MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Monday, December 27, 2021

PERTANDINGAN KOMPENI KOKURIKULUM VIRTUAL (V-PERKOM KO) 2021

     Pada 16 Disember 2021 sehingga 23 Disember 2021 telah berlangsung Pertandingan Kompeni Kokurikulum Virtual (V-PERKOM KO) 2021 secara atas talian yang melibatkan semua pelajar kokurikulum semester 1. Pertandingan ini telah melibatkan 11 kompeni iaitu Kompeni Alpha Kesatria Negara, Kompeni Bravo Kesatria Negara, Kompeni Charlie Kesatria Negara, Kompeni Delta Kesatria Negara, Kompeni Echo Kesatria Negara, Kompeni Foxtrot Kesatria Negara, Kompeni Kesatria Kembara, Kompeni Siswa Bomba Bantuan (SISBOM), Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Kompeni Brass Band.

Poster V-Perkom Ko 2021

      Acara pertama yang dipertandingkan adalah Pertandingan Larian Virtual Perkom Ko (Kategori Pelajar Ko) bermula dari 1 - 4 Disember 2021. Setiap pelajar perlu merekod masa larian sejauh 5 km. Acara ini dijuarai oleh Kompeni Delta Kesatria Negara, diikuti oleh Kompeni Foxtrot Kesatria Negara dan disusuli oleh Kompeni Kesatria Kembara.


Acara kedua yang telah dipertandingkan adalah Pertandingan E-Sport (Mobile Legends: Bang Bang) yang berlangsung pada 17 Disember 2021. Dalam acara ini, setiap kompeni perlu menghantar 1 kumpulan yang terdiri daripada 6 orang pelajar kor dan acara ini juga ada ditayangkan secara langsung di Facebook Komander Johor. Untuk pengetahuan semua, acara ini telah dijuarai oleh Kompeni Charlie Kesatria Negara, diikuti oleh Kompeni Bravo Kesatria Negara dan tempat ketiga diikuti dengan Kompeni Delta Kesatria Negara. 


Poster Pengumuman Pemenang Pertandingan E-Sport ; Mobile Legends Bang Bang

Acara ketiga yang diadakan adalah Pertandingan Larian Virtual Virtual Perkom Ko (Kategori Terbuka) yang berlangsung pada 18 Disember 2021. Acara ini terbuka kepada semua universiti awam antaranya ialah UiTM Melaka (Kampus Alor Gajah dan Kampus Jasin), UiTM Terengganu (Kampus Dungun), UiTM Negeri Sembilan (Kampus Rembau dan Kampus Kuala Pilah), UiTM Kelantan, UiTM Pahang, UiTM Johor (Kampus Pasir Gudang), UiTM Perlis, UiTM Sabah, UiTM Sarawak (Kampus Kota Samarahan 1 dan Kampus Kota Samarahan 2), UiTM Perak (Kampus Tapah dan Kampus Seri Iskandar), SUKSIS UTM, SUKSIS Johor. Acara ini dijuarai oleh UiTM Johor Kampus Pasir Gudang manakala naib juara disandang oleh UiTM Terengganu Kampus Dungun, dan tempat ketiga disandang oleh UiTM Melaka Kampus Jasin.


Acara seterusnya adalah Pertandingan Video Deklamasi Sajak. Acara ini memerlukan setiap kompeni untuk menghantar 15 orang wakil untuk menyediakan video mereka dan 2 video terbaik akan dipilih untuk dipersembahkan mereka kepada para juri untuk dinilai. Acara ini telah dijuarai oleh Kompeni Charlie Kesatria Negara diikuti oleh Kompeni Brass Band dan Kompeni Foxtrot Kesatria Negara.

Poster Pengumuman Pemenang Pertandingan Video Deklamasi Sajak

          Acara seterusnya yang berlangsung pada 20 Disember 2021 adalah Pertandingan Kawad Kaki Virtual (Kategori Keseluruhan dan Kategori Individual). Acara ini perlu menghantar 2 wakil pelajar kokurikulum dengan 2 video kawad kaki paling terbaik bagi setiap kompeni dan akan dihantar kepada para juri untuk dinilai. Johan bagi Kawad Kaki Virtual ialah Kompeni Charlie Kesatria Negara diikuti oleh Kompeni Bravo Kesatria Negara dan tempat ketiga berjaya dirangkul oleh Kompeni Alpha Kesatria Negara. Seterusnya, bagi Kategori Individual pula dimenangi oleh Mohamad Haiqal Bin Haron dan Nurul Ardella Binti Mohd Aris. 

 

Seterusnya, acara yang dipertandingkan adalah Pertandingan Video Senaman Kreatif (Aerodance). Acara ini merupakan acara baru untuk V-Perkom Ko sesi ini dan ia telah berlangsung pada 21 Disember 2021. Dalam acara ini, setiap kompeni perlu menghantar bahan berbentuk video dari wakil untuk dinilai oleh pihak juri. Acara ini telah dijuarai oleh Kompeni Kesatria Kembara, diikuti oleh Kompeni Delta Kesatria Negara dan tempat ketiga diikuti dengan Kompeni Charlie Kesatria Negara.

Poster Pengumuman Pemenang Pertandingan Video Senaman Kreatif (Aerodance)

    Acara terakhir yang dipertandingkan adalah E-Sport : Pubg Mobile. Acara ini telah berlangsung pada 22 Disember 2021. Untuk pengetahuan, perlawanan akhir bagi acara ini telah disiarkan secara langsung Facebook Komander Johor untuk tatapan umum. Dalam acara ini, setiap kompeni perlu menghantar 2 kumpulan yang terdiri daripada 5 orang pelajar kokurikulum dan acara ini telah dijuarai oleh Kompeni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), diikuti oleh Kompeni Kesatria Kembara dan tempat ketiga diikuti dengan Kompeni Echo Kesatria Negara.

Poster Pengumuman Pemenang Pertandingan E-Sport ; PUBG Mobile

     Kemudian pada 23 Disember 2021, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, telah mengadakan Majlis Penutup Pertandingan V-Perkom Ko 2021 di platform Youtube Komander Johor bertujuan untuk meraikan para pemenang yang telah bertanding dalam semua acara tersebut. Majlis diserikan dengan ucapan Pegawai Memerintah Komander Kesatria Batalion VI, KK Mohamad Zulfadhli Bin Fadil dan diteruskan dengan ucapan Lt. Kol. Ujud bin Pabil (KEST) selaku Pegawai Kokurikulum Kanan dan Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, UiTM Cawangan Johor. Majlis penutup V-Perkom Ko 2021 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor iaitu Kol. Dr. Basaruddin Shah Bin Basri (KEST). 


Majlis diteruskan dengan pengumuman pemenang bagi setiap acara dan pemenang keseluruhan Pertandingan V-Perkom Ko 2021. Johan keseluruhan jatuh kepada Kompeni Charlie Kesatria Negara, tempat kedua dimiliki oleh Kompeni Delta Kesatria Negara dan tempat ketiga disandang oleh Kompeni Kesatria Kembara. Majlis diserikan lagi  dengan tayangan montaj acara - acara yang berlangsung sepanjang V-Perkom Ko dijalankan. Akhir sekali majlis ini ditutup dengan nyanyian lagu Darah Satria dan UiTM Di Hatiku. Semoga dengan adanya program seperti ini, hubungan diantara semua pihak dapat dieratkan lagi dan secara tidak langsung dapat melahirkan insan yang sihat, cergas dan kreatif dalam kehidupan sehari-harian.

Ucapan Lt. Kol. Ujud bin Pabil (KEST)
Backdrop Majlis Penutup

                                                                                                                   

Friday, December 03, 2021

PRA LATIHAN INTENSIF BAKAL KOMANDER (LIBK) SIRI 36/2021

                                                                                                                                                          Pada 22 November 2021 sehingga 26 November 2021 yang lalu, Pra Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) Siri 36/2021 telah diadakan secara atas talian dengan menggunakan platform “Google Meet”. Seramai 69 orang bakal komander yang telah menyertai program ini.


Pra Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) Siri 36/2021

                                      


       Latihan ini diadakan selama 5 hari dan bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para bakal komander berkenaan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Johor. Pelbagai slot dan aktiviti telah dijalankan bagi memberi pendedahan yang lebih terperinci kepada bakal komander berkenaan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang komander

      Hari pertama program dimulakan dengan slot Pengenalan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI dimana para peserta dapat mengetahui tentang apa itu Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI. Seterusnya, diikuti dengan dua taklimat iaitu berkaitan dengan penjelasan tentang kursus ini kepada para peserta dan juga taklimat pentadbiran.



Slot Pengenalan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI

       Latihan ini diteruskan lagi dengan slot Sesi Bersama Alumni dan Jurulatih. Slot ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan bakal komander dengan pengalaman-pengalaman penceramah yang hadir sewaktu menjadi komander dahulu iaitu, Lt. Muhizan Bin Miskam (KEST), Lt. Muhammad Noriman Bin Mohd Ali (KEST) dan Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) . Slot ini diserikan dengan tayangan montaj aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI seperti Istiadat Pentauliahan Leftenan Muda Kesatria, Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC), perbarisan dan sebagainya. 


             Penceramah - Lt. Muhizan Bin Miskam (KEST)




Montaj aktiviti MPKK - Istiadat Pentauliahan Leftenan Muda Kesatria


        

Hari seterusnya diteruskan lagi dengan Slot Motivasi secara atas talian. Slot ini dikendalikan oleh Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK), Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST). Tujuan slot ini adalah untuk membakar semangat bakal komander Siri ke-36 untuk menjadi seorang Komander yang bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan.



Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST)


       Hari keempat pula dijalankan dengan Slot Aktiviti Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK). Slot ini dikendalikan oleh Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST), Pembantu Kokurikulum dan Penyelaras, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor, Kampus Segamat. Slot ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Bakal Komander berkenaan aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria setiap kampus UiTM. Antara aktiviti yang telah diadakan termasuklah Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC), Jambori, Majlis Makan Malam Rejimental dan lain - lain. Diharapkan slot ini dapat menarik minat Komander untuk sertai aktiviti yang dianjurkan oleh MPKK semasa menjadi Komander.



Penceramah -  Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST)


      Bagi menceriakan Slot Aktiviti Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) penceramah telah menyediakan kuiz berkaitan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI untuk para Bakal Komander Siri 36 dengan menggunakan platform “Quizizz”.


Platform Quizizz

        

Bakal komander perlu mempersiapkan diri mereka untuk menjalani Ujian Bertulis yang berlangsung pada hari terakhir latihan iaitu pada 26 November 2021 jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi. Dengan berakhirnya Ujian Bertulis tersebut, maka berakhirlah Pra Latihan Intensif bakal Komander (PRA LIBK) Siri 36/2021. Tahniah diucapkan kepada bakal komander yang berjaya menamatkan latihan yang berlangsung selama 5 hari ini.

Saturday, November 27, 2021

MESYUARAT AGUNG DWI-TAHUNAN MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA (MPKK) BATALION VI SESI OKTOBER 2021 - FEBRUARI 2022

        Pada 20 November 2021 yang lalu, Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI telah dilaksanakan. Setelah 2 semester dilakukan secara atas talian, Akhirnya, majlis pada semester ini dapat dilakukan secara bersemuka bertempat di Dewan Sri Temenggong dengan kelulusan pihak Pentadbiran UiTM Johor. Segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malayisa (KKM) telah dipatuhi dengan jayanya. Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ini pada umumnya bertujuan untuk membubarkan Kepimpinan Tertinggi Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI yang lama sekaligus melantik Kepimpinan Tertinggi yang baharu. Turut diadakan juga perasmian sebuah biro baru, Biro Alumni. Seramai 31 tetamu jemputan hadir yang terdiri daripada Pegawai Kehormat Kesatria, Komander Kehormat Kesatria dan Kepimpinan Tertinggi MPKK sesi Mac - Ogos 2021.

 
PENGACARA MAJLIS


        Pengacara majlis, KRM Nurnajwa Nabilah Binti Nor Ismadi dan KRM Muhamad Syakir Bin Rodzi memulakan majlis dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku, Wawasan Setia Warga UiTM dan bacaan doa yang diketuai oleh KRM Ahmad Musta’in Billah Bin Mustafa. Majlis diteruskan dengan ucapan Pegawai Memerintah MPKK Batalion VI sesi Mac - Ogos 2021, Lt. M Mohamad Fairozan Amir Bin Mohd Ismail (KEST). Dalam ucapan beliau, komander dibawah pemerintahannya dipuji atas kerjasama dan usaha yang ditunjukkan dan beliau berharap yang prestasi MPKK akan terus cemerlang. Seterusnya, Pegawai Memerintah MPKK sesi September 2021 - Februari 2022, KK Mohamad Zulfadhli bin Fadil dijemput untuk memberikan ucapannya. Beliau melantik Kepimpinan Tertinggi Majlis Perwakilan Komander Kesatria sesi September 2021 - Februari 2022 dengan harapan pemerintahan semester ini berjalan dengan lancar dan semua komander mengekalkan prestasi yang baik.

 
VIDEO UCAPAN DARIPADA MANTAN PEGAWAI MEMERINTAH SESI MAC – OGOS 2021
                             
 UCAPAN DARIPADA PEGAWAI MEMERINTAH SESI OKTOBER 2021 – FEBRUARI 2022
                               


        Dijemput juga Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI, Lt. Kol. Ujud bin Pabil (KEST) untuk memberikan sepatah dua kata. Sebelum beliau merasmikan majlis ini, beliau menekankan tanggungjawab seorang Komander itu amatlah berat dan perlu dipikul dengan baik. Komander juga diingatkan untuk sentiasa menjaga imej dan mengekalkan disiplin yang tinggi. Majlis kemudiannya beralih ke acara seterusnya iaitu Upacara Pemakaian Pangkat yang disempurnakan oleh Penasihat MPKK sendiri. KK Mohamad Zulfadhli bin Fadil, Pegawai Memerintah MPKK Batalion VI merupakan penerima pangkat yang pertama dan diikuti oleh KMdy Muhammad Asyraf Aiman Bin Muhammad Zaidi yang mengisi kekosongan sebagai Ajutan 2 MPKK Batalion VI. Seterusnya, pemakaian pangkat Komander Muda untuk Ketua Biro Sukan dan Rekreasi, KM Muhammad Haziq Haniff Bin Hashim dan Ketua Kompeni Siswa Bomba Bantuan, KM Muhammad Idlan Bin Johari.

PEMAKAIAN PANGKAT KEPADA KOMANDER KANAN DAN KOMANDER MADYA
                             


        Disebabkan SOP yang perlu dipatuhi, Upacara Penyerahan Kuasa kali ini sedikit berbeza dari yang lepas. Lt. M Mohamad Fairozan Amir Bin Mohd Ismail (KEST), Mantan Pegawai Memerintah MPKK Batalion VI tidak dapat menghadiri majlis. Jadi, upacara ini telah disempurnakan oleh Lt. Kol. Ujud bin Pabil (KEST), Penasihat MPKK Batalion VI.

UPACARA PENYERAHAN KUASA 
                                                                         


        Perasmian Biro Alumni pula dimulakan dengan montaj dan simbolik perasmian pukulan gong oleh Lt. Kol. Ujud bin Pabil (KEST) diiringi oleh Lt. Nor Bazran bin Baharum (KEST), Penyelaras MPKK Batalion VI Kampus Segamat. Biro Alumni diketuai oleh KRK Nur Khairunnisha Binti Mohd Khushairi dengan ahli seramai 3 orang. Biro ini merupakan jambatan antara Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI dengan Persatuan Alumni Komander Johor. Berperanan untuk mendaftarkan komander yang akan menamatkan pengajian sebagai ahli Persatuan Alumni Komander Johor dan merancang aktiviti kolaborasi bersama persatuan tersebut. 

        Majlis dilanjutkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Malaysia Day Run (MDR) Jengking Challenge yang diadakan pada 16 dan 17 September 2021 yang lalu. Pertandingan ini bertujuan untuk memastikan kecergasan para Komander dalam keadaan yang baik. Terdapat 2 kategori iaitu siswa dan siswi. Bagi kategori siswa, tempat pertama jatuh kepada KRM Muhammad Hairiel Anuar Bin Mohd Zahari. Tempat kedua pula jatuh kepada KRM Ariff Imran Bin Ariffin dan tempat ketiga pula jatuh kepada KRM Nor Azmir Bin Baharum. Bagi kategori siswi, KM Nurul Syazana Binti Misbah mendapat tempat pertama, diikuti oleh KRK Nur Zafirah Syamimi Binti Noman, tempat kedua dan KRM Aida Adriana BintiI Nor Sabirin, tempat ketiga. 

        Sebelum majlis berakhir, KK Mohamad Zulfadhli bin Fadil dijemput untuk menyampaikan cenderahati kepada Lt. Kol. Ujud bin Pabil (KEST) tanda penghargaan. Setelah itu, tetamu jemputan berpindah majlis ke ruang makan bagi menjamu hidangan yang disediakan. Dengan itu, selesai sudah Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI. Diharapkan dengan pelantikan yang baharu ini, Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI akan terus maju dan mampu membanggakan nama UiTM Cawangan Johor seterusnya mengharumkan nama komander UiTM Cawangan Johor dalam apa jua bidang yang diceburi. Semoga Komander Kesatria Batalion VI dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab yang akan diberikan dengan sebaiknya serta dapat menjaga nama baik Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor agar terus dipandang tinggi.


PENYAMPAIAN CENDERAHATI

NYANYIAN LAGU

PARA TETAMU MENIKMATI HIDANGAN YANG DISEDIAKAN

Saturday, November 06, 2021

KURSUS DAN KEM PEMANTAPAN KOMANDER KESATRIA BATALION VI SIRI KE-35


    Pada 28 Oktober 2021 sehingga 30 Oktober 2021 yang lalu, Komander Johor telah mengadakan Kursus dan Kem Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-35. Kursus ini berlangsung selama 3 hari dan telah melibatkan seramai 33 orang Komander Johor dari batch 35. Kursus pemantapan ini dijalankan adalah bertujuan untuk membentuk jati diri serta memantapkan lagi kepimpinan sebagai seorang komander dan melatih para komander untuk menjadi seorang yang berwibawa, bertanggungjawab, efektif serta meningkatkan lagi daya ketahanan fizikal dan mental ke tahap yang lebih tinggi.

Program ini lebih tertumpu kepada penambahbaikan pergerakan kawad kaki dengan dibimbing daripada para jurulatih serta Komander Kesatria Batalion VI Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor Kampus Segamat. Selain daripada pembelajaran kawad kaki, para komander juga didedahkan dengan kaedah merempuh halangan yang betul dan menyelusuri jalan lasak.


                           

                               


Para Komander menjalani latihan kawad kaki di padang kawad

Pada malam 28 Oktober 2021 pula, para komander perlu mengikuti kelas bersama Penasihat Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor iaitu Lt. Kol. Ujud Bin Pabil (KEST) bagi menjelaskan tentang beberapa perkara penting berkenaan tanggungjawab sebagai seorang komander kesatria.



Kelas bersama Penasihat



Pada 29 Oktober 2021 pula , Kursus Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-35 diteruskan lagi dengan latihan kawad kaki yang dijadualkan untuk memantapkan lagi pergerakan kawad kaki mereka. Selain itu , para komander juga telah didedahkan kaedah merempuh halangan. Terdapat beberapa halangan yang komander perlu tempuhi di litar rempuh halangan. Sebelum komander diajar untuk merempuh halangan , Lt. Muhizan Bin Miskam (KEST), Pembantu Kokurikulum telah menerangkan serba sedikit tentang asas senaman pemanasan badan yang betul. Setelah itu , pada sebelah malam para komander meneruskan kursus ini dengan latihan kawad kaki.


