MAJLIS PERWAKILAN KOMANDER KESATRIA


Monday, September 07, 2015

KARNIVAL PERKAD 2015

Pada 3, 4, dan 5 September 2015 yang lalu, Komander Kesatria UiTM Cawangan Johor telah mengadakan Karnival PERKAD 2015. Secara khususnya, program ini melibatkan keseluruhan pelajar kokurikulum semester 1. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan kecerdasan mental. Di samping itu, program ini dianjur bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim para pelajar, para komander dan staf-staf unit kokurikulum. 



3 SEPTEMBER 2015 (Khamis)

Program bermula pada 3 September 2015 bersamaan pada hari Khamis. Acara dimulakan dengan Rempuh Halangan dan tiga kompeni terawal iaitu PBSM, Charlie dan Brass Band bertanding terlebih dahulu sebelum majlis perasmian dimulakan bertempat di litar rempuh halangan. Majlis dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Johor, Brig. Jen. (K) Prof. Madya Dr. Azizan bin Abdullah dan diiringi oleh Pegawai Kokurikulum UiTM Cawangan Johor, Mejar (K) Ujud bin Pabil. Semasa acara perasmian sedang berlangsung, hujan lebat mencurah ke bumi. Namun begitu, para pelajar dan komander tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing sehinggalah acara perasmian tamat. Selain itu, persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS) daripada para komander degree tetap bersemangat walaupun hujan masih lebat. Acara Rempuh Halangan terpaksa ditangguhkan pada 5 September (hari Sabtu) pagi selepas acara Mini Marathon kerana cuaca buruk yang tidak dapat dielakkan.


Acara Simulasi CPR

Acara Simulasi Bencana

Acara Kawad Kaki Dinamik

Persembahan daripada para Komander Kesatria Batalion VI UiTM Cawangan  Johor


4 SEPTEMBER 2015 (Jumaat)

Keesokannya pada pukul 8.00 pagi, acara diteruskan dengan 'Rescue Challenge' yang merangkumi acara Kawad Hos, Simulasi Bencana, dan Simulasi CPR bertempat di Padang Kawad UiTM Cawangan Johor. Pada pukul 8.00 malam pula berlangsungnya acara Kawad Kaki Dinamik bertempat di Padang Kawad UiTM Cawangan Johor juga. Selepas kompeni kelima iaitu kompeni Charlie bertanding, acara berehat sebentar dan para komander kesatria UiTM Cawangan Johor telah membuat persembahan kawad kaki yang telah diketuai oleh Pegawai Latih I, KMdy Muhammad Najib bin Ahmad Azir. Mahasiswa dan mahasiswi UiTM Cawangan Johor yang lain turut hadir untuk menonton acara kawad kaki kreatif ini.

Aktiviti senaman pagi sebelum meneruskan acara lain

Acara Mini Marathon

Para pelajar sedang menaiki tembok dalam acara Rempuh Halangan


5 SEPTEMBER 2015 (Sabtu)

Acara diteruskan lagi dengan Mini Marathon pada pukul 8.00 pagi. Sebelum itu para komander mengiringi acara senamrobik untuk memanaskan badan terlebih dahulu. Tempat bermula adalah di kawasan rempuh halangan dan tamat ditempat yang sama. Terdapat 9 'checkpoint' yang harus dilalui oleh semua peserta Mini Marathon. Bukan itu sahaja, malah para komander juga turut serta dalam acara ini. Kesemua peserta yang menyertai acara ini juga akan menyumbang mata bagi kompeni masing-masing untuk dikumpulkan pada akhir PERKAD nanti. Hadiah yang disediakan adalah dari tempat pertama hinggalah tempat kesepuluh untuk siswa dan siswi. Selepas semua pelajar telah tiba di penamat, Mejar (K) Ujud bin Pabil telah menyerahkan pingat kepada para pemenang sehingga tempat kesepuluh.

Selesai sahaja upacara penyampaian pingat kepada para pemenang Mini Marathon, acara Rempuh Halangan diteruskan lagi dengan 6 kompeni yang belum bertanding iaitu kompeni Bravo , Suksis, Bomba, Alpha, Kembara dan JPAM. Ketua pengadil pada hari tersebut ialah Mejar (K) Mohd Ismail bin Pahmi. Para jurulatih telah menjadi pembantu pengadil sepanjang acara Rempuh Halangan berlangsung. Alhamdulillah, kesemua peserta yang terlibat tidak mengalami cedera parah semasa bertanding malah mereka semua berjaya menghabiskan halangan dengan bantuan ahli pasukan masing-masing. Kerjasama amat dititikberatkan dan semangat yang membara telah membuatkan mereka berjaya tiba hingga ke penamat. Bukan itu sahaja, semua rakan-rakan dari semua kompeni telah memberikan kata-kata semangat dan sorakan semasa para peserta berada dalam litar rempuh halangan. Seterusnya, ketua pengadil iaitu Mejar (K) Mohd Ismail bin Pahmi mengumumkan tempat pertama hingga tempat ketiga. Acara Rempuh Halangan tamat pada pukul 12.00 tengahari.

Kini, acara yang ditunggu-tunggu telah tiba. Pada pukul 8.00 malam, telah berlangsungnya Penutup dan Makan Malam Karnival PERKAD 2015. Turut hadir pada majlis penutupan tersebut ialah Brig. Jen. (K) Prof. Madya. Dr. Azizan bin Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Johor, Kol. (K) Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Halim bin Kadri, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Mejar (K) Ujud bin Pabil, Pegawai Kokurikulum UiTM Cawangan Johor, barisan pegawai kehormat kesatria dan suksis UiTM Cawangan Johor, Ketua-ketua bahagian, ketua-ketua unit UiTM Cawangan Johor, barisan jurulatih kokurikulum dan para pengadil, para komander kesatria UiTM Cawangan Johor, para KOR sukarelawan siswa siswi polis (Suksis) UiTM Johor dan para pelajar kokurikulum UiTM Cawangan Johor.

Pada malam tersebut KRM Muhammad Zulfadhli Fazoli bin Zakaria dan KRM Nurhaziqah Hazimah binti Sapuan telah bertindak sebagai pengerusi majlis. Tirai majlis dibuka dengan bacaan doa oleh KRM Muhammad Amirol bin Ramli bagi memberkati lagi majlis dan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM. Seterusnya, majlis telah menjemput Komander Kanan Muhammad Ikhmal bin Muhamad Fadzil selaku Pegawai Memerintah Komander Kesatria Batalion VI, UiTM Cawangan Johor sesi Jun - Oktober 2015 untuk menyampaikan ucapan.


Ucapan penutupan oleh Rektor UiTM Johor

Majlis dengan berbesar hati telah menjemput Brig. Jen. (K) Prof. Madya. Dr. Azizan bin Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Johor untuk memberikan ucapan beliau sekaligus merasmikan Majlis Penutupan Karnival PERKAD 2015 bagi sesi Jun - Oktober 2015. Tanpa melengahkan masa, majlis juga menjemput Kol. (K) Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Halim bin Kadri, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Johor diiringi oleh KK Muhammad Ikhmal bin Muhamad Fadzil, Pegawai Memerintah Komander Kesatria Batalion VI bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Berikut adalah keputusan bagi keseluruhan kompeni acara Mini Marathon ;
Tempat Pertama : Kompeni PBSM
Tempat Kedua   : Kompeni Kembara
Tempat Ketiga   : Kompeni JPAM

Bagi acara Simulasi Bencana ;
Tempat Pertama : Kompeni JPAM
Tempat Kedua    : Kompeni PBSM
Tempat Ketiga   : KOR Suksis

Bagi acara Kawad Hos ;
Tempat Pertama : Kompeni Charlie
Tempat Kedua   : Kompeni Bomba
Tempat Ketiga   : KOR Suksis

Bagi acara Simulasi CPR ;
Tempat Pertama : Kompeni PBSM
Tempat Kedua    : Kompeni Kesatria Kembara
Tempat Ketiga    : KOR Suksis

Majlis dilanjutkan lagi dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan Rempuh Halangan oleh Brig. Jen. (K) Prof. Madya Dr. Azizan bin Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Johor, diiringi oleh Mejar (K) Ujud bin Pabil, Pegawai Kokurikulum UiTM Cawangan Johor.

Bagi acara Rempuh Halangan ;
Tempat Pertama : Kompeni Kesatria Kembara
Tempat Kedua  : Kompeni PBSM
Tempat Ketiga : Kompeni Bomba

Bagi acara Kawad Kaki Dinamik / Kreatif;
Tempat Pertama : KOR Suksis
Tempat Kedua : Kompeni Brass Band
Tempat Ketiga  : Kompeni Charlie

Penyampaian hadiah kepada Ketua Platun Terbaik oleh Rektor UiTM Cawangan Johor

Anugerah Platun Terbaik pula jatuh kepada KRK Anis Shafiqah binti Rozali dari kompeni Charlie. Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Seterusnya, dipersilakan Mejar (K) Ujud bin Pabil, Pegawai Kokurikulm UiTM Johor untuk menyampaikan cenderamata kepada Brig. Jen. (K) Prof. Madya Dr. Azizan bin Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Johor sebagai tanda kenang-kenangan.

Persembahan daripada Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia

Selepas itu, majlis mempersilakan persembahan daripada pelajar kokurikulum Seni Silat Gayung yang diketua oleh Lt. Kol. (K) Syazali Effendi bin A. Wahab. Silat Gayung adalah satu komponen kokurikulum bagi pelajar semester 2 dan 3. Seterusnya persembahan demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS)  daripada para komander kesatria. TTS adalah sebahagian daripada kokurikulum kesatria 2 dan 3 . TTS adalah seni mempertahankan diri yang diamalkan di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan merupakan silibus utama kesatria semester 2 dan 3. 

Persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS) oleh komander degree

Kini tibalah masa untuk mengumumkan Juara Keseluruhan bagi Karnival PERKAD 2015. Majlis sekali lagi dengan segala hormatnya menjemput Brig. Jen. (K) Prof. Madya Dr. Azizan bin Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Johor diiringi oleh Mejar (K) Ujud bin Pabil, Pegawai Kokurikulm UiTM Johor bagi menyampaikan hadiah kepada Juara Keseluruhan bagi Karnival PERKAD 2015. Juara tersebut adalah Kompeni Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). 

Para tetamu jemputan VIP yang sudi hadir
Para jurulatih yang sudi hadir
Sambil semua tetamu menikmati juadah yang telah disediakan, majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan dari kompeni Brass Band diikuti dengan tayangan multimedia. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang banyak membantu dari awal hingga akhir dan secara langsung mahupun tidak langsung bagi melancarkan Karnival PERKAD 2015. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu UiTM Di Hatiku.

Pihak Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Johor mengucapkan syabas kepada para pemenang dan menghargai komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan karnival Perkad tahun 2015. Diharapkan kejayaan yang dirangkul dapat dikekalkan dan sentiasa memberikan dorongan positif dan inspirasi kepada pelajar akan datang. 

Sekian, terima kasih. 



No comments:

Post a Comment