MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Sunday, August 10, 2025

KEM DAN LATIHAN PEMANTAPAN KOMANDER KESATRIA BATALION VI SIRI KE-39, 9 MEI 2025 – 12 MEI 2025 | UiTM CAWANGAN JOHOR, KAMPUS SEGAMAT

Pada 9 Mei hingga 12 Mei 2025, Kem dan Latihan Pemantapan Komander Kesatria (Induksi) Batalion VI Siri ke-39 telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari dan bertempat di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program ini melibatkan penyertaan seramai 93 orang Komander Johor dari Batch ke-39 yang diwajibkan menjalani induksi sebagai proses pemantapan sahsiah, kepimpinan, ketahanan mental dan fizikal, serta membina semangat kesukarelawanan dalam diri setiap peserta. Tujuan utama program ini adalah untuk memperkasakan kebolehan diri, meningkatkan kecekapan berfikir dan bertindak secara rasional, serta menambah ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk memimpin pasukan dengan berkesan dan beretika.


Program bermula pada 9 Mei 2025 dengan sesi Baris Pagi dan Latihan Jasmani yang memberi penekanan kepada disiplin dan kecergasan fizikal. Slot pertama yang dijalankan ialah Slot Taklimat Induksi yang disampaikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST). Slot ini memberi gambaran menyeluruh tentang peranan dan tanggungjawab seorang Komander, termasuklah etika, struktur organisasi dan jangkaan sepanjang tempoh induksi. Pada sebelah malam, peserta mengikuti Slot Bengkel Paduan Tenaga yang menekankan aspek pembentukan semangat berpasukan dan kesepaduan tenaga dalam organisasi melalui aktiviti dinamik berkumpulan.


Latihan Jasmani


Slot Taklimat Induksi


Pada hari kedua, 10 Mei 2025, Slot Pelaksanaan Program yang dikendalikan oleh Lt. Muhizan Bin Miskam (KEST) telah dijalankan bagi memberi pendedahan tentang perancangan dan pelaksanaan sesuatu program secara teratur dan sistematik. Para komander diberi pendedahan tentang setiap perkara yang perlu ada dalam kertas kerja iaitu kerja-kerja sebelum, semasa dan selepas. Mereka juga diberi pendedahan tentang setiap borang yang perlu diisi bagi setiap acara atau program yang ingin dilaksanakan sama ada di bawah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) atau Kompeni. Pada waktu petang, peserta melaksanakan Persiapan Tempat Perkhemahan yang diselia oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) bagi membina dan menyusun kawasan perkhemahan dengan menekankan aspek keselamatan, kebersihan dan kekemasan. Pada malamnya, Slot Stronger Together dijalankan bagi menguji keupayaan fizikal, ketahanan mental dan semangat setiakawan melalui aktiviti lasak secara berkumpulan.


Slot Pelaksanaan Program


Slot Stronger Together


Persiapan tapak perkhemahan



Latihan dalam kumpulan


Hari ketiga, 11 Mei 2025, dimulakan dengan Slot Explore Race yang mencabar ketangkasan, strategi dan daya fikir peserta. Aktiviti ini mengandungi pelbagai tugasan yang perlu dilengkapkan di checkpoint sekitar kawasan kampus. Ia menguji kerjasama dalam kumpulan serta keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan. Slot Bonding Games yang dijalankan pada waktu petang pula bertujuan memperkukuhkan hubungan sesama peserta melalui aktiviti yang menguji kepercayaan dan komunikasi. Slot Bengkel Paduan Tenaga sekali lagi dijalankan pada malam hari sebagai pengukuhan semangat pasukan sebelum penutup program.


Slot Bonding Games


Slot Explore Race


Slot Bengkel Paduan Tenaga


Pada hari terakhir, 12 Mei 2025, para Komander mengikuti Slot Kursus Etika dan Protokol Komander yang dikendalikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST). Dalam slot ini, peserta diberi pendedahan tentang etika pemakaian, tatacara komunikasi rasmi dan pengisian borang berkaitan tugasan Komander termasuk Buku Penama Elaun. Slot Gotong-Royong turut dijalankan sebagai simbolik tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kebersihan dan persekitaran. Pada malam penutup, para peserta diraikan dalam majlis ringkas dan diberikan sayap Komander sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan menamatkan kursus induksi dengan penuh komitmen dan dedikasi.

Slot Gotong-Royong


Secara keseluruhan, Kem dan Latihan Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-39 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Para Komander bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan, malah turut mempamerkan semangat kerjasama dan kepimpinan sepanjang program dijalankan. Diharapkan semua peserta dapat meneruskan usaha dan semangat yang ditunjukkan dalam program ini semasa melaksanakan tanggungjawab sebagai Komander Kesatria pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment