar pada tahun 2010 dan 2019, Pingat Jasa Terpuji 2013, Pingat Kebaktian Terpilih 2016 serta Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2018. 



Cikgu Razak menerangkan berkenaan cara menghadapi
 keadaan yang tidak diingini berlaku.

Bantuan kecemasan atau lebih dikenali sebagai First Aid merupakan bantuan sementara yang diberikan serta merta kepada mangsa yang tercedera atau sakit secara tiba - tiba di tempat itu juga dengan menggunakan alat - alat yang ada pada masa itu sebelum mangsa mendapatkan rawatan daripada doktor atau sebelum ketibaan ambulans. Untuk pengetahuan umum, situasi kematian boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu mati jantung pada minit yang pertama hingga minit ke-3 dan mati otak pada minit ke-4 hingga minit ke-6 (sesetengah sumber mengatakan minit ke-10). 


Tindakan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.


Tindakan awal kecemasan adalah sangat penting bagi menyelamatkan nyawa yang berharga. Terdapat 8 penilaian awal yang perlu kita pastikan daripada mangsa jika berhadapan dengan situasi kecemasan. Antaranya ialah :-


  1. DANGER (Bahaya) : Pastikan keadaan mangsa, diri sendiri dan persekitaran dalam keadaan selamat. Pakai sarung tangan jika ada dan jauhi tumpahan darah, objek tajam, wayar elektrik dan sebagainya.

  2. RESPONSE (Tindak Balas) : Adakah mangsa dalam keadaan sedar? Periksa sama ada mangsa boleh bertindak balas.

  3. SHOUT (Jerit Meminta Bantuan) : Jerit dengan jelas. Jika berseorangan, hubungi talian 999 dan biarkan dalam mode pembesar suara.

  4. AIRWAY (Saluran Pernafasan) : Adakah salur udara terbuka dan tiada halangan? Baringkan mangsa dan buka saluran pernafasan. Dongakkan kepala dan angkat dagu (head tilt - chin lift)

  5. BREATHING (Pernafasan) : Adakah mangsa itu bernafas? Periksa sama ada pernafasan adalah normal dalam masa 10 saat. Jika tidak bernafas, berikan 5 bantuan pernafasan.

  6. CIRCULATION (Peredaran Darah) : Adakah nadinya berdenyut? Dalam masa 10 saat, periksa tanda - tanda mangsa hidup. Jika tiada, mulakan tekan dada dengan berkualiti tinggi pada nisbah 30 tekan kepada 2 hembusan nafas.

  7. DEFIBRILLATION (Defibrilasi) : Pasang pad AED pada dada mangsa. Ikut arahan AED. sambung tekan dada segera selepas Defibrilasi.

  8. RECOVERY POSITION (Posisi Pemulihan) : Tanda - tanda mangsa pulih (bergerak, membuka mata, bernafas dengan normal dan batuk).


CPR juga dikenali dengan nama saintifiknya sebagai "Cardiopulmonary Resuscitation" adalah prosedur kecemasan yang dilakukan dalam usaha mengekalkan funsi otak secara manual sehingga langkah selanjutnya dapat dilakukan bagi mengembalikan aliran darah dan pernafasan secara spontan pada seseorang yang jantungnya berhenti berdegup.


Video contoh tindakan awal yang dapat dilakukan.


Kesimpulannya, Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran bagaimanakah untuk kita membantu dalam memberikan rawatan awal kepada mangsa sewaktu kecemasan. Masa yang diluangkan para peserta bagi menyaksikan perkongsian ini amatlah bermakna kerana segala intipatinya adalah padat, bermanfaat dan menyediakan kita  untuk menghadapi situasi yang tidak terjangka pada masa hadapan. Diharapkan agar segala intipati dan ilmu yang telah disampaikan dapat sama-sama kita terapkan di dalam diri supaya menjadi seorang mahasiswa yang lebih cemerlang pada masa akan datang.




1 comment: