MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Sunday, July 01, 2012

KAWAD 24 JAM di UiTM Arau, Perlis



12 JUN 2012
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 12 jam agak meletihkan. Mana tidaknya, dari selatan tanah air menuju ke utara Semenanjung Malaysia dengan melalui jalan kampung hinggalah lebuh raya. Namun, semangat yang berkobar-kobar untuk menyertai Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti sempena sambutan Hari Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ke-69 di UiTM Arau, Perlis, sama sekali tidak mematahkan semangat yang dibawa dari UiTM Johor.
Seramai 51 orang komander bersama pengiring, Cik Puan Norsyidah binti Mad Sani serta dua buah bas tiba di sana dalam jam 6.45 petang. Kami, Komander Jengking, bergerak ke kaunter pendaftaran untuk melakukan pendaftaran kolej. Pelajar siswa menginap di Kolej Cengal manakala siswi pula di Kolej Dahlia .Seterusnya, pengagihan cadar katil dan sarung bantal serta makanan. Setelah selesai meletakkan barang di bilik dan menguruskan diri, kami berkumpul di ruang legar bawah kolej untuk bergerak ke padang kawad. Oleh sebab jarak antara kolej dengan padang kawad agak jauh, perkhidmatan bas ketika itu amat diperlukan.
Dengan berpakaian seluar slack hitam, jaket komander, kasut formal dan tudung hitam bagi pelajar siswi, kami masuk ke perkarangan padang kawad dalam keadaan teratur dengan lenggang pegawai. Taklimat ringkas telah diberikan oleh Penyelaras Kokurikulum UiTM Arau,di mana beliau telah menjelaskan sedikit sebanyak bagaimana perjalanan majlis itu akan berlangsung pada keesokan hari. Raptai formasi 69 telah dibentuk pada malam tersebut sebagai persediaan untuk majlis penutup pada hari Isnin nanti.

13 JUN 2012
Jam menunjukkan tepat pukul 7 pagi. Persembahan kawad kaki dimulakan dengan platun Komander Kesatria UiTM Perlis itu sendiri. Kawad kaki yang memakan masa 20 minit bagi setiap platun dilakukan secara secara bergilir-gilir sehingga pukul 9 pagi keesokan harinya iaitu melepasi dua jam dari tempoh 24 jam ditetapkan.
Antara pasukan beruniform yang terlibat ialah Kokurikulum Kesatria Negara (Kesatria), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat dan Palapes Laut. Ia turut disertai oleh pelajar badan beruniform Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan Kokurikulum Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa).
Komander Kesatria UiTM Johor telah menghantar sebanyak dua buah platun. Platun pertama diketuai oleh KMdy Khairul Akmal bin Alias, manakala platun kedua pula KM Dayang Suraya binti Sabtu. Kawad kaki komander UiTM Johor bermula dengan platun satu pada jam 8.20 malam dan berakhir jam 8.40 malam. Kami dikehendaki memakai jaket keselamatan ketika itu. Diambil alih pula oleh platun dua untuk 20 minit berikutnya. Kebetulan pula dalam masa tersebut, azan Isyak berkumandang. Platun dua meneruskan kawad kaki mereka dengan ketua platun memberi arahan hentak kaki perlahan bagi menghormati seruan azan. Kawad kaki seterusnya pada jam 2 pagi. Kami balik ke kolej masing-masing untuk berehat buat seketika dan bersiap sedia untuk persembahan pada awal pagi hari Isnin.

14 JUN 2012
Tepat jam 12.30 tengah malam, sekali lagi kami bergerak ke padang kawad yang tidak sunyi dari badan beruniform yang berkawad sejak 17 jam yang lalu. Jam 2 pagi, platun satu masuk ke perkarangan padang kawad. Suara lantang KMdy Khairul Akmal memecah kesunyian pada pagi tersebut. 20 minit pun berlalu. Tiba giliran platun dua untuk beraksi. Pemakaian jaket keselamatan tetap dikenakan bagi setiap platun yang berkawad dalam suasana yang gelap.
Sementara menunggu jam 7.40 pagi untuk kawad kaki kali ketiga, kami dikehendaki berada di persekitaran padang kawad tersebut untuk mengelakkan sebarang permasalahan yang akan berlaku. Dalam waktu tersebut, kami telah melihat beberapa platun dari kampus lain dan ternyata mereka juga tidak kurang hebatnya.
Platun satu sudah bersedia untuk masuk ke padang kawad. Pada jam 8 pagi, platun dua pula yang mengambil alih padang kawad tersebut. KM Dayang Suraya serta rakan-rakan lain telah menunjukkan persembahan sehabis baik yang mungkin sebelum tuan rumah menguasai kembali padang kawad tersebut. Platun terakhir iaitu Komander Kesatria UiTM Arau terdiri daripada 69 orang, merupakan simbolik sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis. Butang masa telah ditekan setelah ketibaan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menandakan Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti sempena sambutan Hari Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ke-69 telah tamat.
Majlis penutup program berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis. Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Penolong Naib Canselor UiTM Puncak Alam, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya; Rektor UiTM Perlis, Prof. Dr. Khudzir Ismail dan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron. Penyerahan sijil MBOR bagi Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti itu pula disampaikan kepada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang menerimanya daripada wakil MBOR, Zulhairi Md. Zin.
Akhir sekali, kami semua yang terdiri daripada pelajar UiTM dari kampus Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu (Cendering dan Dungun), Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Puncak Alam dan Puncak Perdana serta Shah Alam telah membentuk angka 69 sebagai simbolik sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-69.





No comments:

Post a Comment