Pada 4 Oktober 2022 hingga 6 Oktober 2022 yang lalu, Majlis Perwakilan Komander kesatria (MPKK) Batalion VI telah mengadakan Kursus dan Kem Pemantapan Komander Kesatria (INDUKSI) Siri ke-36. Kursus ini telah diadakan selama 3 hari yang melibatkan penyertaan seramai 65 orang Komander Johor dari Batch 36. Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada setiap komander untuk memantapkan lagi ciri kepimpinan sebagai seorang Komander yang boleh memimpin ahli pasukan. Kursus ini juga dapat melatih setiap komander untuk mempunyai sikap bertanggungjawab dan tegas dalam menjalani segala tugasan serta meningkatkan lagi daya ketahanan fizikal dan mental.
Slot Ujian Kecergasan Asas (UKA |
Pada 4 Oktober 2022 bermulanya Slot Ujian Kecergasan Asas (UKA). Slot ini mempunyai 6 ujian yang perlu dijalani oleh setiap peserta iaitu larian sepanjang 2.4 kilometer, lari bergilir, lompat jauh, push-up, sit-up dan jalan itik. Bagi ujian larian, masa lulus bagi siswa adalah 14 minit manakala siswi 16 minit. Dengan adanya ujian ini, kita dapat lihat bahawa seseorang itu perlulah menggunakan daya ketahanan fizikal dan mental untuk lulus bagi setiap ujian. Slot ini juga dapat melatih kekuatan otot tangan dan juga kaki bagi seorang Komander.
Slot Mengawadkan Skuad |
Seterusnya, slot kedua yang dijalankan adalah Slot Mengawadkan Skuad. Slot ini wajib diadakan bagi setiap siri induksi. Hal ini demikian kerana, kawad kaki adalah pelajaran yang sangat penting dan perlu diketahui oleh setiap peserta. Di dalam slot ini, komander diberi peluang untuk memberi arahan dengan mengawadkan ahli pasukan masing-masing. Slot ini mampu menunjukkan potensi setiap komander untuk memimpin ahli pasukan dengan memberi arahan yang betul.
Slot seterusnya yang dijalankan ialah Slot Persiapan Dalam Kumpulan. Dalam slot ini, para komander telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan tajuk serta tema persembahan bagi malam kebudayaan. Para komander telah melakukan perbincangan dan mencari idea-idea untuk membuat persembahan pada waktu malam kebudayaan mengikut tema yang telah diberikan. Disini kita dapat lihat bahawa para komander saling memberi dan berkongsi idea bagi persembahan mereka.
Slot Persiapan Kertas Kerja |
Pada jam 8.30 malam, Slot Persiapan Kertas Kerja telah dijalankan dan slot ini telah disampaikan oleh Lt. Muhizan Bin Miskam (KEST). Para komander diberi pendedahan tentang setiap perkara yang perlu ada dalam kertas kerja iaitu kerja-kerja sebelum, semasa dan selepas. Mereka juga diberi pendedahan tentang setiap borang yang perlu diisi bagi setiap acara atau program yang ingin dilaksanakan sama ada bawah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) atau Kompeni.
Slot Explore Race |
Pada 5 Oktober 2022, telah diadakan Slot Explorace yang dikendalikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST). Di dalam slot ini, terdapat 10 checkpoint di sekitar UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat dimana setiap kumpulan perlu lulus setiap checkpoint. Dalam slot ini, kita dapat dilihat kemampuan para komander bekerjasama dalam menyelesaikan masalah serta cara bagaimana mereka bertindak dengan rasional dan memberi arahan kepada ahli kumpulan. Setiap kumpulan yang tidak lulus dalam satu checkpoint akan diberi penalti. Melalui slot ini, ia dapat memberi pengajaran bahawa untuk berjaya, tidak ada jalan pintas dan semua perlu dibuat satu persatu mengikut proses.
Slot Tugas Komander |
Slot seterusnya yang dijalankan ialah Slot Tugas Komander yang disampaikan oleh Ajutan I iaitu KMdy Aiman Hakim Bin Rushdan Ridla dan Ajutan II iaitu KMdy Noor Hazirah Binti Azidin yang bertempat di parking solar. Slot ini memberi pendedahan kepada para komander tentang buku penama elaun yang mereka perlu isi setiap kali menjaga kelas kor. Selain itu, mereka juga didedahkan tentang protokol iaitu pakaian, ayat serta etika yang perlu dijaga sebagai seorang Komander. Disini, mereka turut diberitahu tentang apa yang mereka boleh buat dan perkara yang dilarang buat sewaktu menjadi Komander.
Slot Malam Kebudayaan |
Pada sebelah malam pula, Slot Malam Kebudayaan telah diadakan yang bertempat di Dewan Karyawan 1 (DK1). Setiap kumpulan perlu membuat persembahan serta pengajaran yang mereka dapat dari persembahan tersebut. Pelbagai persembahan yang menarik dan mencuit hati serta memberi banyak pengajaran dan nilai murni yang dapat diterapkan oleh setiap peserta. Dalam setiap persembahan, mereka juga telah meletakkan kreativiti sama ada props yang digunakan ataupun cara penyampaian mereka sendiri.
Pada 6 Oktober 2022 merupakan hari terakhir bagi kursus Induksi Batch 36. Slot Simulasi Pendaftaran Kor oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) telah diadakan. Para peserta diberikan pendedahan untuk menguruskan pelajar semester satu untuk mendaftar kor. Para komander didedahkan dengan tatacara dan ketegasan dalam memberi arahan kepada pelajar semester satu. Untuk melihat kemampuan masing-masing, mereka diuji untuk melontarkan suara serta memberi arahan kepada pelajar. Mereka juga diberi pendedahan situasi mengenai cara mereka menguruskan bilangan pelajar yang ramai di Padang Kawad bagi pendaftaran kor.
Majlis kenaikan Pangkat Komander Rendah Kanan (KRK) |
Seterusnya, berlangsungnya Majlis Kenaikan Pangkat Komander Rendah Kanan (KRK) kepada para komander. Majlis ini telah dirasmikan oleh Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST), Penolong Pendaftar Kanan Kokurikulum dan Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI dan diiringi oleh staf unit kor iaitu Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) dan Lt. Muhammad Noriman Bin Mohd Ali (KEST). Pada sebelah malam pula, penyerahan wing kepada setiap komander yang telah tamat menjalani Kursus dan Kem Pemantapan Komander Kesatria (INDUKSI) Batalion VI Siri ke-36 telah diadakan.
Oleh itu, diucapkan sekalung tahniah kepada para Komander yang telah menyertai Kursus dan Kem Pemantapan Komander Kesatria (INDUKSI) Siri ke-36. Diharapkan agar para komander dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik setelah menjalani kursus ini. Semoga para Komander dapat memberikan sepenuh komitmen dalam menjalani tugasan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment