Pada 20 Disember hingga 28 Disember 2025, Latihan Intensif Bakal Komander Siri 40/2025
Dan Latihan Intensif Brass Band Siri Ke 37/2025 telah berlangsung dengan jayanya selama
lapan hari dan bertempat di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program ini melibatkan
penyertaan seramai 90 orang Bakal Komander dari Kampus Segamat dan 28 orang Bakal
Komander dari Kampus Pasir Gudang. Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberi
pendedahan komprehensif dari aspek teori dan praktikal, khususnya dalam memperkasakan
ciri kepimpinan bagi melahirkan barisan pemimpin yang berwawasan serta serba boleh.
Program bermula pada 20 Disember 2025 dengan sesi pendaftaran dan Latihan Jasmani yang
memberi penekanan kepada disiplin dan kecergasan fizikal. Slot pertama yang dijalankan ialah
Slot Pertolongan Cemas yang disampaikan oleh Encik Abdul Razak Bin Md Yassin. Slot ini
bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan asas keselamatan dan kecemasan. Selain itu
juga, slot ini bertujuan untuk membina keyakinan untuk bertindak dalam situasi kecemasan.
Pada tengahari, peserta mengikuti Slot Pengenalan Bersama Pengiring. Slot ini bertujuan
menjelaskan peranan dan tanggungjawab pengiring serta pengurusan pergerakan peserta. Pada
waktu petang pula mereka melakukan Latihan Jasmani yang memberi penekanan disiplin dan
kecergasan fizikal. Pada sebelah malam, peserta mengikuti Slot Perasmian LIBK dan LIBB
yang dirasmikan oleh Lt. Kolonel Ujud Bin Pabil (KEST).





Pada hari kedua dan hari-hari seterusnya, iaitu dari 21 Disember sehingga 25 Disember 2025,
rutin bermula dengan sesi Baris Pagi dan Latihan Jasmani, diikuti dengan Latihan Kawad Kaki
yang dikendalikan oleh barisan jurulatih iaitu Encik Sahlan, Encik Rawi, Encik Aziz dan Encik
Nasir. Selepas selesai urusan pentadbiran diri, peserta menyambung Latihan Kawad Kaki.
Walau bagaimanapun, pada 22 Disember, peserta mengikuti Latihan Asas Merempuh
Halangan yang dikendalikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharom (KEST), manakala pada 23
Disember pula diadakan Ujian Kawad Perhubungan. Pada 24 dan 25 Disember, latihan
diteruskan sepenuhnya dengan fokus kepada Latihan Kawad Kaki. Bagi belah petang pula,
peserta akan meneruskan dengan Latihan jasmani Bersama pengiring kecuali pada petang 23
Disember 2025 kerana mereka perlu melakukan ujian kecergasan asas. Pada Sebelah malam,
pengisian latihan diteruskan dengan beberapa slot yang menumpukan kepada pembentukan
sahsiah, kepimpinan, dan pengukuhan ilmu peserta. Antara slot yang dijalankan ialah
pengenalan LIBK dan tazkirah wuduk, pengenalan uniform MPKK, slot bersama jurulatih,
Scorpion Legacy, serta slot kepimpinan yang bertujuan menyemai nilai disiplin, tanggung
jawab, dan ketahanan mental dalam kalangan bakal komander. Selain itu, ujian bertulis dan
persiapan uniform turut dilaksanakan bagi menilai tahap kefahaman peserta serta memastikan
mereka bersedia sepenuhnya menjelang majlis penutup. Secara keseluruhannya, slot-slot
malam ini berperanan penting dalam melengkapkan latihan fizikal dengan pengisian mental
dan kepimpinan yang seimbang.






Pada 27 Disember 2025, aktiviti latihan dimulakan dengan sesi baris pagi serta latihan jasmani
bagi memastikan tahap kecergasan peserta sentiasa berada pada tahap optimum. Seterusnya,
peserta meneruskan latihan dengan sesi raptai Majlis Penutup yang dijalankan pada sebelah
pagi dan petang bagi memastikan kelancaran pergerakan serta atur cara majlis. Pada sebelah
malam, pengisian diteruskan dengan latihan jasmani ringan dan slot bersama jurulatih yang
bertujuan memperkukuh kefahaman serta kesiapsiagaan peserta menjelang hari terakhir
program. Pada 28 Disember 2025, latihan dimulakan dengan rutin pagi seperti biasa sebelum
para peserta menyertai Majlis Perbarisan Penutup Latihan Intensif Bakal Komander Siri
40. Majlis ini menjadi penutup rasmi kepada keseluruhan program yang telah berlangsung
selama lapan hari dan melambangkan kejayaan para peserta menamatkan latihan intensif yang
merangkumi aspek fizikal, mental dan kepimpinan. Secara keseluruhannya, majlis penutup ini
menandakan berakhirnya LIBK Siri 40 dengan penuh istiadat serta meninggalkan pengalaman
bermakna kepada semua pihak yang terlibat.




Akhir kata, kursus LIBK Siri 40/2025 ini diharapkan dapat memberi impak positif dan manfaat
yang berpanjangan kepada semua pihak yang terlibat. Penganjuran kursus seperti ini bukan
sahaja membentuk sahsiah dan disiplin, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan
kepimpinan pelajar yang berintegriti serta komited terhadap tanggungjawab yang bakal
digalas. Semoga segala ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus
dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian serta menjadikan para peserta sebagai contoh
teladan kepada rakan-rakan lain. Diharapkan juga agar program seumpama ini dapat diteruskan
pada masa akan datang demi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkualiti,
profesional dan berwibawa selaras dengan visi UiTM dalam melahirkan graduan holistik,
berciri keusahawanan dan seimbang.
No comments:
Post a Comment