MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Saturday, April 18, 2026

INTERNATIONAL UNI-NATURE RUN @ SEGAMAT 4.0

Pada 4 Januari 2026 yang lalu, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI bersama Kelab Briged Sukarelawan telah mengadakan Program International Uni-Nature Run @ Segamat 4.0 – Patroitism Run4Unity yang bertempat di Padang Kawad, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program International Uni-Nature Run @ Segamat 4.0 yang turut mendapat kerjasama daripada Unit Kesatria dan Kokurikulum Kampus Segamat ini telah disertai sekitar 4000 orang peserta dari pelbagai peringkat umur. Antara acara yang dipertandingkan dalam Program International Uni-Nature Run @ Segamat 4.0 ini ialah 3KM Fun Run, 6KM Open Run dan 12KM Men & Women Open Run. 

Seawal jam 6.30 pagi, Padang Kawad telah dipenuhi dan dimeriahi oleh para peserta yang menyertai program ini. Majlis dimulai dengan bacaan doa yang disampaikan oleh KRK Muhammad Danial Haikal Bin Mohd Amhdan. Seterusnya, majlis dimeriahkan lagi dengan aktiviti pemanasan badan dan senamrobik daripada Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI. Selepas aktiviti pemanasan badan dan senamrobik, pelepasan peserta bagi kategori 12KM Men & Women Open Run dimulakan dan seterusnya diikuti oleh 6KM Open Run dan 3KM Fun Run dengan selang masa pelepasan setiap lima minit bagi memastikan kelancaran program.


Senamrobik daripada Komander Kesatria



Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan Upacara Perasmian oleh Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi. Majlis turut menampilkan Persembahan daripada Pelajar Kokurikulum Tarian Tradisional dan persembahan daripada Kompeni Brass Band iaitu Greenix Colourguardline dari UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat.

Perasmian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi


Persembahan daripada Pelajar Kokurikulum Tarian Tradisional


Persembahan daripada Kompeni Brass Band iaitu Greenix Colourguardline 



Detik yang paling dinantikan oleh para peserta akhirnya tiba, iaitu pengumuman pemenang bagi setiap kategori pertandingan. Bagi kategori 6KM Men Open Run, Tempat Ketiga disandang oleh Amy Haikal Bin Rosli, seterusnya Naib Johan dimenangi oleh Muhammad Farhan Bin Mohamed Fadzil dan Johan dianugerahkan oleh Poven Kumar A/L Muthu. Bagi kategori 6KM Women Open, Tempat ketiga diraih oleh Chew Yen Sin, Naib Johan dimiliki oleh Nur Izzhana Binti Mohd Ramdzan dan Johan dirangkul oleh Nurul Siska Qistiena Binti Razali. 


Johan bagi Kategori 6KM Men Open Run 


Johan bagi Kategori 6 KM Women Open Run  


Seterusnya, diumumkan juga pemenang bagi kategori 12KM Men Open Run. Tempat Ketiga disandang oleh Muhammad Shahnan Bin Salehudin, Naib Johan dimenangi oleh David Kibet dan Johan menjadi milik Sanjay Manimaran. Bagi kategori 12KM Women Open Run, Tempat Ketiga diraih oleh Nur Aisyah Binti Abdul Alif, Naib Johan dimiliki oleh Nurul Juliana Shakira Binti Abdul Halim dan Johan jatuh kepada Chew Jia Qi. 


Johan bagi kategori 12KM Men Open Run

Johan bagi Kategori 12KM Women Open Run


Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada penyertaan kompeni teramai. Oleh itu, anugerah penyertaan kompeni teramai jatuh kepada Kompeni Siswa Bomba Bantuan dengan jumlah penyertaan seramai 120 peserta. Pencapaian ini jelas mencerminkan semangat kerjasama, komitmen serta sokongan padu yang ditunjukkan oleh ahli kompeni dalam menjayakan program ini. Diharapkan kejayaan ini dapat menjadi sumber motivasi kepada semua kompeni lain untuk terus aktif menyertai program berfaedah pada masa akan datang.

Penyertaan Kompeni Teramai iaitu Kompeni Siswa Bomba Bantuan 



Kemudian, majlis diakhiri dengan nyanyian lagu UiTM Dihatiku oleh semua tetamu jemputan dan para peserta. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada para pemenang serta semua peserta yang telah memberi sokongan dan menyumbang kepada kejayaan penganjuran International Uni-Nature Run @ Segamat 4.0. Penyertaan peserta dari dalam dan luar kampus bukan sahaja memeriahkan program, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform gaya hidup sihat, pengukuhan perpaduan serta pemangkin kepada penganjuran aktiviti yang lebih berimpak tinggi di peringkat universiti.



Sesi fotografi

Thursday, April 09, 2026

LATIHAN INTENSIF BAKAL KOMANDER SIRI 40/2025 DAN LATIHAN INTENSIF BRASS BAND SIRI KE 37/2025 | UiTM CAWANGAN JOHOR

Pada 20 Disember hingga 28 Disember 2025, Latihan Intensif Bakal Komander Siri 40/2025 Dan Latihan Intensif Brass Band Siri Ke 37/2025 telah berlangsung dengan jayanya selama lapan hari dan bertempat di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program ini melibatkan penyertaan seramai 90 orang Bakal Komander dari Kampus Segamat dan 28 orang Bakal Komander dari Kampus Pasir Gudang. Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan komprehensif dari aspek teori dan praktikal, khususnya dalam memperkasakan ciri kepimpinan bagi melahirkan barisan pemimpin yang berwawasan serta serba boleh.

Program bermula pada 20 Disember 2025 dengan sesi pendaftaran dan Latihan Jasmani yang memberi penekanan kepada disiplin dan kecergasan fizikal. Slot pertama yang dijalankan ialah Slot Pertolongan Cemas yang disampaikan oleh Encik Abdul Razak Bin Md Yassin. Slot ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan asas keselamatan dan kecemasan. Selain itu juga, slot ini bertujuan untuk membina keyakinan untuk bertindak dalam situasi kecemasan. Pada tengahari, peserta mengikuti Slot Pengenalan Bersama Pengiring. Slot ini bertujuan menjelaskan peranan dan tanggungjawab pengiring serta pengurusan pergerakan peserta. Pada waktu petang pula mereka melakukan Latihan Jasmani yang memberi penekanan disiplin dan kecergasan fizikal. Pada sebelah malam, peserta mengikuti Slot Perasmian LIBK dan LIBB yang dirasmikan oleh Lt. Kolonel Ujud Bin Pabil (KEST).









Pada hari kedua dan hari-hari seterusnya, iaitu dari 21 Disember sehingga 25 Disember 2025, rutin bermula dengan sesi Baris Pagi dan Latihan Jasmani, diikuti dengan Latihan Kawad Kaki yang dikendalikan oleh barisan jurulatih iaitu Encik Sahlan, Encik Rawi, Encik Aziz dan Encik Nasir. Selepas selesai urusan pentadbiran diri, peserta menyambung Latihan Kawad Kaki. Walau bagaimanapun, pada 22 Disember, peserta mengikuti Latihan Asas Merempuh Halangan yang dikendalikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharom (KEST), manakala pada 23 Disember pula diadakan Ujian Kawad Perhubungan. Pada 24 dan 25 Disember, latihan diteruskan sepenuhnya dengan fokus kepada Latihan Kawad Kaki. Bagi belah petang pula, peserta akan meneruskan dengan Latihan jasmani Bersama pengiring kecuali pada petang 23 Disember 2025 kerana mereka perlu melakukan ujian kecergasan asas. Pada Sebelah malam, pengisian latihan diteruskan dengan beberapa slot yang menumpukan kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan, dan pengukuhan ilmu peserta. Antara slot yang dijalankan ialah pengenalan LIBK dan tazkirah wuduk, pengenalan uniform MPKK, slot bersama jurulatih, Scorpion Legacy, serta slot kepimpinan yang bertujuan menyemai nilai disiplin, tanggung jawab, dan ketahanan mental dalam kalangan bakal komander. Selain itu, ujian bertulis dan persiapan uniform turut dilaksanakan bagi menilai tahap kefahaman peserta serta memastikan mereka bersedia sepenuhnya menjelang majlis penutup. Secara keseluruhannya, slot-slot malam ini berperanan penting dalam melengkapkan latihan fizikal dengan pengisian mental dan kepimpinan yang seimbang.          














Pada 27 Disember 2025, aktiviti latihan dimulakan dengan sesi baris pagi serta latihan jasmani bagi memastikan tahap kecergasan peserta sentiasa berada pada tahap optimum. Seterusnya, peserta meneruskan latihan dengan sesi raptai Majlis Penutup yang dijalankan pada sebelah pagi dan petang bagi memastikan kelancaran pergerakan serta atur cara majlis. Pada sebelah malam, pengisian diteruskan dengan latihan jasmani ringan dan slot bersama jurulatih yang bertujuan memperkukuh kefahaman serta kesiapsiagaan peserta menjelang hari terakhir program. Pada 28 Disember 2025, latihan dimulakan dengan rutin pagi seperti biasa sebelum para peserta menyertai Majlis Perbarisan Penutup Latihan Intensif Bakal Komander Siri 40. Majlis ini menjadi penutup rasmi kepada keseluruhan program yang telah berlangsung selama lapan hari dan melambangkan kejayaan para peserta menamatkan latihan intensif yang merangkumi aspek fizikal, mental dan kepimpinan. Secara keseluruhannya, majlis penutup ini menandakan berakhirnya LIBK Siri 40 dengan penuh istiadat serta meninggalkan pengalaman bermakna kepada semua pihak yang terlibat.










Akhir kata, kursus LIBK Siri 40/2025 ini diharapkan dapat memberi impak positif dan manfaat yang berpanjangan kepada semua pihak yang terlibat. Penganjuran kursus seperti ini bukan sahaja membentuk sahsiah dan disiplin, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan kepimpinan pelajar yang berintegriti serta komited terhadap tanggungjawab yang bakal digalas. Semoga segala ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian serta menjadikan para peserta sebagai contoh teladan kepada rakan-rakan lain. Diharapkan juga agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkualiti, profesional dan berwibawa selaras dengan visi UiTM dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.




Saturday, January 03, 2026

PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM (PERKOM KO) 2025

PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM (PERKOM KO) 2025

Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform (PERKOM KO) 2025 anjuran Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah berlangsung dengan penuh semangat bermula 12 hingga 16 November 2025. Sebanyak 12 kompeni telah bersaing dalam 11 acara yang dipertandingkan, iaitu Kompeni Alpha Kesatria Negara, Kompeni Bravo Kesatria Negara, Kompeni Charlie Kesatria Negara, Kompeni Delta Kesatria Negara, Kompeni Echo Kesatria Negara, Kompeni Foxtrot Kesatria Negara, Kompeni Kesatria Kembara, Kompeni Siswa Bomba Bantuan  (SISBOM), Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kompeni Brass Band dan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS).


POSTER PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM ( PERKOM KO) 2025


Sebanyak 11 acara yang dipertandingkan iaitu Tarik Tali, E-Sport Mobile Legends, Sorakan Kreatif, Maze Orienteering, Kawad Kaki Formasi, Rempuh Halangan, Simulasi CPR, Simulasi Bencana, Deklamasi Sajak, Perkom Run dan Road Relay. Pada hari pertama bersamaan dengan 12 November 2025, PERKOM KO 2025 ini telah dimulakan dengan ucapan perasmian yang telah dirasmikan oleh Kol. Irwan Bin Ismail (KEST).


UCAPAN PERASMIAN DARIPADA TIMBALAN REKTOR UiTM JOHOR



Pada 12 November 2025, PERKOM KO dimulakan dengan acara pertama iaitu Tarik Tali pusingan awal diteruskan bagi menentukan kompeni yang layak mara ke peringkat seterusnya. Pada sebelah malam pula, acara E-Sport berlangsung bagi pusingan saringan yang memperlihatkan saingan strategi digital antara kompeni yang bertanding.


ACARA TARIK TALI

ACARA E-SPORT : MOBILE LEGEND


Pada 14 November 2025, suasana pertandingan semakin hebat. Pada sebelah petang, dua acara utama iaitu Tarik Tali dan Road Relay dijalankan serentak pada jam 4.00 petang. Dalam masa yang sama, acara Road Relay berlangsung dengan larian berpasukan yang penuh strategi. Kompeni Kesatria Kembara berjaya mendahului sebagai juara, manakala Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) berada di tempat kedua dan Kompeni Echo Kesatria Negara menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. 


ACARA ROAD RELAY


Pada sebelah malam pula berlangsung acara Kawad Kaki Formasi. Bagi acara Kawad Kaki Formasi, sebanyak 11 Kompeni yang telah bertanding. Kompeni Echo Kesatria Negara telah dinobatkan sebagai juara, diikuti  Kompeni Alpha Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara.


ACARA KAWAD KAKI FORMASI


Pada 15 November 2025, beberapa acara utama dijalankan. Pagi itu dimulakan dengan Rempuh Halangan, di mana Kompeni Echo Kesatria Negara berjaya menamatkan litar dengan masa terbaik, diikuti Kompeni Brass Band dan Kompeni Bravo Kesatria Negara. 


ACARA REMPUH HALANGAN


Pada jam 2.00 petang, Simulasi CPR dan Simulasi Bencana dijalankan. Bagi acara Simulasi CPR dimenangi oleh Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), manakala Kompeni Kesatria Kembara dan Kompeni Bravo Kesatria Negara menyusul di tempat kedua dan ketiga. Bagi  acara Simulasi Bencana dijuarai oleh Kompeni Siswa Bomba Bantuan (SISBOM), diikuti Kompeni Bravo Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara. 


ACARA SIMULASI BENCANA


ACARA SIMULASI CPR


Petang itu turut memperlihatkan perlawanan akhir Tarik Tali dan selepas pertarungan sengit, Kompeni Siswa Bomba Bantuan (SISBOM) muncul juara, dengan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) di tempat kedua dan Kompeni Bravo Kesatria Negara di tempat ketiga. 


ACARA TARIK TALI


Pada sebelah malam, Sorakan Kreatif berlangsung dengan meriah dan menyaksikan Kompeni Alpha Kesatria Negara meraih tempat pertama, disusuli Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kompeni Foxtrot Kesatria Negara.


ACARA SORAKAN KREATIF


Pada hari terakhir, 16 November 2025, PERKOM Run membuka tirai pada jam 8.00 pagi dengan penyertaan penuh semangat dari semua kompeni. Kompeni Kesatria Kembara sekali lagi menunjukkan kekuatan fizikal apabila muncul juara, manakala Kompeni Echo Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara berada di tempat kedua dan ketiga.


ACARA PERKOM RUN


Pada tengah hari, acara Final E-Sport : Mobile Legends dijalankan sebagai penentuan terakhir bagi kategori E-Sport. Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya muncul juara, dengan Kompeni Alpha Kesatria Negara dan Kompeni Charlie Kesatria Negara di tempat kedua dan ketiga. 


ACARA E-SPORT : MOBILE LEGEND


Pada waktu petang, acara Maze Orienteering dijalankan. Kompeni Delta Kesatria Negara muncul sebagai juara, diikuti Kompeni Kesatria Kembara dan Kompeni Brass Band. 


ACARA MAZE ORIENTEERING


Pada sebelah malam, acara Deklamasi Sajak menjadi acara terakhir PERKOM KO 2025, menyaksikan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) memenangi tempat pertama, manakala Kompeni Alpha Kesatria Negara dan Kompeni Kesatria Kembara berada di tempat kedua dan ketiga.


ACARA DEKLAMASI SAJAK


Sepanjang penganjuran PERKOM KO 2025, para peserta menunjukkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi. Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI merakamkan penghargaan kepada semua kompeni, Komander Pengiring dan para Komander yang menjayakan program ini. Tahniah kepada semua pemenang yang telah memberikan persembahan dan kesungguhan terbaik sepanjang kejohanan ini berlangsung.