Sesi pemanasan badan






Para komander mencuba setiap halangan di litar rempuh



Pada 30 Oktober 2021 , para komander dibawa untuk menelusuri jalan lasak. Para komander dibahagikan dalam beberapa kumpulan dan setiap kumpulan perlu memasuki jalan lasak pada waktu yang berbeza bagi mengikuti SOP yang telah ditetapkan kerajaan. Sebelum itu, pada awal pagi lagi komander telah melakukan Physical Training (PT)  dan senamrobik bersama Lt. Nor Bazran Bin Baharum (KEST) yang merupakan Penyelaras Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Seterusnya, para komander meneruskan lagi hari mereka dengan melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan litar rempuh halangan. Disamping itu, Majlis Penutup Kursus Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-35 telah dilangsungkan pada sebelah petang. 



Komander melakukan senamrobik



Komander telah menghabiskan perjalanan di jalan lasak



                                        



Komander Siri ke-35 telah tamat menjalani
Kursus dan Kem Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI


Oleh itu , tahniah diucapkan kepada para komander yang menyertai Kursus dan Kem Pemantapan Komander Kesatria Batalion VI Siri ke-35  dan diharapkan agar dengan menjalani kursus ini, para komander dapat memberikan sepenuh komitmen dalam menjalankan tugas pada masa akan datang.

Wednesday, September 22, 2021

KURSUS TINDAKAN ASAS SEMASA KECEMASAN.

  

Backdrop Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan

    Pada 10 Julai 2021 bersamaan hari Sabtu yang lalu telah berlangsungnya Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan secara atas talian yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat dengan kerjasama Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat. Kursus ini bermula pada pukul 2.30 petang dan berlangsung selama 2 jam 30 minit secara Live di platform Youtube Komander Johor. Matlamat kursus ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih meluas kepada semua mahasiswa khususnya kepada para komander kesatria tentang tindakan asas dan teknik yang betul dalam memberi rawatan awal semasa kecemasan. Kejadian yang tidak diingini boleh berlaku pada bila - bila masa sahaja. Oleh hal yang demikian, kita perlu menyiapkan diri dengan ilmu dan teknik yang tepat untuk berhadapan dengan kejadian sebegini agar keadaan tersebut tidak menjadi lebih parah.


Kursus ini menampilkan penceramah jemputan iaitu Encik Abdul Razak Bin Md. Yassin yang merupakan Jurulatih Kompeni Bulan Sabit Merah Malaysia Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor Kampus Segamat yang telah berkhidmat sejak tahun 1991. Selain itu, beliau merupakan Pegawai Kadet Remaja Sekolah merangkap Leftenan Kolonel dan Naib Pengerusi 2 BSMM Daerah Segamat. Di samping itu, beliau pernah menjadi pengadil bagi acara CPR dalam Perkom Ko 2019. Malahan, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1996, 2003, 2007 dan 2015. Sehubungan dengan itu, beliau juga telah menerima pingat dalam BSMM dengan mendapat Sijil Kepujian pada tahun 1998, Pingat Bar pada tahun 2010 dan 2019, Pingat Jasa Terpuji 2013, Pingat Kebaktian Terpilih 2016 serta Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2018. 



Cikgu Razak menerangkan berkenaan cara menghadapi
 keadaan yang tidak diingini berlaku.

Bantuan kecemasan atau lebih dikenali sebagai First Aid merupakan bantuan sementara yang diberikan serta merta kepada mangsa yang tercedera atau sakit secara tiba - tiba di tempat itu juga dengan menggunakan alat - alat yang ada pada masa itu sebelum mangsa mendapatkan rawatan daripada doktor atau sebelum ketibaan ambulans. Untuk pengetahuan umum, situasi kematian boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu mati jantung pada minit yang pertama hingga minit ke-3 dan mati otak pada minit ke-4 hingga minit ke-6 (sesetengah sumber mengatakan minit ke-10). 


