MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Sunday, August 10, 2025

PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM BERUNIFORM MINI
(MINI PERKOM KO) 2025


Pada tanggal 17 hingga 18 Mei 2025, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah menjayakan Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform Mini (Mini Perkom Ko) 2025. Pertandingan ini telah berlangsung selama dua hari dan telah melibatkan 6 buah Kompeni iaitu Kompeni Alpha Kesatria Negara, Kompeni Bravo Kesatria Negara, Kompeni Charlie Kesatria Negara, Kompeni Delta Kesatria Negara, Kompeni Echo Kesatria Negara dan Kompeni Foxtrot Kesatria Negara.


Poster Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform Mini
(MINI PERKOM KO) 2025


Hari pertama dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan Acara Road Relay yang penuh mencabar ketahanan fizikal dan semangat berpasukan. Johan bagi acara ini dimenangi oleh Kompeni Echo Kesatria Negara, diikuti oleh Kompeni Delta Kesatria Negara di tempat kedua dan Kompeni Alpha Kesatria Negara di tempat ketiga.

Acara Road Relay

Acara diteruskan dengan Maze Orienteering yang menguji kemahiran navigasi peserta. Kompeni Alpha Kesatria Negara telah berjaya merangkul gelaran johan, manakala Kompeni Foxtrot Kesatria Negara mendapat tempat kedua dan Kompeni Bravo Kesatria Negara di tempat ketiga.


Acara Maze Orienteering

Pada sesi petang, gelanggang menjadi gamat dengan Acara Tarik Tali yang memperlihatkan kekuatan dan strategi setiap pasukan. Kompeni Foxtrot Kesatria Negara dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Kompeni Echo Kesatria Negara dan Kompeni Alpha Kesatria Negara.

Acara Tarik Tali

Hari kedua iaitu pada 18 Mei 2025 diteruskan dengan Acara Mini PERKOM Run, acara larian yang menguji kecergasan fizikal dan mental para peserta. Kompeni Alpha Kesatria Negara sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dengan meraih tempat pertama, manakala Kompeni Echo Kesatria Negara di tempat kedua dan Kompeni Foxtrot Kesatria Negara di tempat ketiga.

Acara Mini Perkom Run

Sesi penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Lt. Kol. Prof. Madya Ahmad Nawawi Bin Hj. Yaakob (KEST) dengan diiringi oleh Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST). Bagi kejuaraan keseluruhan, Kompeni Alpha Kesatria Negara berjaya muncul juara dengan konsisten meraih kemenangan di beberapa acara utama. Tempat kedua disandang oleh Kompeni Echo Kesatria Negara manakala tempat ketiga milik Kompeni Foxtrot Kesatria Negara.

Tempat Pertama Keseluruhan


Tempat Kedua Keseluruhan


Tempat Ketiga Keseluruhan


Tahniah diucapkan kepada semua pelajar kokurikulum Semester 1 yang telah memberi komitmen sepenuhnya sepanjang program Mini PERKOM KO 2025 ini. Semoga pengalaman ini dapat memupuk semangat kerjasama, ketahanan mental dan fizikal, serta menjadi kenangan manis sepanjang penglibatan dalam aktiviti Kesatria Negara.

KEM DAN LATIHAN PEMANTAPAN KOMANDER KESATRIA BATALION VI SIRI KE-39, 9 MEI 2025 – 12 MEI 2025 | UiTM CAWANGAN JOHOR, KAMPUS SEGAMAT

Pada 9 Mei hingga 12 Mei 2025, Kem dan Latihan Pemantapan Komander Kesatria (Induksi) Batalion VI Siri ke-39 telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari dan bertempat di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program ini melibatkan penyertaan seramai 93 orang Komander Johor dari Batch ke-39 yang diwajibkan menjalani induksi sebagai proses pemantapan sahsiah, kepimpinan, ketahanan mental dan fizikal, serta membina semangat kesukarelawanan dalam diri setiap peserta. Tujuan utama program ini adalah untuk memperkasakan kebolehan diri, meningkatkan kecekapan berfikir dan bertindak secara rasional, serta menambah ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk memimpin pasukan dengan berkesan dan beretika.


Program bermula pada 9 Mei 2025 dengan sesi Baris Pagi dan Latihan Jasmani yang memberi penekanan kepada disiplin dan kecergasan fizikal. Slot pertama yang dijalankan ialah Slot Taklimat Induksi yang disampaikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST). Slot ini memberi gambaran menyeluruh tentang peranan dan tanggungjawab seorang Komander, termasuklah etika, struktur organisasi dan jangkaan sepanjang tempoh induksi. Pada sebelah malam, peserta mengikuti Slot Bengkel Paduan Tenaga yang menekankan aspek pembentukan semangat berpasukan dan kesepaduan tenaga dalam organisasi melalui aktiviti dinamik berkumpulan.


Latihan Jasmani


Slot Taklimat Induksi


Pada hari kedua, 10 Mei 2025, Slot Pelaksanaan Program yang dikendalikan oleh Lt. Muhizan Bin Miskam (KEST) telah dijalankan bagi memberi pendedahan tentang perancangan dan pelaksanaan sesuatu program secara teratur dan sistematik. Para komander diberi pendedahan tentang setiap perkara yang perlu ada dalam kertas kerja iaitu kerja-kerja sebelum, semasa dan selepas. Mereka juga diberi pendedahan tentang setiap borang yang perlu diisi bagi setiap acara atau program yang ingin dilaksanakan sama ada di bawah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) atau Kompeni. Pada waktu petang, peserta melaksanakan Persiapan Tempat Perkhemahan yang diselia oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) bagi membina dan menyusun kawasan perkhemahan dengan menekankan aspek keselamatan, kebersihan dan kekemasan. Pada malamnya, Slot Stronger Together dijalankan bagi menguji keupayaan fizikal, ketahanan mental dan semangat setiakawan melalui aktiviti lasak secara berkumpulan.


Slot Pelaksanaan Program


Slot Stronger Together


Persiapan tapak perkhemahan



Latihan dalam kumpulan


Hari ketiga, 11 Mei 2025, dimulakan dengan Slot Explore Race yang mencabar ketangkasan, strategi dan daya fikir peserta. Aktiviti ini mengandungi pelbagai tugasan yang perlu dilengkapkan di checkpoint sekitar kawasan kampus. Ia menguji kerjasama dalam kumpulan serta keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan. Slot Bonding Games yang dijalankan pada waktu petang pula bertujuan memperkukuhkan hubungan sesama peserta melalui aktiviti yang menguji kepercayaan dan komunikasi. Slot Bengkel Paduan Tenaga sekali lagi dijalankan pada malam hari sebagai pengukuhan semangat pasukan sebelum penutup program.


Slot Bonding Games


Slot Explore Race


Slot Bengkel Paduan Tenaga


Pada hari terakhir, 12 Mei 2025, para Komander mengikuti Slot Kursus Etika dan Protokol Komander yang dikendalikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST). Dalam slot ini, peserta diberi pendedahan tentang etika pemakaian, tatacara komunikasi rasmi dan pengisian borang berkaitan tugasan Komander termasuk Buku Penama Elaun. Slot Gotong-Royong turut dijalankan sebagai simbolik tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kebersihan dan persekitaran. Pada malam penutup, para peserta diraikan dalam majlis ringkas dan diberikan sayap Komander sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan menamatkan kursus induksi dengan penuh komitmen dan dedikasi.

Slot Gotong-Royong


Secara keseluruhan, Kem dan Latihan Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-39 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Para Komander bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan, malah turut mempamerkan semangat kerjasama dan kepimpinan sepanjang program dijalankan. Diharapkan semua peserta dapat meneruskan usaha dan semangat yang ditunjukkan dalam program ini semasa melaksanakan tanggungjawab sebagai Komander Kesatria pada masa akan datang.


MESYUARAT AGUNG DWI-TAHUNAN MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA (MPKK) BATALION VI SESI MAC - OGOS 2025

Pada tanggal 20 April 2025 yang lalu, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah mengadakan Mesyuarat Agung Dwi-tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac – Ogos 2025 yang bertempat di Dewan Karyawan 1 (DK 1). Majlis ini diadakan bertujuan untuk membubarkan ahli jawatankuasa Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) pada semester lepas serta melantik Barisan Kepimpinan Tertinggi dan ahli jawatankuasa Majlis Perwakilan Komander Kesatria pada semester yang baharu. 

Pengacara Majlis

Pembaca Doa

Buat pengetahuan semua, pengacara majlis bagi majlis ini ialah KRM Nureen Najwa Binti Dol Rahim dan KRM Iman Shuaib Bin Saruji. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM. Seterusnya, majlis diiringi dengan bacaan doa yang disampaikan oleh KRM Muhammad Suhayl Alwan Bin Mohamed Suhaimi @ Zuki. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Mantan Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat iaitu Lt. M Naqib Hilman Bin Yazid (KEST) sekaligus membubarkan Barisan Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat bagi sesi Oktober 2024 - Februari 2025. 

Ucapan Lt. M Naqib Hilman Bin Yazid (KEST)

Majlis disusuli dengan ucapan daripada Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI, KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman sekaligus melantik Barisan Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat bagi sesi Mac – Ogos 2025. Beliau sangat berharap agar kepimpinan baharu ini mampu melahirkan Komander yang berprestasi tinggi dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan, serta dapat mengharumkan nama Komander Johor. 


Ucapan KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman

Majlis diserlahkan lagi dengan ucapan serta amanat yang bermakna daripada Penolong Pendaftar Kanan Kokurikulum dan Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI iaitu Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST). Dalam ucapan beliau, beliau menyentuh tentang kekuatan sebenar Komander Johor terletak kepada semangat kerjasama antara satu sama lain serta kesefahaman sesama Komander. Beliau juga amat bangga dengan usaha Komander Johor yang sering memastikan setiap majlis dan program yang dijalankan berjalan lancar seiring dengan perancangan. Beliau juga mengingatkan Komander Johor supaya bersiap-sedia bagi menjayakan program Kem dan Latihan Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri Ke-39, Pertandingan Kompeni Kokurikulum Beruniform Mini (MINI PERKOM KO) 2025, dan Hari Ulang Tahun Kesatria Ke-49. 

Ucapan Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST)

Majlis diteruskan lagi dengan upacara pemakaian pangkat oleh Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST) dan diiringi oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST), Lt. Kol. Prof. Madya Ahmad Nawawi Bin Hj. Yaakob (KEST) dan Mej. Rosnani Binti Mohd Salleh (KEST) bagi Barisan Kepimpinan Tertinggi Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, Cawangan Johor, Kampus Segamat. Pemakaian pangkat dimulai dengan pangkat Komander Kanan bagi KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman. Pemakaian pangkat diteruskan lagi bagi pangkat Komander Madya kepada Barisan TOP 10 dan pangkat Komander Muda kepada Barisan Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Komander Kesatria Batalion VI Sesi Mac – Ogos 2025, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.

Pemakaian pangkat Komander Madya dan Komander Muda

Majlis beralih kepada Upacara Penyerahan Kuasa Sesi Mac – Ogos 2025 yang telah dilaksanakan oleh Lt. M Naqib Hilman Bin Yazid (KEST), Pegawai Memerintah bagi semester lepas untuk menjalani penyerahan kuasa kepada KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman dengan diiringi oleh Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST) dan Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) bagi menyempurnakan upacara penyerahan kuasa Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor.

Upacara Penyerahan Kuasa

Majlis dengan ini menjemput Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST), bagi menyampaikan cenderahati kepada Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kerana telah bersama-sama turut serta dalam majlis ini. Seterusnya, majlis menjemput para tetamu VIP untuk berpindah majlis bagi menyaksikan tayangan multimedia. Di samping itu, bacaan lafaz ikrar Komander Kesatria yang dilaungkan oleh KK Muhammad Harith Bin Abd Rahman, Pegawai Memerintah Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac – Ogos 2025 serta para Komander Kesatria. Dengan berakhirnya lafaz ikrar tersebut, maka berakhirlah Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Sesi Mac – Ogos 2025. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Darah Satria dan UiTM Dihatiku oleh semua tetamu jemputan dan para Komander Kesatria.

Sesi Fotografi