Tindakan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.


Tindakan awal kecemasan adalah sangat penting bagi menyelamatkan nyawa yang berharga. Terdapat 8 penilaian awal yang perlu kita pastikan daripada mangsa jika berhadapan dengan situasi kecemasan. Antaranya ialah :-


  1. DANGER (Bahaya) : Pastikan keadaan mangsa, diri sendiri dan persekitaran dalam keadaan selamat. Pakai sarung tangan jika ada dan jauhi tumpahan darah, objek tajam, wayar elektrik dan sebagainya.

  2. RESPONSE (Tindak Balas) : Adakah mangsa dalam keadaan sedar? Periksa sama ada mangsa boleh bertindak balas.

  3. SHOUT (Jerit Meminta Bantuan) : Jerit dengan jelas. Jika berseorangan, hubungi talian 999 dan biarkan dalam mode pembesar suara.

  4. AIRWAY (Saluran Pernafasan) : Adakah salur udara terbuka dan tiada halangan? Baringkan mangsa dan buka saluran pernafasan. Dongakkan kepala dan angkat dagu (head tilt - chin lift)

  5. BREATHING (Pernafasan) : Adakah mangsa itu bernafas? Periksa sama ada pernafasan adalah normal dalam masa 10 saat. Jika tidak bernafas, berikan 5 bantuan pernafasan.

  6. CIRCULATION (Peredaran Darah) : Adakah nadinya berdenyut? Dalam masa 10 saat, periksa tanda - tanda mangsa hidup. Jika tiada, mulakan tekan dada dengan berkualiti tinggi pada nisbah 30 tekan kepada 2 hembusan nafas.

  7. DEFIBRILLATION (Defibrilasi) : Pasang pad AED pada dada mangsa. Ikut arahan AED. sambung tekan dada segera selepas Defibrilasi.

  8. RECOVERY POSITION (Posisi Pemulihan) : Tanda - tanda mangsa pulih (bergerak, membuka mata, bernafas dengan normal dan batuk).


CPR juga dikenali dengan nama saintifiknya sebagai "Cardiopulmonary Resuscitation" adalah prosedur kecemasan yang dilakukan dalam usaha mengekalkan funsi otak secara manual sehingga langkah selanjutnya dapat dilakukan bagi mengembalikan aliran darah dan pernafasan secara spontan pada seseorang yang jantungnya berhenti berdegup.


Video contoh tindakan awal yang dapat dilakukan.


Kesimpulannya, Kursus Tindakan Asas Semasa Kecemasan ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran bagaimanakah untuk kita membantu dalam memberikan rawatan awal kepada mangsa sewaktu kecemasan. Masa yang diluangkan para peserta bagi menyaksikan perkongsian ini amatlah bermakna kerana segala intipatinya adalah padat, bermanfaat dan menyediakan kita  untuk menghadapi situasi yang tidak terjangka pada masa hadapan. Diharapkan agar segala intipati dan ilmu yang telah disampaikan dapat sama-sama kita terapkan di dalam diri supaya menjadi seorang mahasiswa yang lebih cemerlang pada masa akan datang.




Tuesday, August 31, 2021

LATIHAN INTENSIF BAKAL KOMANDER (LIBK) SIRI 35/2021

         Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) Siri 35/2021 telah berlangsung pada 15 Ogos sehingga 24 Ogos yang lalu. Program kali ini agak berbeza dengan program yang sebelumnya dimana LIBK kali ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan platform “Google Meet”. Seramai 63 orang Bakal Komander telah menyahut cabaran dengan penyertaan seramai 38 peserta dari UiTM kampus Segamat dan 25 orang dari UiTM kampus Pasir Gudang.


Program anjuran Majlis Perwakilan Komander Kesatria dengan kerjasama Unit Kokurikulum UiTM Johor ini diadakan selama 10 hari dengan tujuan untuk membentuk keperibadian dan keterampilan yang menepati aspek-aspek seorang Komander. Selain itu, program ini melatih peserta untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, patuh, berwibawa dan mempunyai jati diri yang teguh. Pelbagai ilmu telah dicurahkan demi pembangunan kendiri peserta.

       


SLOT KENALI MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA (MPKK) BATALION VI 

    

        Memandangkan LIBK berjalan secara atas talian, latihan kawad tidak seperti dahulu dimana akan dijalankan di padang kawad. Dengan kreativiti jurulatih, Lt. Nor Bazran bin Baharum (KEST) pelaksanaan latihan kawad kaki dapat dilakukan di atas talian dengan bantuan para pengiring. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi untuk mengajar, jurulatih dan pengiring tetap bersungguh untuk memberi kefahaman kepada peserta. Tidak lupa juga pada slot lain yang telah dijalankan dengan baik seperti Slot Penganjuran Program yang disampaikan oleh Lt. Muhizan bin Miskam (KEST), Slot Asas Peta yang disampaikan oleh Lt. Muhammad Noriman bin Mohd Ali (KEST), Asas Pertolongan Cemas oleh Komander BSMM Batalion VI dan banyak lagi.




LATIHAN KAWAD KAKI




SLOT ASAS PERTOLONGAN CEMAS





SLOT TAKLIMAT LATIHAN AKHIR



Para pengiring juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi sendiri tanggungjawab dan pengalaman sebagai seorang Komander Kesatria Batalion VI melalui Slot Tanggungjawab Komander yang disampaikan oleh 3 orang pengiring iaitu KMdy Nurul Syafiqah Aqilah binti Khayarani, KMdy Mohamad Zulfadhli bin Fadil dan KMdy Nurul Erinna binti Ellysam. Slot ini memberi pendedahan yang lebih terperinci dalam hal ehwal Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK), biro dan kompeni. Banyak pesanan dan perkongsian sudah disampaikan dengan harapan peserta dapat menjadi seorang Komander Kesatria yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.


        Beberapa ujian telah dijalankan demi menguji kefahaman peserta dan antaranya adalah Ujian Kawad Kaki, Ujian Pengucapan Awam, Ujian Bertulis dan Pembentangan Akhir mengikut kumpulan. Semua peserta dapat menghabiskan ujian-ujian dengan baik dan prestasi mereka sangat memuaskan. Dengan itu, kita dapat lihat peserta telah meletakkan 100% usaha mereka sepanjang program ini dijalankan.



UJIAN PENGUCAPAN AWAM



        Pada 24 Ogos 2021, Majlis Penutup Latihan Intensif Bakal Komander Siri 35/2021 diadakan secara langsung di Youtube Komander Johor dan telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Johor, Brig. Jen. Prof. Dr. Hj. Ismail Ahmad (KEST). Semua peserta LIBK berjaya menyandang pangkat Komander Rendah Muda (KRM) dan dengan rasminya mereka menjadi Ahli Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI. Terdapat empat buah anugerah iaitu Anugerah Kawad Kaki Terbaik yang telah diberikan kepada KRM Nur Hidayatullah binti Ahmad Nazir, Anugerah Akademik Terbaik pula dinobatkan kepada KRM Syed Fitri Abharsyah bin Syed Nisransyah, Anugerah Kecergasan Terbaik diterima oleh KRM Erny Jesnita binti Nizam dan Anugerah Peserta Keseluruhan Terbaik disandang oleh KRM Nor Azmir bin Baharum. Tahniah diucapkan kepada para penerima anugerah.



MAJLIS PENUTUP LATIHAN INTENSIF BAKAL KOMANDER SIRI 35/2021



Dengan berakhirnya Majlis Penutup tersebut, maka tamatlah Latihan Intensif Bakal Komander Kesatria (LIBK) Siri 35/2021. Diharapkan Komander Kesatria yang baharu dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik sekaligus menjaga prestasi akademik di masa akan datang.